Hadis 40 Perkara Pengubahan Yang Mungkar

HADITH 40 - IMAM NAWAWI

Hadith ke 34 PERKARA PENGUBAHAN YANG MUNGKAR

TERJEMAHANNYA:

“Dari Abi Sa’id al-Khudri radiyallahu ‘anh katanya: Aku dengar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Jika sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman.

Diriwayatkan oleh Muslim

SYARAHANNYA:

Hadith ini diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Sa’id al-Khudri. Ada pula hadith Ibn Mas’ud yang dikeluarkan oleh Muslim, yang di antara kandungannya hampir sama dengan hadith tersebut.

NILAIANNYA:

Hadith ini mengandungi suatu pengertian yang bernilai yang patut diperhatikan dengan penuh minat oleh orang Islam demi kebaikan masyarakatnya, mengingat kebaikannya adalah kerana dari persamaan rasa tanggungjawab dalam usaha mencegah segala yang mungkar yang merosak sendi keperibadian hidup dalam masyarakat.


PERKARA PENGUBAHAN YANG MUNGKAR

1.      KEWAJIPAN PENGUBAHAN YANG MUNGKAR

Rasulullah menyatakan pada hadith tersebut: Barangsiapa diantara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya . “Kemudian diterangkan cara pengubahan itu satu persatunya menurut sekadar yang terupaya. Kewajipan pengubahan ini adalah di atas orang yang melihat kemungkaran. 

Kemungkaran adalah suatu yang diingkar oleh syara’ atau yang tidak disukainya; iaitu seperti meninggal yang diwajibkan atau melakukan yang diharamkan secara terbuka atau berterang-terang. Masuk dalam erti melihat ialah mengetahui secara pasti kemungkaran itu berlaku pada tempat yang tertentu.

Pada hadith-hadith yang lain ada diterangkan pula betapa beratnya tanggungjawab dalam perkara mencegah perkara yang mungkar atau maksiat sehingga dijelaskan akibat yang akan dikenakan sekiranya perkara itu dibiarkan begitu saja berlaku secara bebas. Di antara hadith itu ialah:

“Sesungguhnya Allah tiada menyiksa orang ramai dengan perbuatan orang-orang yang tertentu hingga mereka itu melihat mungkar itu berlaku ditengah-tengah mereka, sedang mereka berkuasa untuk mengingkarinya. Sekiranya, mereka perbuat yang demikian itu, maka Allah menyiksa orang ramai dan orang yang tertentu itu.”

Maka nyatalah bahawa siksaan Allah pada sekalian manusia adalah kerana perbuatan mungkar dari orang-orang atau puak-puak yang tertentu. Kemudian perbuatan itu dibiarkan berlaku terus-menerus oleh orang-orang yang lebih bertanggungjawab yang mampu dan berkuasa mencegahnya.

2.      MENGUBAH ATAU MENCEGAH DENGAN TANGAN, LIDAH DAN HATI

Kemudian Rasulullah menerangkan cara mengubah atau mencegah yang mungkar itu, iaitu “Barangsiapa di antara kamu melihatnya maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tiada berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Jika sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman.” Menurut keterangan hadith ini, cara mengubah mungkar itu adalah tiga macam:

Pertama:

Mengubah dengan tangan, iaitu dengan kekuatan atau dengan kekuasaan orangnya menurut cara yang lebih berkesan. Dan tidaklah dekehendaki dengan erti tangan mengubah dengan cara kekerasan yang membawa pertumpahan darah atau dengan cara yang menimbulkan kekacauan yang lebih dasyat bencananya dar perlara yang mungkar itu sendiri.

Kedua:

Mengubah dengan lidah, setelah tidak dapat mengubah dengan tangan jika difikirkan ada faedahnya atau kesannya; kerana dapat diterima dan dipatuhi nasihatnya atau tunjuk-ajarnya, kemudian perlara yang mungkar itupun diberhentikan.

Ketiga:

Mengubah dengan hati, setelah tiada dapat diingkar dan di ubah dengan tangan atau lidah. Tetapi pengubahan atau keingkaran dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman. Namun demikian Iansa adalah fardhu ain atas tiap-tiap orang Islam. Ertinya wajib atas mereka mengingkari perkara yang mungkar itu dengan hati; iaitu tiada menyetujui dengan sepenuh hatinya akan perkara itu berlaku. Tetapi apalah dayanya untuk mencegah atau melarang kerana tiada baginya kekuasaan tangan dan lidahnya.

Jadi mengubah yang mungkar itu adalah wajib sekadar yang dapat menurut cara yang tersebut. Andaikata tidak mungkin dilakukan, maka tinggallah satu saja tuntutan; iaitu menentang dan membencinya dengan hati. Hal ini pernah dikatakan Rasulullah dalam sabdanya, iaitu: 

“Apabila dikerjakan kejahatan dalam permukaan bumi, maka adalah orang yang menyaksikannya tetapi dia membencinya adalah seperti orang yang tiada menyaksikannya. Dan barangsiapa tiada menyaksikan kejahatan itu tetapi ia suka kepadanya, adalah dia seperti orang yang menyaksikan pula.” 

3.      KEWAJIPAN MENCEGAH MUNGKAR

Kewajipan ini adalah dituntut untuk dilaksanakan dalam suatu masyarakat, dan tiada gugur kewajipan ini bagi orang yang dapat melaksanakannya semata-mata kerana takut kehilangan nama baginya atau kedudukannya; dan takut yang seperti ini adalah dicela.

Kewajipan ini sememangnya berat, tetapi mulia dan tidak mungkin sebarang orang dapat melaksanakannya, hanya orang yang mempunyai kekuatan dan keberanian jiwa sahaja yang dapat bertindak demikiannya; berani berkata yang benar, berani menunjukkan yang salah walau kepada sesiapa pun jua, tiada takut dicela atau ditempelak oleh manusia dalam usaha menegakkan suatu yang benar dan melenyapkan suatu yang salah. Yang demikian tidaklah ia jadi orang yang dikatakan Rasul dalam sabdanya, iaitu:

“Sesunggunya Allah Ta’ala berfirman kepada seorang hamba pada hari Kiamat, iaitu: Apakah yang menghalang engkau dari mengubah yang mungkar apabila engkau melihatnya? Hai Tuhanku! Kerana aku takut kepada manusia. Lalu Allah berfirman: Engkau lebih berhak takut kepada Ku.”

Menyatakan yang benar dan yang salah secara membina adalah perkara yang amat sukar, pahit sangat untuk diterima. Tetapi dilakukan jua untuk kebaikan umat, Kerana kebaikan tidak ada dalam kesalahan dan ini adalah jihad; satu perjuangan yang tiada habis-habis. Dan perjuangan seperti ini pula adalah yang utama. Terutama kalau dihadapkan lepada orang atau golongan yang mempunyai kedudukan yang mengendalikan suatu masyarakat, sebagaimana sabda Rasulullah:

“Jihad yang utama adalah perkataan yang benar di sisi Sultan (kerajaan) yang zalim.”

(Riwayat Abi Said)

Demikianlah kewajipan tersebut yang ditugaskan ke atas orang yang sanggup yang tahan menghadapi sebarang kemungkaran yang akan timbal, selama jalan untuk melakukannya masih terbuka. Lainlah kalau keadaan sudah tidak membenarkan sama sekali, sedang manusia sudah tenggelam dalam kancah hawa nafsu yang durjana, maka kewajipan itu tidaklah sangat diberatkan lagi, sebagaimana yang dikatakan oleh segolongan sahabat, iaitu:

“Apabila engkau lihat sifat tamak dipatuhi, hawa nafsu diikuti, dan masing-masing merasa merah denga fikirannya sendiri, di kala itu hendaklah engkau diam diri, tiada menyusahkan engkau oleh orang yang mengerjakan mungkar itu apabila engkau sudah mendapat hidayat.” 

PETUNJUKNYA:

Bahawa di antara yang ditunjukkan oleh hadith yang ke tiga puluh empat ini ialah:

  • Hadith ini adalah membuktikan bahawa agama Islam tiada suka sama sekali kepada perkara mungkar atau perkara yang salah, sama ada yang merupakan perbuatan mahupun yang bersifat meninggalkan suatu yang diwajibkan. Oleh yang demikian, maka hadith ini juga menjadi dalil tentang wajib diubah atau dicegah perkara itu oleh orang yang melihatnya atau orang yang mengetahuinya dengan sah dan pasti, menurut cara dan keadaan yang dapat dilakukan sesuatu dengan usahanya sendiri.
  • Juga menunjukkan bahawa perbuatan melarang dan mengubah perkara tersebut ada hubungannya dengan iman. Dan setinggi-tinggi darjat iman ialah melarang atau mengubah dengan tangan dan serendah-rendahnya ialah dengan hati. Tetapi mengubah dengan hati dengan ertikata tiada menyukainya, adalah fardhu atas tiap-tiap orang yang beriman. Dan tidaklah ada lagi darjat iman yang serendah itu bagi seseorang kecuali kebinasaan. Sebagaimana kata Ibn Mas’ud: 

“Binasalah orang yang tidak mengetahui dengan hatinya akan yang hak dan yang mungkar.”

Perkataan ini adalah menunjukkan bahawa mengetahui yang baik dengan hati serta menyukainya dan mengetahui yang mungkar serta tiada menyetujuinya, adalah fardhu yang tiada pernah gugur atau tidak dituntut. Sebab itu orang yang tiada mengetahui dengan cara itu adalah binasa.

Wallahu A’lam.

Dari naskah: Hadith 40

Susunan Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya Bin Sharif Al-Nawawi

Terjemahan dan Syarahnya oleh Al-Ustadh Mustafa 'Abdul Rahman

 

 

 

 

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran