Hadis Qudsi-Hamba Mu'min Yang Sentiasa Dicintai Allah

Berkata Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. telah bersabda: Allah telah berfirman yang bermaksud:

 “HambaKu yang Mu’min adalah lebih Kucintai daripada setengah para MalaikatKu.” (Riwayat Thabarani)

Huraiannya:

Di antara makhluk-makhluk Allah Ta’ala yang diciptaNya, Bani Adamlah yang termulia sekali sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran Al-Karim. Daripada mereka juga para Nabi dan Rasul dipilih, dan daripada mereka pula datangnya para auliya (wali) dan salihin.

Tinggal ada perselisihan pendapat tentang siapa yang lebih mulia antara Malaikat dan Insan. Lantaran penciptaan mereka ini agak berlainan, yang satu dilengkapkan dengan hawanafsu, iaitu: Insan; dan yang satu lagi tidak dilengkapkan, malah dijadikan khusus untuk melaksanakan tugas-tugas yang tertentu oleh Allah Ta’ala, seperti beribadat sepanjang masa, bertasbih, bertahmid dan bertahlil, dan sebagainya, maka pendapat yang lebih berat mengatakan bahawa Insan itu adalah lebih mulia daripada Malaikat.

Akan tetapi Insan yang bagaimana yang dikatakan lebih mulia daripada Malaikat? Iaitu insan yang beriman kepada Allah Ta’ala dengan sebenar-benar keimanan. Itupun darjat kemuliaannya hanya dari setengah-setengah para malaikat saja, sepertimana yang ditunjukkan oleh Hadith Qudsi di atas, tidak kesemuanya sekali. Sebab orang yang beriman itu ialah orang yang benar-benar mematuhi segala perintah Tuhan dan menjauhi segala laranganNya. Bahkan ia bersedia memandu hawanafsunya ke jalan-jalan yang diredhai Tuhan semata, dan mengekangnya dari jalan-jalan yang dimurkaiNya.

Bukan itu sahaja, malah ia suka pula mengerjakan solat-solat Nawafil, puasa-puasa sunat dan berbagai ibadat lain secara tawadhuk dan seterusnya, sehinggalah ia dipandang oleh Tuhan dengan pandangan yang penuh Rahmat dan kasih-sayang dan menjadilah ia sebagai Hamba yang dicintai Allah sebagaimana yang  ditunjuk oleh beberapa hadith Qudsi yang lain.

Dalam banyak hal, tiadalah mustahil seorang anak Adam dapat mencapai tingkat yang tinggi ini bila ia diberikan Allah Ta’ala  Taufiq dan dibukakan pintu ke jalan tersebut. Tidak kurang pula kita lihat ramai orang yang mencapai tingkat ini, yang semua mereka tidak pernah berhenti dari Mujahadah terhadap diri mereka, dan ingatan mereka kepada Allah Ta’ala tidak palsu atau mudah dirobohkan bentengnya oleh ribut badai hawanafsu yang Ammarah Bis-su’ – wallahu-a’lam.

Sepatutnya kita mengarahkan diri kita ke arah itu, khususnya bila usia telah mencapai umur tua dan pandangannya ke alam Akhirat lebih kuat daripada dunia yang bakal ditinggalkannya itu.

Jangan sampai usianya sahaja yang dikatakan tua namun kelakuan dan gerak-lakunya masih seperti anak-anak muda yang hilang pegangan, kelak dikhuatiri akan menanggung rugi. Bukan rugi di dunia yang sesalannya sementara bahkan ruginya di Akhirat yang tiada dapat dikenang-kenang lagi. Jadi hendaklah kita menyediakan diri untuk menuju ke arah ini, kalau tidak dapat mencapai tingkat yang tinggi, ke tingkat yang rendah pun tidak mengapa asalkan dan tergolong ke dalam senarai orang-orang yang solihin pun sudah memadai, daripada tiada bertingkat sama sekali.

Apabila sudah mula mendaki tangga, kelak mudahlah dia meneruskan jalan setingkat demi setingkat, masing-masing menurut kemampuan dan kekuatan hatinya, sesuai dengan pertumbuhan iman yang merecup di dalamnya dan menurut kadar perkembangannya. Bukankah iman yang di hati itu sentiasa berkembang dan segar, selama ia disiram air kemakrifatan dan pengenalan diri kepada Allah Ta’ala?!

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran