Antara kandungan usrah malam tadi...

Alhamdulillah… sedikit ana nak kongsi bersama antum semua antara kandungan usrah bulanan kita malam semalam. Giliran penyampai usrah adalah tuan nazir kita Tuan Hj Aminuddin. Tuan haji membicarakan hadith ke 10 dari kitab Hadith 40 dari Imam Nawawi rahmatullahi Taa’ala.

Terjemahan Hadith:

Dari Abu Hurayrah radiyalla’anh. Katanya, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik, tidak Ia terima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintah orang-orang mukmin dengan apa yang Ia perintahkan kepada sekalian rasul. Maka Allah Ta’ala berfirman (seperti yang disebut dalam hadith, yang ertinya): Hai sekelian rasul! Makanlah dari yang baik-baik dan beramallah akan yang baik. Dan Ia berfirman: Hai sekelian orang yang beriman! Makanlah dari segala yang baik-baik yang telah direzekikan kepada kamu. Kemudian Ia menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya menghulurkan dua tangannya ke langit (berdoa): Hai Tuhanku! Hai tuhanku! Pada hal makanannya haram, dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram; maka bagaimanakah akan diperkenankan baginya? Diriwayatkan oleh Muslim.

Antara kata nasihat yang diucapkan oleh tuan nazir adalah, hendaklah kita menjaga sumber rezeki kita supaya ianya benar-benar halal. Yang baik belum tentu halal ujarnya. Antara syarat untuk makbulnya doa adalah makanan dan minuman yang halal.

Tuan nazir juga menyambung lagi dgn sepotong hadith yang bermaksud: “Hai Sa’ad! Baguskanlah makanan engkau nescaya engkau adalah (orang yang) diperkenankan permintaannya. Dan demi diri Muhammad ditangnnya, sesungguhnya seorang hamba yang masukkan (menyuapkan) sesuatu makanan yang haram ke perutnya, tiada diterima Allah daripadanya amal 40 hari. Dan mana-mana hamba yang tumbuh dagingnya dari yang haram, maka api neraka lebih layak dengannya.”

Dipertengahan usrah, tuan nazir juga menceritakan tentang kisah Ibrahim bin Adham (seorang ahli tasawwuf yang mahsyur) yang dikerumuni orang ramai yang ingin bertanya soalan kepadanya. Antara soalan yang diajukan kepadanya ialah: Mengapakah doa mereka tidak dimakbulkan Allah padahal mereka selalu berdoa kepadaNya? Ibrahim bin Adham menjawab: Kerana hati kamu buta disebabkan sepuluh perkara, iaitu:

Pertama: Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menunaikan haqNya.

Kedua: Kamu sangka bahawa kamu cinta kepada Rasulullah sallallahu ’alayhi wa sallam, tetapi kamu tinggalkan Sunnahnya.

Ketiga: Kamu telah membaca al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.

Keempat: Kamu telah makan ni’mat-ni’mat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukurNya.

Kelima: Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.

Keenam: Kamu telah berkata bahawa syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya.

Ketujuh: Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar tetapi kamu tidak lari daripadanya.

Kelapan: Kamu telah berkata bahawa mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia baginya.

Kesembilan: Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala kea’iban manusia tetapi kamu lupa ke’aiban kamu sendiri.

Kesepuluh: Kamu kebumikan mayat-mayat manusia tetapi kamu tidak mengambil iktibat (pelajaran) daripada mereka.

Usrah diakhiri dengan solat maghrib berjamaah.

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran