Dab Sukacita dan Dukacita

Maka barangsiapa ada waktunya dukacita, tiada sunyi ia

  • ada kalanya diketahui sebabnya atau
  • tiada diketahuinya.
Dan segala sebab dukacita itu tiga perkara iaitu;
    • dosa engkau datangkan akan Dia atau
    • dunia yang hilang ia daripadamu atau kurang ia bagimu atau
    • zholim yang menyakiti ia akan dikau dalam dirimu atau dalam mata bendamu atau nasabmu.
Keterangan Suluk

Bermula dukacita yang diketahui sebab atau puncanya adalah berdasarkan kepada tiga pokok utama iaitu;
Pertamanya oleh sebab sesuatu dosa yang sengaja dilakukan olehmu; Bukanlah ini bermaksud semata-mata dosa seperti meninggalkan sholat atau puasa kerana sememangnya ianya telah sedia termaklum oleh semua orang Salik. Ini adalah kerana bukanlah dinamakan Salik atau Murid seorang yang melakukan dosa-dosa yang sedia termaklum seperti meninggalkan sholat atau puasa atau mencuri, berzina, minum arak dan sebagainya. Tetapi dosa yang dimaksudkan di sini ialah seperti;

  • lalai dalam memelihara sholat seperti mentakhirkan waktu tanpa kaifiat dan adab-adab sebagaimana yang digariskan oleh hukum fekah;
  • mengutamakan yang sunat dengan meninggalkan yang wajib seperti meninggalkan mempelajari hukum agama dengan asyik mengerjakan amalan-amalan yang sunat.
  • meninggalkan wirid-wirid harian kerana kesibukan mengejar dunia,
  • bersifat ujub, riya dan takbur serta lain-lain sifat mazmumah dalam amalannya tanpa disedarinya atau sengaja. Rasa seperti sudah elok dan baik, namun penuh bercampur dengan hama-hama penyakit yang tercela.
Keduanya, kerana kehilangan dunia atau berkurangnya dunia daripadamu;
  • Bukan sekadar hilangnya harta atau berkurangnya wang ringgit;
  • Bukan sekadar kerana kehilangan jawatan atau kerana diturunkan pangkat,
  • Bukan sekadar disebabkan tidak berupayanya memiliki sesuatu yang diperlukan untuk melangsungkan keperluan diri dan ahli keluarga;
  • tetapi bahkan dukacitanya mereka ini adalah kerana;
    • hilangnya sesuatu keistimewaan yang sebelum ini dimiliki oleh hatinya;
    • hilangnya ilham dan terputusnya laduni yang sebelumnya mencurah-curah datang;
    • hilangnya mukasyafah yang dapat melihat perkara-perkara yang ghaib sebelum ini;
    • terputusnya atau lemahnya diri daripada memanjat terus ke alam-alam tinggi
    • tiada lagi keramat atau lemahnya sesuatu barakah amal yang dulunya hebat.
Kehilangan-kehilangan seperti di atas adalah antara punca yang menyebabkan seseorang hamba itu berdukacita.

Sebab ketiga dari dukacita yang diketahui ialah kerana merasakan diri dizholimi atau dianiyai oleh makhluk ke atas dirinya, harta-bendanya serta kaum keluarganya. Kita tak buat apa-apa kesalahan atau menggangu orang lain, tetapi tiba-tiba sahaja ada manusia.......

  • yang datang mencederakan diri kita tanpa sebarang sebab,
  • menyakiti hati dan perasaan, memfitnahkan kita,
  • mengambil harta-benda kita tanpa sebenar,
  • menganiyai anak-isteri atau kaum keluarga kita dengan pelbagai kesusahan dan masalah.
Inilah antara punca-punca yang diketahui yang menjadikan seseorang itu berdukacita dan bersedih. Suka atau tidak, kedukaan-kedukaan itu pasti juga akan mendatangi. Namun, sebagai seorang Salik atau sebagai seorang hamba yang menyedari akan Kekuasaan dan Keesaan TuhanNya, atau sebagai seorang yang menyedari akan kedudukan dirinya dan Ketinggian TuhanNya, maka semestinya mereka dikehendaki melaksanakan Hak Ubudiyahnya sebagaimana yang terdapat dari ......................

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka apabila datang atasmu dukacita daripada salah suatu daripada segala sebab ini, maka Ubudiyah itu menghendaki engkau rujuk kepada ilmu yang diistimalkan baginya seperti yang disuruh engkau.

  • Maka adapun dalam dosanya itu, maka hendaklah engkau dengan taubat dan bersungguh-sungguh dalamnya;
  • Dalam hilangnya dunia itu, maka hendaklah dengan taslim dan redho(dalam ubudiyah);
  • Dan dalam yang menyakiti(oleh orang lain) itu, maka hendaklah dengan sabar dan diihtimalkan kepada Yang Menjadikan.
Keterangan Suluk

Sesuatu yang didatangkan ke dalam hatimu itu adalah merupakan sebab-sebabnya. Sebab-sebab itulah yang menjadikan engkau berdukacita, rungsing, cemas dan perit. Oleh kerana ianya datang sebagai satu sebab, maka sewajarnya bagi seorang Salik seperti engkau melaksanakan hak-hak Kehambaanmu kepada Allah Taala Yang Menjadikan sebab itu. Di waktu begini, apa yang dituntut ke atasmu ialah "rujuk kepada ilmu yang diistimalkan" yang bermaksud; dengan menyandarkan tindakan atau apa yang harus dilakukan kepada pengetahuan(ilmu) yang perlu dipakaigunakan.

Apabila berlaku pelanggaran dosa, maka ilmu yang mesti diistimalkan menuntut agar engkau segera bertaubat dengan sungguh-sungguhnya di waktu itu; Lari dan terus meninggalkan perbuatan atau sesuatu yang menyebabkan engkau terjerumus untuk kali yang seterusnya,

  • Mengisi dan memenuhi waktu-waktu tersebut dengan amal ibadat dan kebajikan.
  • Daripada tidak bersholat sunat kepada mempelbagaikan sholat-sholat sunat
  • Daripada tidak pernah bangkit malam kepada memenuhi malam dengan zikruLlah
  • Daripada tidak gemar dan memandang remeh ilmu syariat kepada rakus dalam menuntutnya keistimewaannya
  • Bertawaduk dan merendahkan diri kepada makhluk Allah atas dasar kewajipan untuk memohon maaf dan memulangkan semula harta benda saudara-suadara tanpa jalan sebenar.
  • Benar-benar bertekad untuk tidak memalingkan muka kepada maksiat-maksiat tadi buat selama-lamannya.
Inilah apa yang dimaksudkan dengan bertaubat. Bukan semata-mata dengan mengatakan aku menyesalinya sedangkan hal keadaan diri sama sahaja seperti dahulu. Apa yang perlu ialah adanya peningkatan amal taat kepada Allah dan berkurangnya kecenderungan diri untuk berjinak-jinak dengan jalan-jalan yang membawa kepada kelalaian dan maksiat. Keadaan inilah sahaja yang dapat dijadikan bukti bahawa Taubatmu itu adalah taubat yang benar dan ikhlas.

Apabila berdukacita dengan kehilangan dunia pula, maka ilmu yang mesti diistimalkan, menuntut agar engkau; taslimkan(serahkan) kepada Kekuasaan Allah dan redho di atas KehendakNya;

  • Serahkan dan berlepas dirilah engkau dari rasa aku ada ini, aku ada itu, itu milik aku, ini milik aku, aku boleh buat itu, atau sepatutnya aku buat begini bukannya begitu dan aku akan buat begini dan apa sahaja itu ini.
  • Tanggalkan rasa keupayaan dan kekuatanmu dalam berasbab sebelum ini kepada Keupayaan dan Kekuatan Allah Taala, sebagaimana yang selalu sebut-sebutkan dalam kalimah "La haulawa quwwataiLlah biLlah".
  • Terimalah dengan dada yang lapang walau ianya perit sekalipun. Ingat....engkau hanya seorang hamba!!!!!.
Seorang hamba patut menerima apa sahaja perlakuan dari TuanNya. Inilah ilmu yang mesti diistimalkan sewaktu berdukacita dalam kehilangan dunia; Harta benda, pangkat, kedudukanmu, Keramat, ilham, laduni, barakah yang pernah diberikan, harus bagiNya menarik balik bila-bila masa dan apa jua masa sekalipun, mengikut barang KehendakNya. Untuk itu, serahlah dan redholah kepada Kekuasaan dan KehendakNya Yang Mutlak dengan melenyapkan upaya, kuasa dan kehendak-kehendak dirimu.

Seterusnya apabila kedukaan dirimu itu kerana disakiti, dizholomi atau dianiyai oleh manusia lain, maka adalah menjadi kewajipanmu sebagai seorang hamba menerimanya dengan sabar. Sabarlah dengan kerenah makhluk lain dengan memandang kepada Yang Menjadikannya yakni Allah.

Seorang Wali Allah Abu Osman Al-Hairi dijemput oleh seorang dalam jamuanmakan. Apabila beliau datang, beliau pun dihalau dengan kata-kata yang kasar. Kemudian beliau diajak lagi. Beliau datang lagi tetapi dihalau lagi. Beliau pun pulang. Beliau diajak lagi. Beliau pergi dan dihalau lagi.
Beliau pulang. Lebih kurang 30 kali perkara itu berlaku tetapi beliau tidak peduli. Akhirnya orang itu menjadi murid beliau dan menghormati beliau. Murid itu bertanya bagaimana beliau dapat menahan sabar sedemikian. Al-Hairi menjawab;

"Sebenarnya tidak ada luar biasa tentang perkara itu. Apa yang saya buat, anjing pun boleh buat. Apabila diajak dia datang;apabila dihalau, dia pergi. Ini bukanlah tanda kewalian yang besar".

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan adapun apabila datang dukacita atasmu dan tiada engkau ketahui baginya sebab, maka waktu itu dua waktu; Suatu malam, kedua siang.
Maka duka itu diumpamakan dengan malam dan suka itu diumpamakan dengan siang.

Keterangan Suluk

Setelah diperincikan berkenaan dengan dukacita yang diketahui sebab dan puncanya, maka keterangan selanjutnya menjelaskan pula berkaitan dengan dukacita yang tidak diketahui sebab atau puncanya. Hal ini biasalah berlaku ke atas hati seorang hamba. Tanpa sesuatu kerana, tanpa sesuatu sebab, tiba-tiba sahaja hati menjadi cemas, atau berdebar-debar, atau rasa cemas, rungsing dan berdukacita.

Mengikut keterangan di atas, apabila hadir pelbagai rasa dukacita seperti di atas, maka hendaklah disedari dan difahami bahawa sememangnya ianya adalah menjadi lumrah kehidupan seorang hamba di dunia ini. Tidak ada satu manusia pun yang didatangkan semata-mata dengan sukacita dari semenjak ia lahir sehinggalah meninggalkan dunia yang fana ini. Demikian juga, dukacita itu tidaklah selama-lamanya. Duka dan suka pasti akan datang silih berganti sebagaimana silih bergantinya siang dan malam. Semata-mata sebagai satu fitrah makhluk yang bernama manusia.

Pun begitu, walaupun tanpa diketahui puncanya, seseorang hamba itu perlu juga melaksanakan adab-adab dalam Ubudiyahnya sebagaimana adab-adab yang lainnya.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka apabila datang duka atasmu dengan tiada sebab, maka engkau ketahui akan dia. Maka Wajib atasmu sukun(tetap hati dengan Qada' Allah). Dan sukun itu atas tiga perkara iaitu;

  • Sukun daripada segala qaul(perkataan);
  • Dan sukun daripada segala harkah(gerak-geri);
  • Dan sukun daripada segala iradat.
Keterangan Suluk

Apa yang dituntut dan dikehendaki oleh seorang hamba ialah beradab dengan sukun yakni tetap dan teguh berdiri hatinya dengan Qada' Allah Taala. Tidak merungut-rungut, tidak berganjak daripada hemah dan cita-citanya yang satu, tidak mudah kalah kepada rasa sakit, perit dan penderitaan yang mendatangi, tidak mempedulikan kerisauan dan kebimbangan yang datang cuma sebagai satu bentuk kenyataan dan penzhohiran Kehendak dan Kekuasaan Allah Taala.

Dan adalah sukun ataupun tetap hati dengan Qada' Allah itu terbahagi kepada tiga perkara;

  • Pertamanya, Sukun daripada segala qaul yakni tidak merungut-rungut, merintih-rintih dan merayu-rayu simpati dan menagih kefahaman daripada manusia lain. Biasanya, bila kita ada masalah, maka hati kita perlukan seseorang sebagai tempat untuk mengadu dan mencurahkan perasaan yang tertekan itu. Ini bukannya adab sebagai seorang yang sukun dalam perkataannya. Apalah daya manusia untuk memahaminya, membuangkan rasa resah gelisah itu sedangkan diri mereka sendiri pun turut terpenjara dalam kurungan pelbagai perasaannya. Cukuplah....memadalah Allah sahaja yang mengetahuinya kerana Dialah satu-satunya yang sebaik-baik tempat untuk diadu dan dirujuk. Tahanlah lidahmu itu daripada mengeluarkan perkataan yang boleh merosakkan adab-adabmu sebagai seorang hamba yang melaksanakan Hak Ubudiyahnya.
  • Keduanya, sukun daripada segala harkah yakni gerak-geri. Tidak menunjukkan tanda-tanda kegelisahan, cemas dan rimas pada peribadinya. Tenang dan bersahaja dalam menerima apa jua kedukaan sehinggakan orang yang terdekatnya tidak menyedari kedukaan di hatinya. Tidak lalai dari untuk terus mengistiqamahkan wirid-wirid dan taat yang dikerjakan. Tetapkanlah anggotamu daripada bertindak dan melakukan sesuatu yang akan merosakkan adab-adabmu sebagai seorang hamba yang melaksanakan Hak Ubudiyahnya.
  • Ketiganya, sukun daripada segala iradat yakni tetap dan teguh kehendak hatinya. Tidak berubah hemah dan maksud cita-cita hati walaupun dengan terpaksa mengharungi kepayahan dan kepahitan. Teguhkanlah langkahan kakimu di atas jalan kepada Allah itu daripada memijak simpang-simpang yang boleh merosakkan adab-adabmu sebagai seorang hamba yang melaksanakan Hak Ubudiyahnya.
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan barangsiapa ada waktunya sukacita, maka tiada sunyi ia ada kalanya diketahui baginya sebab. Maka segala sebab sukacita itu tiga perkara iaitu;

  • bertambah dalam taat atau;
  • bertambah dari dunia dengan kasab(usaha dan ikhtiar) atau barang sebagainya atau ;
  • beroleh puji dari manusia.
Keterangan Suluk

Adapun sebab-sebab sukacita diketahui itu pula berpunca daripada tiga perkara iaitu;

  • Bertambah dalam taat;
    • Rajin dan dapat merasai manis dan lazat dalam taat
    • Suka untuk menambahkan ilmu pengetahuan berkenaan dengan Syariat dan Jalan Ketuhanan.
    • Didatangi ilmu laduni yang dapat menyempurnakan amal taatnya.
  • Bertambah dari dunia dengan usaha kasab
    • Semua kerja-kerja yang dibuat menjadi
    • Dinaikkan pangkat atau jawatan yang lebih tinggi
    • Hasil kebun atau tangkapan ikan bertambah banyak
    • Diberikan rumah, tanah dan harta benda kerana sesuatu jasa kebaikan
  • Beroleh puji dari manusia
    • Seorang yang alim dan wara'
    • Seorang yang baik dan berbudi-pekerti yang tinggi
    • Seorang yang banyak berjasa kepada masyarakat dan agama.
Yang mana semua contoh-contoh di atas akan menghasilkan kegembiraan dan sukacita pada hati seseorang hamba. Pun demikian, dalam berseronok dan bersukacita itu, seseorang itu janganlah pula lupa dan lalai kepada adab-adabnya sebagai seorang hamba. Ubudiyahnya menuntut agar mereka melaksanakan adab-adabnya sebagaimana...............

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka apabila datang atasmu suka daripada salah suatu daripada sebab ini, maka Ubudiyah itu menghendaki bahawa engkau lihat asar nikmat dan kurnia daripada Allah Taala atasmu dan jangan engkau lihat daripada bahagian suatu bagi dirimu.

  • Dan adapun (Ubudiyah) dalam bertambah taat itu, maka hendaklah engkau melazimkan(tetap/istiqamah) dia; dan takut hilang daripada yang dikurniakan atasmu; maka engkau binasa.
  • Dan (Ubudiyah) dalam bertambah dunia itu, maka iaitu nikmat pula; dan takut olehmu daripada yang tersembunyi daripada kebinasaannya.
  • Dan dalam puji manusia itu, maka Ubudiyah itu menghendaki akan syukur nikmat daripada yang ditutup(aib) atasmu; dan takut olehmu daripada Allah Taala akan menzhohirkan daripada yang batin daripadamu. Maka membinasakan manusia itu kepadamu.
Keterangan Suluk

Bila saja datang nikmat kesukaan pada dirimu, maka wajib ke atasmu melaksanakan adab-adab Ubudiyahmu semasa bersukacita itu. Pandanglah dan lihatlah ianya sebagai satu tanda penzhohiran nikmat dan anugerah Allah ke atas dirimu tanpa sesuatu sebab atau kerana daripada dirimu. Bergembiralah dengan Kurnia Allah itu untuk Allah kepada Allah, bukan kerana telah buat itu dan buat ini, ada ini dan ada itu. Tidak diizinkan sama sekali untuk kau memandangkan dan melihat ianya kepada bahagian dirimu. Dengan kerana itu,

Apabila bertambah dalam taat, maka peliharalah kurniaNya ini dengan menetapkan dan mendawamkan serta mengistiqamahkan ketaatan itu di samping punya rasa takut dan bimbang ianya akan disentak dari dirimu. Ini adalah kerana kegagalan untuk memelihara dan mengistiqamahkan ketaatan yang didirikan itu, merupakan sebagai satu bencana dan musibah yang akan membinasakan dirimu nanti. Sebab itulah, telah muafakat segala orang-orang Arif mengatakan bahawasanya "Istiqamah itu terlebih baik daripada seribu keramat". Dalam mendapat sukacita keramat, ramai yang telah kecundang dan binasa atau sekurang-kurangnya tersekat jalannya untuk Wasil ilaLlah dengan sebab memandang kepada bahagian dirinya dan bersukacita dengan keramat tersebut sehingga mengabaikan istiqamah dalam taatnya..

  • Apalah lebihnya dapat terbang di udara kerana haiwan burungpun dapat melakukannya.
  • Apalah hebatnya dapat berjalan di atas air kerana ikan-ikan yang menjadi makanan makhluk lainpun dapat melakukannya.
  • Apabila takjubnya menerawang ke alam ghaib, kerana jin dan iblis laknatullah pun berupaya melakukannya.
Demikian juga dalam bertambah dunia. Ianya hendaklah tidak lebih sebagai satu nikmat untuk tubuh badanmu, maka Ubudiyah itu menghendaki agar engkau memandangnya sebagai satu pemberian dari Allah untuk dirimu yang bukannya untuk digunakan sewenang-wenangnya. Bukan pula untuk dijadikan sebagai penegak status dan kedudukan dirimu sebagai seorang yang berharta atau berpangkat di sisi masyarakat; dan jauh sekali bukannya sebagai satu lambang kejayaan dirimu yang cekap dan bijak dalam mengurus kehidupan duniamu sebagaimana sangkaan di jahil. Di samping itu juga, hendaklah engkau sentiasa berhati-hati dan takut kepada sesuatu kebinasaan yang tersembunyi di sebalik nikmat dunia itu. Ianya seumpama racun yang tersembunyi di sebalik kelazatan satu hidangan makanan yang berhiasan cantik dengan aromanya yang membangkitkan selera. Silap makan, dirimu akan binasa atau menderita dihinggapi penyakit yang kronik.

Dan dalam mendapat pujian dan sanjungan manusia itu, hak Ubudiyah itu menuntut agar engkau bersyukur di atas nikmat Allah yang telah menyembunyikan banyak aib dan celanya dirimu itu. Segala yang buruk-buruk dan dan rendah-rendah Allah sembunyikan daripada dapat dikesani oleh kebanyakan manusia. Bersyukur engkau itu adalah kerana walaupun dirimu masih kurang dan penuh dengan keaiban, Allah dengan limpah RahmatNya menzhohirkan dan menyatakan apa-apa yang baik sahaja pada pandangan manusia. Memang sepatutnya engkau bersyukur dan terus bersyukur kepadaNya.

  • Batinpun masih ada riya, ujub dan suma'ah tetapi manusia memandangmu sebagai seorang yang berbudi-pekerti yang mulia dan tinggi.
  • Batinmu masih meraba-raba dalam hakikat dan makrifat, tetapi manusia memujimu sebagai seorang Ahli Thoriq atau Ahli Tauhid yang Alim,
  • Batinmu masih penuh dengan hama-hama takabbur dan lalai, tetapi manusia memujimu sebagai seorang yang bertawaduk dan khusyuk.
Untuk itu, hendaklah engkau sentiasa takut kepada Allah daripada menzhohirkan kejahatan, keaiban dan kejelekan batinmu kerana sekali Allah dedahkan perihal dirimu yang sebenarnya, maka binasalah dirimu dengan kejian dan cacian manusia yang pernah memuji dan menyanjungi dirimu. Di manakah lagi harga dirimu di sisi mereka? Di manakah lagi kesukaan dan kebanggaan dirimu selama ini? Sesungguhnya Allah itu Maha Pelindung dan dalam berkasih sayang IaNya telebih Kasih dan Sayang daripada kedua ibu-bapamu hatta daripada dirimu sendiri. Masya Allah.....di manakah lagi dapat dicari Kasih Sayang yang melebihi Kasih Sayang Allah Taala ini?

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan adapun sukacita yang tiada diketahui baginya sebab itu, maka hak Ubudiyah dalamnya itu [ialah dengan] meninggalkan meminta dan sejahteralah ia hingga mati. Inilah adab dukacita dan adab sukacita dalam Ubudiyah. Wassalam Intaha (Sayyidi Abu Hassan Al-Syazili ra.).

Keterangan Suluk

Maksud meninggalkan meminta ialah tidak cenderung dan berharap lagi akan rezeki dan habuan di tangan-tangan makhluk; dan tidak lagi meminta-minta kepada Allah; kerana dalam Ubudiyah jenis ini, apabila sudah didapati akan sukacita itu dengan tanpa diketahui sebab-sebabnya, maka hendaklah diyakini bahawa limpah kurnia Allah Taala itu adalah tanpa ada sedikitpun campur tangan dan bahagian makhluknya. Bukan kerana itu, bukan kerana ini dan apa-apa kerana jua.

Allah bisa sahaja memberikan sesuatu yang memang diperlui walaupun tanpa diminta. Ia lebih Mengetahui mana yang patut dan mana yang tidak layak untuk seseorang hamba. Di dalam doa dan meminta-minta itu seakan menyatakan bahawa Allah itu perlu diingat-ingatkan akan hak kita, perlu dirayu-rayu untuk disampaikan sesuatu hajat sedangkan Allah Taala telah Menentukan dan Mengkadarkan sesuatu habuan buat seseorang hamba sebelum ianya dijadikan lagi. Permintaanmu itu seakan mengandungi ketidakyakinanmu terhadapNya.

Maka dengan sebab itu ada sebahagian dari para sufi yang sampai ke maqam ini meninggalkan asbab, meninggalkan tadbir dan ikhtiar, meninggalkan meminta-meminta terhadap makhluk hatta meninggalkan berdoa kepada Allah Taala. Bukan kerana mereka menafikan sunnah Rasulullah untuk sentiasa berdoa dan meminta kepada Allah, tetapi semata-mata menunjukkan hampirnya kedudukan dirinya dengan Allah Taala, sehingga merasa malu untuk meminta lagi kerana telah dilihat olehnya batapa banyaknya kebaikan yang tiada kehinggaan dilimpahkan oleh Allah ke atasnya; yang tidak diminta olehnya, dihajati olehnya dan yang tidak pernah terlintas di hatinya

Dan orang begini akan sentiasa sejahteralah ia daripada sebarang pesekutuan dan syak wasangka terhadap Allah. Sejehteralah mereka sehingga mereka menemui TuhanNya Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Demikianlah berakhirnya keterangan (Sayyidi Abu Hassan Al-Syazili ra.) berkenaan dengan kata-kata yang didatangkan oleh Tok Pulau Manis dalam usahanya untuk memperincikan berkenaan dengan Dukacita dan Sukacita dan bagaimana seharusnya seorang hamba melaksanakan adab-adab kehambaannya untuk dihadapkan kepada Haq Ketuhanan Allah.

Bersambung lagi dalam catatan pengajian yang berikutnya ......Hakikat Tegah Dan Kurnia

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran