Hama Nafsu Disebalik Sukacita

Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang selanjutnya mengikut terjemahan Tok Pulau Manis sebagaimana berikut;

Bermula segala orang yang Arif itu apabila disukakan mereka itu terlebih takut daripada mereka itu apabila didukakan mereka itu; dan tiada berdiri atas segala had adab pada masa sukacita melainkan sedikit.

Keterangan Suluk

Orang yang Arif adalah satu golongan hamba Allah yang dikurniakan pandangan mata hati yang tajam dan jauh menembusi zhohir tiap-tiap suatu bentuk. Bukan setakat itu sahaja, malahan mereka dapat menjejaki penglihatan kepada batin dari batinnya sesuatu. Tidak hairanlah kerana mereka adalah ahli makrifat yang mana dengan cahaya makrifat ini menjadikan mereka arif dan cerdik dalam membezakan antara sesuatu yang haq dengan sesuatu yang batil. Cahaya mereka seumpama tebaran cahaya matahari yang mampu menyuluh sesuatu yang tersembunyi di bumi yang gelap pekat .

Berbeza dengan yang tidak arif, yang terdiri dari murid dan salik. Pandangan mereka adalah pandangan yang tumpul dan terhijab. Golongan ini masih tidak dapat membezakan lagi antara yang haq dengan yang batil. Masih terkeliru dan nanar dengan pelbagai pengalaman dalam perjalanan.

  • Adakala yang jahat itu dikatakan baik, sebaliknya yang baik dikatakan jahat;
  • Sering terpedaya dengan kecantikan zhohir masyiwaLlah;
  • Suka dan cenderung kepada sesuatu yang ghaib, sedangkan di dalamnya mudah terdedah kepada tipu daya syaitan;
  • Benci dan tidak suka apabila dikatakan jahil dan tidak beradab
  • Senang dengan kepujian dan perhatian manusia;
  • Rimas dan cemas apabila berkurangan pandangan manusia terhadapnya
  • Kagum dan hebat pada keramat-keramat yang mencarik adab,
  • Meremehkan asbabnya dan memuliakan Tajrid orang
  • Suka dengan rezeki yang dilimpahkan dan kalau bolehlah biarkan ianya tetap dan berterusan.
  • Aman dengan kehadiran pelbagai nikmat yang datangnya tidak disangka-sangka.
  • Pendek-katanya, mereka suka dan kasihkan yang baik-baik tetapi tidak senang dan rimas dengan sesuatu yang menyakitkan dan mendukakan.
Inilah perihal berkenaan dengan pemikiran(mentaliti) para murid dan salik yang tidak arif. Tidak cerdik dan tumpul akalnya seperti mana yang dimiliki oleh orang-orang Arif.

Ini adalah kerana segala orang yang Arif itu apabila disukakan mereka itu terlebih takut daripada mereka itu apabila didukakan mereka itu yakni betapa orang-orang Arif itu tersangat takutnya mereka apabila didatangkan suka dan nikmat daripada ditimpakan kedukaan. Mereka takutkan sukacita yang mendampinginya, tidak sebagaimana sewaktu berdukacita.

  • Banyak melakukan dosa dan penderhakaan kepada Allah, mereka tidak berapa takut sangat;
  • Sedih kerana hilangnya dunia, mereka tidak berapa takut sangat;
  • Tersinggung dengan karenah manusia yang menghina dan yang memandang sepi dirinya mereka tidak berapa takut sangat;
  • Susah dalam menjalani kehidupan harian, mereka tidak berapa takut sangat;
  • Sempit rezeki yang bangsa zhohiriyah, bukanlah dibimbangkan sangat,
  • Berduka dengan pelbagai musibah dan bala, tidaklah digeruni sangat;
  • Sedih kerana tidak terbuka sesuatu yang ghaib, tidaklah dihiraukan sangat;
Datanglah apa sahaja yang jahat-jahat, yang susah-susah atau duka-duka seperti di atas, namun semuanya itu bukanlah menjadi ketakutan mereka sebagaimana yang ditakuti oleh para murid dan salik.

Tetapi yang ajibnya orang Arif ini ialah kerana mereka teramat takut sekali apabila dihadirkan dengan sesuatu yang sememangnya disukai dan diburui oleh kebanyakan manusia itu;

  • Takutnya si Arif apabila tiba-tiba terbuka yang ghaib sebelum ini tertutup;
  • Takut dan bimbangnya si Arif apabila ramai menaruh perhatian terhadap "hal"nya;
  • Takutnya si Arif apabila limpahkan pelbagai keistimewaan diri yang mencarik adat.
  • Takutnya si Arif bila sesuatu yang sebelum ini penat dan payah, tiba-tiba menjadi mudah dan senang.
Kenapa sampai begitu sekali ketakutan orang yang Arif ini sehinggakan sesuatu yang memang terkhusus untuknya dari anugerah TuhanNya pun sangat ditakutinya?

Bukankah kedatangan nikmat-nikmat itu yang sering kali menjadi harapan dan meniti di bibir kebanyakan orang apabila berbicara mengenai kesufian?.....sehinggakan dibicarakan dengan begitu takjub dan hebat-hebat sekali sampai menyeronokkan para pendengar. Keramat itu, keramat ini, boleh buat itu, boleh buat ini, nampak begitu, nampak begini dan pelbagai lagi perkara-perkara pelik yang menunjukkan si pendengar dan si yang bercerita itu asyik dan tertarik dengan sukacita-sukacita itu.

Sebenarnya. bukan di situ terhentinya pandangan orang yang benar-benar Arif. Bukan pada manisnya kesukaan nikmat-nikmat itu. Bukan pada gula-gula yang lemak bermadu. Bukan pada ketakjuban dan kehebatan yang ditiliki melainkan dengan kerana bimbangnya mereka bahawa tiada berdiri atas segala had adab pada masa sukacita melainkan sedikit yakni jarang sekali kebanyakan manusia yang arif apatah lagi yang di bawahnya dapat bertahan menjaga segala had adab semasa didatangi kesukaan nikmat. Tidak ramai melainkan sedikit sahaja yang dapat melaksanakan had adab semasa menerima anugerah nikmat kesukaan. Kebanyakan mereka mudah terdedah untuk jatuh kufur dalam tipu daya hawa nafsunya. Memang begitulah, nafsu itu memang licik menyamar. Hanya yang benar-benar punya pandangan yang tajam dan yang teguh adab-adabnya sahaja yang mampu selamat dari tipuan bahagian nafsu ini. Yang pastinya, jarang manusia yang dapat meneguhkan adab-adabnya semasa sukacita itu.

Dengan kata lain, kebimbangan dan ketakutan orang Arif ialah dari wujudnya campur tangan hawa nafsunya dalam mengambil bahagian semasa bersukacita. Demikianlah yang boleh kita ikuti dari huraian dan kupasan Tok Pulau Manis berkaitan dengan Kalam Hikmah di atas. Huraian dan penjelasan yang lebih detailnya, boleh kita dapati dari...........

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Hanya sungguhnya sangat takut segala orang yang Arif dalam sukacita yang tiada sangat takut ia dalam dukacita daripada kejahatannya bagi hawa nafsu; bersalahan dengan dukacita seperti yang lagi akan dikata Mualif sekarang;

Keterangan Suluk

Takutkan sesuatu yang berupa sukacita dengan pelbagai nikmat pada orang Arif itu ialah kerana sememangnya suka dan nikmat itu selari dan bersetujuan dengan kecenderungan hawa nafsunya. Hawa nafsu memang sifatnya suka dan kasih kepada yang senang-senang, yang mudah-mudah, yang suka-suka, yang banyak-banyak, yang lebih-lebih, yang tinggi-tinggi, yang halus-halus, yang ajaib-ajaib, yang pelik-pelik, yang ganjil-ganjil dan entah apa lagi asalkan yang mensukacitakan. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk seseorang hamba selamat dan bebas daripada bersekutu dengan hawa nafsunya dalam mengambil dan menerima sesuatu yang disukai itu. Tidaklah mudah, malahan banyak sudah yang sudah binasa dalam manis gula itu.

Bersalahan dengan sesuatu yang mendukacitakan.

  • Mana ada hawa nafsu yang suka pada yang payah-payah,
  • Mana ada hawa nafsu yang suka pada yang susah-susah,
  • Mana ada hawa nafsu yang suka pada yang sakit dan kesengsaraan'
  • Mana ada hawa nafsu yang suka pada yang sikit-sikit, yang lambat-lambat, yang kurang-kurang dan sebagainya lagi?
Inilah yang akan cuba diperkatakan dalam catatan pengajian yang berikutnya;

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka takut mereka itu pada ketika itu daripada rujuk mereka itu kepadanya(nafsu) dan merasai mereka itu bagi besar(megah) nafsu mereka itu dalam demikian itu menjauhkan mereka itu.

Keterangan Suluk

Ditegaskan di sini, bahawa ketakutan mereka itu sebenarnya adalah kerana takutkan dari wujudnya campurtangan hawa nafsunya dalam mengambil suka dan nikmat itu. Dengan adanya campurtangan itu, maka timbullah tanpa disedari sesuatu yang didorongkan atas hawa nafsunya.

  • Bagaimana hendak dihindar kemungkinan yang menjadikan mereka berasa megah dan selesa sedangkan memang selayaknya diri mendapat kesukaan itu hasil dari perjuangan dan mujahadahnya yang bertahun-tahun?
  • Bagaimana hendak dihindar kemungkinan yang menjadikan merasa sombong dengan sesuatu yang dimiliki, sedangkan dirasai memang sepatutnya ada ego itu sebagai seorang yang banyak ilmu dan pengalaman dalam keruhaniannya sewaktu berhadapan dengan si jahil?
  • Bagaimana hendak dihindari kemungkinan yang menjadikan mereka merasai lebih daripada orang lain, sedangkan pada waktu itu ramai yang menghormati dan mengkagumi dirinya?
Dan dalam demikian itu menjauhkan mereka itu yakni pada ketika rujuknya mereka kepada hawa nafsu, akan melontarkan mereka jauh dari Hadirat Allah Taala. Rasa hampir dan dekat dengan Allah, tetapi sebenarnya jauh dan semakin jauh dengan Allah. Masya Allah..... bagaimanakah yang sedang enak bersukacita akan bisa tersedar dan terselamat dari bencana yang sangat ditakuti oleh orang yang Arif ini.

Dan jika ada seorang berkata; Insya Allah saya boleh memelihara adabnya bila diberikan kesukaan itu yakni saya akan pandang kepada yang memberi iaitu Allah.

Kata-kata ini memanglah biasa kita dengar dan sesiapa pun boleh berbuat demikian. Waktu nikmat pandang Allah; tetapi persoalannya bolehkah dipeliharakan kecenderungan nafsunya yang memang suka pada sesuatu nikmat itu. Mulut kata pandang Allah, tetapi di hati kecil kita amat senang sekali dengan kehadiran nikmat itu. Ramai yang takjub dengan kebolehan kita, ramai yang mengunjungi kita minta nasihat, ramai yang beri itu dan ini kepada kita. Adakah boleh kita pelihara adab-adab tersebut sedangkan dalam masa yang sama, kita senang dengan nikmat-nikmat tersebut?

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran