Kelebihan Bang (Azan)

Pada Menyatakan Kelebihan Bang (Azan)

Sabda Nabi SAW : ”Barangsiapa bang bagi sembahyang tujuh tahun padahal mengkira-kirakan pahalanya pada Allah, tiada mengambil upah, nescaya disurat oleh Allah Ta’ala baginya kelepasan daripada api neraka”.

Dan pada satu riwayat : ”Diharamkan Allah dagingnya dan tubuhnya atas binatang yang melata pada bumi daripada memakan akan dia di dalam kuburnya.”

Dan bertanya seseorang akan Rasulullah SAW, sembahnya : ”Ya Rasulullah, khabarkan olehmu akan daku dengan amal yang memasukkan daku dengan dia akan syurga”.

Sabda Nabi SAW : ”Jadikan diri kamu tukang bang bagi kaum kamu, berhimpun mereka itu bersembahyang dengan kamu”.

Sembahnya : ”Maka jika tiada kuasa?”

Sabda Nabi SAW : ”Jadikan dirimu imam bagi kaum kamu, sembahyang mereka itu dengan kamu”.

Sembahnya : ”Maka jika tiada kuasa?”

Sabda Nabi SAW : ”Maka lazimkan olehmu dengan saf awal”.

Dan dari Abi Sa’id Al-Khudri Radhiyallu’anhu, bahawasanya bersabda Nabi SAW baginya : ”Apabila ada kamu di dalam dusun, maka bang olehmu dan angkatkan suara kamu, maka bahawasanya tiada mendengar akan dia oleh segala pohon kayu dan tanah dan manusia dan jin melainkan menaik saksinya pada hari qiamat pada Allah Ta’ala”.

Dan sabda Nabi SAW bermaksud : ”Barangsiapa bang dua belas tahun, nescaya wajib baginya syurga”.

Dan sabda Nabi SAW bermaksud : ”Tiga orang dipelihara itu oleh Allah Ta’ala daripada seksa kubur”.

Pertama: Orang mati syahid

Kedua : Tukang bang

Ketiga : Orang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat.

Riwayat al-Bukhari daripada Nabi SAW bahawasanya bersabda ia: Barangsiapa mendengar namaku pada bang dan menghantar ia pada akan dua ibu tangannya atas dua matanya dan membaca ia akan doa ini, akulah yang menuntut akan dia pada padang qiamat, iaitu :”Wahai Tuhan Yang maha melihat tanpa biji mata, peliharalah kedua maatku dan terangkanlah kedua-duanya”.

Muadzdzin Nabi SAW

Dan adalah bagi Nabi SAW empat orang muadzdzin :

  1. Bilal Ibnu Rabah, ialah awal-awal orang bang pada Islam
  2. Ibnu Ummi Maktum
  3. Sa’ad Ibnu ’A’idz
  4. Abu Mahdzurah

Hikayat

Adalah Siti Zubaidah pada majlis minumannya dan adalah padanya beberapa orang yang menyanyi, maka mendengar ia akan bang pada kampungnya, maka menegah ia akan mereka itu daripada menyanyi hingga selesai orang bang daripada bangnya, maka menjawab ia akan seumpamanya.

Maka tatkala matinya dilihat akan dia oleh setengah orang yang solehin di dalam tidurnya maka berkata ia baginya: ”Hai Zubaidah, apa perbuat Allah Ta’ala akan dikau?” Katanya: ”Diampuni akan daku Tuhanku”. Katanya : ”Dengan sebab engkau perbuat kolam yang engkau gali di jalan Makkah dan Madinah??” Katanya : ”Tiada, maka bahawasanya adalah yang demikian itu beberapa harta yang bercampur, maka dijadikan pahalanya bagi empunyanya”. Maka katanya: ”Pada apa yang diampunkan kamu?” Katanya : ”Adalah pada aku majlis yang sunyi tempat permainan, maka apabila bang muadzdzin aku palingkan daripada bermain-main dan bergendang hingga selesai muadzdzin daripada bangnya, maka firman Allah Ta’ala bagi malaikatNya: ”Tahankan oleh mu daripada menyeksakan dia, maka jikalau tiada ada tauhid pada hatinya sangat mahir pada ketika siumannya, nescaya tiada menyebut ia akan Daku pada ketika mabuknya”. Maka diampunkan daku dengan demikian itu”.

Dan sabda Nabi SAW bermaksud: ”Tiga orang di dalam naungan ’Arasy pada hari tiada bayang-bayang melainkan bayang-bayang ’Arasy:

  1. Imam yang adil
  2. Tukang bang yang memelihara bangnya
  3. Orang yang membaca Al-Quran pada tiap malam dua ratus ayat.

Dan lagi katanya: ”Sayugianya atas muadzdzin memelihara daripada tersalah pada dua kalimah syahadah dan mengetahui dengan waktu, maka jangan bang melainkan kemudian daripada masuk waktu melainkan bang fajar, yakni bang dahulu daripada fajar dan mengira-ngirakan dengan bang itu bagi Allah Ta’ala, jangan mengambil upah. Dan berhadap akan qiblat dengan mukanya pada takbir dan dua kalimah syahadah dan berpaling dengan mukanya ke kanan dan ke kiri pada kata ”Hayya ’alassolah” dan Hayya ’alalfalah”.

Dan apabila bang Maghrib hendaklah duduk sedikit antara bang dan qamat. Dan makruh bang bagi orang junub dan orang berhadas.

Wallahu a’alam

Al-Jauhar Al-Mauhub Wa Munabbihat Al-Qulub

(Permata Pemberian Yang Indah Dan Menjaga Segala Hati Yang Lalai)

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran