Sirus Salikin : Fasal Menyatakan Kelebihan Lapar

Ini suatu fasal pada menyatakan kelebihan lapar dan kecelaan kenyang. Bermula kelebihan lapar itu iaitu sabda Nabi s.a.w. ertinya perangi oleh kamu akan diri kamu itu dengan lapar dan dahaga maka bahawasanya pahala di dalam yang demikian itu seperti pahala berperang di dalam perang sabil dengan kafir dan bahawasanya tiada daripada amal yang terlebih kasih kepada Allah Ta’ala daripada lapar dan dahaga.

Dan lagi sabda Nabi s.a.w ertinya : Tiada masuk seseorang yang memenuhi akan perutnya itu ke dalam alam malakut iaitu alam yang ghaib dan dinamakan akan dia alam al mithal dan alam arwah iaitu yang dapat dilihat akan dia dengan mata hati dan tiada dapat dilihat akan dia dengan mata kepala. Bersalahan alam al jasam maka iaitu dapat dilihat akan dia dengan mata kepala.

Dan lagi sabda Nabi s.a.w yang ertinya : Bermula yang terlebih afdhal martabat kamu pada Allah Ta’ala itu iaitu orang yang memanjangkan akan lapar dan membanyakkan tafakur akan nikmat Allah Ta’ala. Dan amal kamu yang terlebih benci kepada Allah Ta’ala itu iaitu tiap-tiap yang membanyakkan tidur dan membanyakkan makan dan membanyakkan minum.

Dan lagi sabda Nabi s.a.w yang ertinya : Bahawasanya Allah Ta’ala mengkhabarkan akan malaikat dengan kemegahan orang yang mengurangkan makan dan minum di dalam dunia dengan firmannya bagi malaikat itu : Lihat oleh kamu kepada hambaKu padahal Aku beri akan dia dengan makanan dan minumannya di dalam dunia maka meninggalkan ia akan keduanya kerana Aku. Naik saksilah kamu atasKu hai malaikatKu, tiada meninggalkan ia satu makanan melainkan aku gantikan akan dia dengan sebab ia meninggalkan akan makanannya itu akan beberapa darjat di dalam syurga.

Lagi kata Sulaiman Rahimahullahu Ta’ala : bahawasanya aku meninggalkan akan satu suapan daripada makananku pada petang-petang, itu terlebih kasih kepada aku daripada aku berbuat ibadah semalam-malam hingga waktu subuh.

Bermula kecelaan kenyang itu iaitu sabda Nabi s.a.w ertinya : Tiada sesuatu kejahatan manusia yang terlebih daripada segala kejahatan yang memenuhi akan perutnya dengan makanan dan memadalah anak Adam itu memakan ia akan sedikit makanan yang mendirikan akan pinggangnya pada berbuat ibadah akan Allah Ta’ala dan jika mengerjakan ia akan makanan itu, maka hendaklah ia membahagikan akan perutnya itu iaitu tiga bahagian. Satu bahagian tempat makanannya, dan satu bahagian tempat minumannya dan satu bahagian tempat nafasnya.

Dan lagi sabda Nabi s.a.w. ertinya : Jangan kamu mematikan akan hati kamu itu dengan banyak makan maka bahawasanya hati itu seperti tanaman apabila dibanyakkan atasnya air nescaya mati ia.

Dan tersebut dalam kitab Taurat : ertinya bahawasanya Allah Ta’ala benci akan orang yang alim yang gemuk tubuhnya.

Dan lagi kata Saidina Abdullah bin Masud radiallahu anhu : Bahawasanya Allah Ta’ala benci akan orang yang qari yang gemuk tubuhnya. Dan lagi tersebut di dalam hadith ertinya, bahawasanya memakan di atas perut yang kenyang itu iaitu mempusakai akan penyakit sopak. Waallahu ’alam...

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran