Zuhud : Cara Paling Berkesan Untuk Mengatasi Dunia dan Isinya

Dengan demikian, jelaslah bahawa bila zahirmu sibuk mencari dunia sahaja dan batinmu pula sibuk dengan keinginan pada dunia sahaja, maka tiada mudah bagimu mengerjakan ibadah yang sebenar-benarnya. Adapun bila engkau berpaling dari dunia samada zahir mahupun batin, maka tentu akan mudah sekali bagimu untuk mengerjakan ibadah, bahkan anggota tubuhmu akan menolong engkau untuk melakukan ibadah.

Telah diriwayatkan oleh Sayyidina Salman al-Farisi r.a., bahawa beliau berkata: ”Sesungguhnya seorang hamba Allah jika ia zuhud terhadap dunia, maka bersinarlah hatinya dengan hikmah, dan anggota tubuhnya tolong menolong untuk mengerjakan ibadah”. Inilah huraian mengenai kesempurnaan dan keagungan.

Sebab kedua yang mendorong seseorang kepada zuhud ialah kerana zuhud itu memperbanyak harga dan menjadikan tinggi nilai sesuatu amal. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Dua rakaat dari seorang alim yang hatinya zuhud, lebih baik dan lebih disukai oleh Allah SWT daripada ibadahnya orang-orang lain yang dilakukan sampai habis umur dunia (kerana ibadahnya tanpa ilmu dan tidak bernilai).”

Apabila ibadah boleh lebih mulia dan lebih banyak pahalanya dengan zuhud, maka wajiblah keatas orang-orang yang ingin beribadah yang sebenar agar berzuhud dan tajarrud terhadap dunia yakni tidak terpedaya oleh dunia.

Jika engkau bertanya: “Apakah makna dan hakikat zuhud itu?” Maka ketahuilah, bahawa zuhud itu, menurut ulama ada dua, iaitu: Zuhud yang mampu dikerjakan oleh hamba Allah dan zuhud yang tidak mampu dikerjakan oleh hamba Allah SWT.

Adapun zuhud yang mampu dikerjakan ada tiga macam, iaitu: Tiada mencari isi dunia yang ia tidak dimiliki, membahagikan isi dunia yang yang terkumpul padanya dan tiada menghendaki dunia dalam hatinya serta tiada mengikhtiarkannya.

Adapun zuhud yang tidak maqdur yakni tidak mampu dilakukan maka ianya merupakan satu bentuk ketenangan di dalam hati seorang yang zuhud.

Bila seseorang dapat melakukan zuhud yang maqdur, iaitu tidak menuntut dunia yang tidak ada padanya, dan ia dapat membahagi-bahagikan apa-apa yang ada padanya dengan jalan yang diredhai Allah SWT dan ia berkehendak terhadap dunia dalam hatinya serta tidak mengikhtiarkannya, kerana mengharapkan redha Allah SWT dan selalu mengingati besarnya bahaya dunia, maka itu bererti bahawa ia telah mewarisi kedinginan hatinya terhadap dunia, dan inilah hakikatnya zuhud.

Selanjutnya hendaklah dimaklumi bahawa yang paling sukar daripada yang tiga macam itu ialah tentang jenis zuhud yang mempunyai pengertian tidak ada keinginan dalam hati terhadap dunia.

Ramai orang yang meninggalkan dunia pada secara zahir sahaja, padahal dalam hatinya sangat berkeinginan dan cinta terhadap dunia, malah hatinya tenggelam dalam pergulatan dan penderitaan yang sangat payah. Sedangkan soal zuhud terletak seluruhnya pada soal ini, yakni meniadakan keinginan dalam hati yakni tidak tergila-gila dan tidak mabuk kepada dunia. Dalam hal ini perhatika firman Allah SWT yang bermaksud: “Aku jadikan syurga itu, untuk orang yang tiada menginginkan ketinggian dan kerusakan di muka bumi ini. (al-Qashas : 83)

Allah telah menyebutkan syarat untuk masuk syurga iaitu dengan tidak ada keinginan dan bukan dengan tidak mencari dan mengerjakan yang dikehendaki itu.

Jelaslah bagimu bahawa keterangan-keterangan dan isyarat itu. Semuanya ditujukan kepada urusan keinginan. Ini disebabkan kerana urusan iradah/keinginan itu, adalah suatu urusan yang sangat penting.

Jika seseorang itu membiasakan diri tetap diatas yang dua perkara itu, yakni membahagikan dunia yang ada padanya dengan dasar menuntut keredhaan Illahi dan tidak mencaari-cari yang tidak ada padanya, maka besar harapan ia mendapat kurnia dan taufiq Allah untuk menghalau keinginan dunia dalam hatinya dan untuk mengusahakan dunia itu secara lahirnya sahaja. Sesungguhnya Allah sangat Maha Mengasihani dan Maha Pemberi, Maha Suci dan Maha Agung.

Kemudian, hal-hal yang mendorong untuk tidak menuntut yang tidak ada dan membahagikan yang ada dengan perasaan ringan, ialah kerana mengingat bahaya dan aibnya dunia itu.

Bersambung...

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran