Jika engkau berkehendak bahawa ada bagimu kemuliaan yang tiada fana', maka janganlah engkau muliakan dengan kemuliaan yang fana'.
Keterangan Suluk
Isu pokok yang ingin disampaikan dari Kalam Hikmah di atas ialah berkenaan dengan;
• Apakah yang dimaksudkan sebagai Kemuliaan yang tiada fana' yakni kemuliaan yang kekal dan tiada binasa.
• Dan apakah pula yang dimaksudkan dengan Kemuliaan yang fana' yakni kemuliaan yang sekejap, tidak kekal dan akan hilang.
Apabila sudah diketahui dan difahami berkenaan jenis-jenis kemuliaan itu, maka sudah tentu engkau tidak akan memilih kemulian yang sekejap dan tidak kekal. Itu pun, jika engkau memahaminya dan berhemah dengan hemah yang tinggi.
Berkenaan dengan perihal kemuliaan ini, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dan kefahaman dari........
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Bermula kemuliaan yang tiada fana' itu iaitu kaya daripada segala asbab sekeliannya dengan diperoleh musabbabNya kerana Kekal tiada fana' Ia; maka takluk dengan Dia Mulia tiada fana.
Keterangan Suluk
Ada pun apa yang dimaksudkan dengan kemuliaan yang tiada fana' itu ialah kaya yakni tidak berhajat(tidak memandang) dan tidak mengambil sebarang faedah daripada apa jua asbab sekeliannya;
• Tidak berhajat kepada sebab-sebab yang membolehkan diri boleh mencapai dan memiliki barang yang dikehendaki;
• Tidak memandang kepada usaha, amalan dan tadbir diri dalam menghasilkan sesuatu;
• Tidak menilik kepada adat, cara dan aturan
• Tidak mengambil faedah dan bahagian demi untuk kepentingan diri dalam sesuatu yang terhasil
Dengan kata lain bolehlah kita katakan perinciannya sebagai;
• Tidak menghitung-hitung dan membilang-bilang pelbagai wirid dan zikir yang dihasilkan;
• Tidak mencari-cari dan memilih-milih amal ibadat yang barakah dan nyata waridnya dengan meremehkan warid-warid yang dianggap biasa.;
• Tidak memandang kepada usaha dan tadbir diri pada mendirikan amal taat.
• Tidak mengkhusus pada cara dan aturan sesuatu jalan sehingga melupakan jalan-jalan yang lain.
• Memutuskan keinginan dan kecenderungan kepada bahagian-bahagian nafsu syahwat yang tersembunyi.
Bahkan tidak memandang itu dan memandang ini, hatta wujud diri sendiri tidak dipandang dengan sebab diperoleh musabbabNya yakni Pembuat Sebab Yang Menzhohir dan Yang Menjadikan segala sesuatu dengan bersebab dan tanpa sebab iaitu Allah 'Azzawajalla. Adalah Zat Allah Taala itu adalah sesuatu yang Maha Mulia dan Maha Tinggi lagi Maha Kekal. Tidak fana' dan hilang sebagaimana lenyapnya kesan-kesan asbab-asbab yang dijadikan oleh Allah.
• Suka dan seronok dengan ketinggian harta benda, wang ringgit dan kaum keluarga semuanya akan fana dan tidak kekal.
• Bergembira dengan perhatian manusia, kedudukan diri, pangkat, jawatan dan sebarang gelaran dari makhluk adalah tidak lama dan akan binasa nanti;
• Cenderung kepada barakah amal dan wirid, warid-warid yang mencarik adat serta pelbagai pembukaan di alam sebelah sana adalah sementara dan akan hilang lenyap.
• Merasai kewujudan diri dan memiliki itu dan ini, adalah jua sesuatu akan binasa bila tiba masanya.
Maka sesungguhnya hanya dengan bersandar dan memandang kepada Allah Taala itulah sebenar-benarnya KeMuliaan; kerana Allah itu takluk dengan Dia Mulia
yang tiada fana atau binasa malahan IaNya Kekal dan Mulia selama-lamanya.
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kemuliaan yang fana' itu iaitu kaya dengan segala asbab serta ghaib daripada musabbabNya. Maka bahawasanya segala asbab itu fana', maka takluk dengan dia mulia yang fana; tiada kekal.
Keterangan Suluk
Keterangan di atas menjawab pertanyaan; Mengapa selain daripada Zat Allah itu merupakan sesuatu yang tidak mulia dan akan fana? Sebenarnya sesuatu selain dari Allah itu apabila tiba tempoh waktunya akan fana' atau akan hilang jua kerana mulia yang dipandang itu kaya dengan segala asbab serta ghaib daripada musabbabNya iaitu Kemuliaan itu sebenarnya bergantung dan bersandar kepada sebab-sebabnya dengan melupakan kepada Allah sebagai MusabbabNya.
• Aku punya ilmu banyak kerana aku rajin mengaji dan tekun mengkaji;
• Aku dapat melihat sesuatu yang tidak dilihat oleh orang lain kerana aku mengistiqamahkan wirid-wirid dan zikir yang mustajab.
• Aku mendapat kedudukan dan perhatian di kalangan sahabat dan manusia lain kerana melaksanakan adab-adab halku.
• Jalan dan keadaan diriku sahaja yang betul dan benar, sementara yang lain ada cacat-celanya.
• Aku boleh itu dan boleh buat ini yang mencarik adat kerana keberkatan yang ada pada maqamku.
Inilah sebahagian daripada pengertian kaya dengan segala asbab serta ghaib daripada musabbabNya(Allah). Boleh itu boleh ini, tahu itu tahu ini, capai itu capai ini, kerana itu kerana ini, cara in cara itu, aturan ini aturan itu dengan melupakan kepada Allah sebagai MusabbabNya.
Sekejappun sudah cukup dan memadai, kerana dengan memandang kepada keperihalan dirimu, akan meletakkan dirimu pada golongan mereka yang memilih kemuliaan yang fana' dengan meninggalkan kemuliaan yang tiada fana'.
Tetapi sebaliknya, jika engkau memilih Kemuliaan yang tiada fana, nescaya sentiasa engkau akan bersandar dan memandang kepada Allah Taala dalam setiap waktu dan ketika.
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan tiada bagimu melainkan salah satu daripada keduanya kerana bahawasanya kedua itu berlawanan keduanya, tiada berhimpun. Maka jikalau engkau pilih kemuliaan kekal pada Allah, maka tiadalah kuasa seorang menghinakan.
Keterangan Suluk
Sesungguhnya dalam sesuatu waktu itu, engkau hanya menduduki salah satu daripada kedua-dua kemuliaan itu. Tidak akan ada istilah mulia di dunia dan mulia di akhirat, malahan apa yang ada ialah;
• Samada Mulia dengan Yang Ampunya Mulia;
• Atau Mulia dengan Sesuatu Asbab.
Tidak akan berhimpun sama sekali dan dalam apa jua waktu sekali pun.
Maka dengan itu, apabila seseorang memilih kemuliaan yang kekal pada Allah, maka tidak akan ada sesuatupun yang boleh menghinakan kedudukan dirinya.
Penjelasan dan detail berkenaan ini boleh kita dapati dari.................
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Kata Muaalif ( Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra)dalam Kitab Tanwir(Tajul 'Arus);
Maka jikalau engkau mulia dengan Allah 'Azzawajalla, nescaya kekal muliamu; dan jikalau engkau mulia dengan lainnya, maka tiadalah kekal muliamu kerana tiada kekal bagi engkau dengan dia mulia.
Keterangan Suluk
Ini membawa maksud;
• Jika engkau memilih mulia dengan Allah sebagaimana maksud keterangan sebelum ini, nescaya akan berkekalanlah muliamu itu sebagaimana Kekal ZatNya Yang Baqa; dan
• Jika engkau memilih mulia dengan sesuatu apa sahaja selain daripada Allah, maka hanya sekejaplah sahaja kemuliaanmu yang dapat dinikmati sebagaimana tidak kekalnya sesuatu kejadian pada asbab itu
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata setengah mereka itu(sufiah);
Maka hendak jadikan olehmu pada Tuhanmu akan tiap-tiap muliamu, maka tetaplah ia. Maka jikalau engkau mulia dengan yang mati, maka mulia itu mati.
Keterangan Suluk
Satu nasihat dan pesanan yang amat berguna;
Jadilah Tuhanmu semata-mata sebagai tempat mulia untuk engkau hadapkan, maka dengan itu kemuliaanmu itu akan tetap dan kekal selama-lamanya; dan jikalah engkau hadapkan kemuliaanmu kepada sesuatu yang mati yakni apa sahaja selain daripada Allah, maka bila tiba masanya kemuliaan itu akan hilang dan lenyap atau mati bersama dengan sesuatu yang mati itu.
• Hartawan.....mati
• Dermawan.....mati
• Negarawan......mati
• Ahli Ilmuan........mati
• Cendikiawan.......mati
• Kewalian..............mati
• Yang barakah, yang keramat pun akan mati
• dan apa sahaja yang akan mati bersama matinya jasad itu.
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan telah masuk seorang atas setengah orang Arif pada halnya ia menangis. Maka katanya(yang arif); "Apa kerjamu?". Maka kata seorang yang menangis itu; "Mati sheikhku?" Maka kata arif itu kepadanya; "Apa engkau jadikan sheikhmu orang yang mati!!!".
Keterangan Suluk
Seorang Arif menemui seorang yang sedang menangis.
Maka tanya si Arif; "Kenapakah engkau menangis sedemikian rupa""
Jawab yang menangis; "Sheikh(Guru Mursyid)ku telah mati meninggalkan dunia!"
Maka kata si Arif pula; "Mengapa bodoh sekali engkau bergurukan dengan
seseorang yang mati?"
Keterangan ini bukanlah bermaksud menghalang seseorang itu daripada berguru dengan sesama manusia, atau mengambil sesuatu dari makhluk Allah , malahan ianya amatlah diperlukan sekali bagi seorang murid dan salik semasa awal perjalanan. Jika tidak berguru, mungkin akan tersesat dan terseleweng nanti. Apa yang dimaksudkan oleh Si Arif di atas ialah janganlah seseorang murid itu bergantung dan bersandar kepada kehebatan dan keberkatan gurunya semata-mata. Jadikan guru itu sebagai penunjuk arah kepada guru yang sebenar-benar guru yakni Allah tanpa sedikitpun memandang kepada kesan dan asbab yang dizhohirkan melalui seseorang guru. Fahamilah wahai diri........dengan kefahaman yang mengenal.
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Maka adalah dengan demikian itu seolah-olah menyuruh akan dikau dengan melazimkan Maqam Tajrid iaitu menghilangkan barang yang lain daripada hati kerana bahawasnya tiap-tiap mulia itu hijab daripada Allah Taala.
Keterangan Suluk
Maka adalah dengan huraian dan keterangan supaya memilih kemuliaan yang tiada fana' dan melupakan kecenderungan serta pandangan kepada sesuatu asbab, seolah-olah sebagai satu isyarat oleh Sheikh Ibnu Atoillah ra; yang mengajak engkau supaya menetapkan kedudukanmu pada Maqam Tajrid.
Berbeza dengan maqam asbab yang menetapkan dirimu agar berusaha, berikhtiar dan bertadbir dengan upaya dan kekuatan yang dijadikan, maka Maqam Tajrid itu menetapkan agar hilang dan hapus terus, rancangan-rancangan diri, tadbir dan usaha, aturan dan cara yang teradat untuk menghadapkan pandangan hati itu semata-mata kepada Allah Taala pada setiap waktu dan saat.
• Tidak memikirkan masalah urusan kehidupan rezeki dan asbab diri;
• Tidak cenderung daripada menilik barakah itu dan barakah ini;
• Tidak menilik kepada keramat itu dan keramat ini.
Malah dalam Maqam Tajrid ini, seseorang hamba itu akan mengarahkan dan memusatkan segala zhohir dan batinnya melulu kepada Allah semata-mata tanpa mempersoalkan makan minumnya, harta-bendanya, peranannya, cara dan aturan yang teradat mengikut hal yang dikhususkan buat mereka.
Ini adalah kerana tiap-tiap mulia yang dipandang pada tadbir diri dan asbab adalah sebenarnya merupakan satu hijab daripada Allah Taala. Hijab yang akan mendindingi mereka daripada mencapai Kemuliaan Yang Hakiki.
• Betapa tidak menghijabkan jika hati masih berbimbang dengan sebab itu dan sebab ini?;
• Betapa tidak menghijabkan jika hati masih memandang kepada kerana itu dan kerana ini?;
• Betapa tidak menghijabkan kerana masih menduakan dalam tilikan dan musyahadahnya?
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan inilah kesudah-sudahannya itu fana' . Dan tiap-tiap hina[tajrid di sisi manusia] itu adalah dalamnya menyampaikan kepada Allah Taala. Dan adalah kesudah-sudahan itu Baqa' dengan Allah Taala iaitu Maqam Merdeka.
Keterangan Suluk
Dengan menetapkan diri pada Maqam Tajrid yang melupakan segala sesuatu selain daripada Allah, malahan melupakan terus kewujudan dirinya, maka inilah menunjukkan kepada isyarat dan pengertian berkenaan kesudahan atau sut fana.
Walaupun di sisi kebanyakan manusia, dengan bertajrid itu menjadikan seseorang itu hina;
• kerana tidak dikenali kebanyakan manusia,
• ditohmah sebagai nyanyuk atau gila,
• jahil atau bodoh pada perwatakkannya;
• dilabelkan sebagaikan golongan yang jumud atau yang pasif.
Namun, di sisi Allah itulah jalan yang menyampaikan kepada Allah Taala tanpa sebagai pesyirikkan atau pelanggaran adab. Inilah hakikat Fana' sehingga diri yang memandang pun hancur musnah dalam Kemuliaan Yang Maha Sempurna dan Kekal itu.
Dan adalah kesudah-sudahan jalan untuk sampai kepada Allah itu ialah Baqa' dengan Allah Taala yakni hidup kekal dengan Allah,
• sama ada dalam asbabnya;
• atau dalam kecenderungannya
• atau dalam pandangan musyahadahnya.
Sebati dan berjelira dengan Keagungan dan Kemuliaan Allah Yang Kekal tiada binasa selama-lamanya. Tubuh di bumi tetapi hati di sana. Seumpama cermin ada tidak cat merah dari kedua-dua belah pihak. Lepas bebas daripada Daerah Hissi atau kurungan perasaannya dan kesan wujud dirinya. Inilah apa yang dimaksudkan sebagai Maqam Merdeka.
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan Maqam Merdeka itu
• tiada sempurna ia melainkan dengan Tajrid;
• dan tiada tahqiq pada hakikat Tauhid (melainkan dengan Tajrid)
kerana bahawasanya
• barangsiapa beroleh kemuliaan dengan hal atau maqam, maka adalah mulianya fana kerana bahawasanya segala hal dan maqam itu fana' tiada baqa' baginya.
• Dan barangsiapa ada mulia itu dengan Allah, maka adalah baginya Maqam yang kekal tiada fana
o kerana bahawasanya tergolong daripadanya segala hal fana iaitu barang yang lain daripada Haq Taala;
o dan jadilah ia daripada Ahli al-Baqa'
kemudian daripada Fana' memandang segala Hisiyah(perasaan)
dan 'adam segala martabat makhluqiyah.
Keterangan Suluk
Sebagai rumusannya berkenaan Kemuliaan yang membawa kepada maksud Kesempurnaan Merdeka, maka bertemulah kita berkenaan dengan beberapa petunjuk yang besar. Apa yang ingin dimaksudkan dari perjalanan seorang Salik ialah kemerdekaan yang total dan sebenar-benarnya perlepasan daripada sebarang persyirikan. Kemerdekaan yang lepas bebas daripada bentuk penyembahan perasaan dan perhambaan(kecenderungan dan tilik hati) kepada sesuatu selain daripada Allah.
• Tidak akan sempurna Maqam Merdeka ini dan tidak akan menjejaki kepada dasarnya yang hakiki melainkan dengan; semata-mata bertajrid kepada Allah 'Azzawajallah.
• Tidak akan Tahqiq pada Maqam Tauhid yang sebenar-benarnya melainkan semata-mata bertajrid kepada Allah 'Azzawajallah.
Kenapa dan mengapa mesti disempurnakan dengan Tajrid; tidak sebagaimana yang dianjurkan pada mula-mula perjalanan dahulu dengan menetapkan diri pada Maqam Asbab?.
Ketahuilah, apabila Allah Menghendaki dan memberikan kebaikan yang Mulia di sisinya, maka akan diperintahkan mereka untuk meninggalkan Maqam Asbab dengan melazimkan Maqam Tajrid. Di Maqam Tajrid inilah kesudahannya dan penghujung jalan seorang si pengembara;
• Bergantung dan bersandar kepada kemuliaan hal atau maqam seperti abid, alim, wara' dan zahid tidak akan kekal malahan semua hal dan maqam itu termasuk dalam bidang sesuatu yang akan binasa;
• sebaliknya jika mereka mulia dengan Allah, maka adalah bagi mereka Maqam yang kekal dan tiada fana'
• kerana bahawasanya tergolong daripadanya segala hal fana iaitu barang yang lain daripada Haq Taala; yakni hal fana itu sendiri merujuk kepada hapusnya dan hilangnya sesuatu selain daripada Allah. Hanya Allah yang tidak fana malahan kekal selama-lamanya. Di manakah lahi hakikat wujud dan mulia diri?
• dan jadilah ia daripada Ahli al-Baqa'
• sesudah Fana' daripada cenderung dan memandang segala Hisiyah(perasaan ada itu ada ini, boleh itu boleh in dan apa sahaja itu ini yang ada)
• dan 'adam segala martabat makhluqiyah. yakni jadilah mereka daripada Ahli Al-Baqa sesudah hilang dan hapus segala sesuatu yang dikaitkan dengan mumkinil maujud yang bersifat kemakhlukan. Mata yang melihat seumpama menembusi kepada Pembuat Sebab dan Makhluk,
Pendaftaran ahli kariah surau SMM
Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.
Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.
Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)