Hamba Yang Diredhai...
Tidak ada sesuatu yang lebih tinggi dan lebih bererti buat seorang hamba dengan Tuannya selain daripada mendapat keredhoaanNya.
• Apa gunanya mengharapkan amal bakti dan taat dengan balasan wang ringgit atau keselesaan hidup di dunia ini sedangkan diri berada sentiasa dalam kemurkaan Allah;
• Dan tidaklah bererti ketinggian ilmu yang dimiliki di samping kedudukan yang mulia di sisi makhluk sekiranya diri berada dalam pandangan kemurkaan dari Allah;
• Dan apalah gunanya amal yang banyak menggunung kiranya sekadar mengharap balasan ini dan balasan itu, minta dibuka alam ini dan alam sana lantaran harapan dan permintaan itu mengundang kemurkaan dari Allah.
Pendek kata buatlah apa sahaja kebaikan dan ketaatan dan milikilah apa sahaja kesenangan dan keselesaan hidup, tetapi jika ianya tidak mendapat keredhoaan dari Allah Taala, maka tidaklah berbaloi segala usaha dan pemilikan yang diterima.
Dengan demikian fahamilah wahai diri,
• Biarlah amal sedikit, atau ilmu yang sedikit asalkan Allah sentiasa meredhoi hal diri kita;
• Biarlah tidak termasyhur, hina dan keji pada pandangan manusia asalkan Allah meredhoi hal kita;
• Biarlah hidup sederhana atau melarat dan terpenjara di dunia ini, asalkan hal diri kita sentiasa dalam keredhoaan Allah.
Cukuplah.....dan memadailah dengan keredhoaan Allah itu kerana tidak ada apa lagi yang lebih baik selain daripada mendapat keredhoaan Allah, malah ianya merupakan sebaik-baik Anugerah Allah yang limpah nikmatNya.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Apabila hari kiamat maka Allah akan menghukum diantara semua makhluk dan semua umat bertekuk lutut, dan pertama yang dipanggil ialah orang yang mengerti al-Quran, dan orang yang mati fisabilillahdan orang kaya. Maka Allah menanya kepada orang yang pandai al-Quran: Tidakkah aku telah mengajar kepadamu apa yang Aku turunkan kepada utusan-Ku? Jawab orang itu: Benar ya Tuhanku. Lalu kau berbuat apa terhadap apa yang telah engkau ketahui itu? Jawabnya: Saya telah mempelajarinya di waktu malam dan mengerjakannya di waktu siang. Firman Allah: Dusta engkau, malaikat juga berkata: Dusta engkau, sebaliknya engkau hanya ingin disebut qari’ ahli dalam al-Quran, dan sudah disebut yang demikian itu. Lalu dipanggil orang kaya dan ditanya: Engkau telah berbuat apa terhadap harta yang Aku berikan kepadaMu? Jawabnya: Saya telah gunanya untuk membantu kaum keluarga dan bersedekah. Dijawab oleh Allah: Dusta engkau, Juga para malaikat berkata: Dusta engkau, engkau berbuat itu hanya ingin disebut dermawan (bermurah hati), dan sudah terkenal sedemikian. Lalu dipanggil orang yang mati berjihad fisabilillah dan ditanya: Kenapa engkau terbunuh? Jawabnya: Saya telah berperang untuk menegakkan agama-Mu sehingga terbunuh. Allah berfirman: Dusta engkau, dan malaikat juga berkata: Dusta engkau, engkau hanya ingin disebut pahlawan yang gagah berani dan sudah disebut demikian…”
Dengan sebab tidak IKHLAS kepada Allah, maka semua amal itu tidak berguna
Pendaftaran ahli kariah surau SMM
Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.
Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.
Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)