Hiburan Islam Penawar ‘Stress’


Stress ialah reaksi tabii tubuh badan manusia terhadap rangsangan fizikal dan emosi. Oleh sebab itu, stress adalah fitrah manusia. Maksudnya stress ialah keadaan yang pasti berlaku dalam diri manusia. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan dia berasa keluh kesah. Dan apabila mendapat kesenangan dia sangat bakhil.” (Al-Ma’arij:19-21)
Stress bukan untuk dihapus, tetapi untuk diurus. Tanda kesempurnaan manusia ialah apabila dia tidak sempurna. Dan stress antara bukti manusia tidak sempurna. Oleh sebab itu, dalam beberapa keadaan manusia memerlukan stress. Sedikit stress diperlukan untuk menghasilkan kerja yang berkualiti dan produktif. Namun jangan berlebihan, ia akan menyebabkan pelbagai masalah.

Sepertimana stress adalah fitrah manusia, begitu juga dengan hiburan. Ia juga fitrah manusia. Walau seserius manapun kita dalam kehudupan, namun kita masih perlukan hiburan. Maha Suci Allah, Yang Menciptakan Stress, namun menciptakan hiburan untuk menanganinya. Ingatlah pesanan Sayidina Ali: “Apabila dipaksa membuat perkara yang tidak disukai, hati itu akan mati.”
Jika disingkap sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, kita akan bertemu dengan anekdot-anekdot yang menunjukkan mereka juga berhibur, Namun, hiburan yang dinikmati oleh generasi salafus-soleh itu tidak dicemari dengan elemen-elemen kemungkaran yang sangat sinonim dengan hiburan masakini. Lagu, muzik dan filem yang berleluasa kini sangat rapat dengan pendedahan aurat, pergaulan bebas, cinta yang melalaikan dan pelbagai unsur lain yang haram dan sia-sia.

Hiburan sangat diperlukan oleh jiwa untuk kembali segar dan bertenaga bagi menempuh ujian yang datang dan pergi dalam hidup ini. Tanpa hiburan jiwa akan lesu dan layu. Dalam Islam, erti hiburan itu sangat luas. Ia tidak terhad pada perkara-perkara yang memang dikategorikan sebagai hiburan seperti lagu, muzik dan sebagainya. Tetapi apa-apa sahaja aktiviti atau perkara yang dapat mententeramkan hati dan menyenangkan fikiran, ia boleh dianggap sebagai hiburan. Ini termasuklah riadah, zikir, rehlah, melancong dan sebagainya.

Namun begitu, dalam Islam, hiburan tidak boleh tersasar daripada prinsip aqidah, syariat dan akhlak islamiah. Jangan ada unsur yang mencemarkan Tauhid, melanggar hukum syariat dan bertentangan dengan nilai-nilai akhlak islamiah. Selagi prinsip dan pelaksanaan hiburan itu bertepatan dengan tiga tonggak tersebut, maka hiburan itu akan memberi kebaikan kepada manusia.

Hiburan Asasi. Dalam ajaran Islam, hiburan asasi itu seperti iman, solat, membaca al-Quran, zikrullah, berselawat dan ibadah-ibadah lain sama ada asas atau sunat. Jika seseorang benar-benar beriman, jiwanya akan terhibur. Jika diuji dengan nikmat dia bersyukur. Jika diuji dengan kesusahan dia bersabar. Sabar dan syukur itulah hiburan sejati kepada orang yang beriman. Iman akan menghilangkan rasa bimbang, takut, sedih dan kecewa dengan hal-hal dunia. Begitu juga dengan solat. Ia adalah suatu kerehatan di jiwa. Bayangkan dalam solat seorang yang beriman, dia dapat merayu, mengadu, merintih dan mengharap kepada Tuhan Yang Maha Kuasa, Maha Penyayang dan Maha Mendengar.

Hiburan Sampingan Adalah Pemangkin. Apakah pula hiburan pemangkin dalam Islam? Nasyid, burdah, berzanji atau apa-apa sahaja bentuk hiburan yang dihalalkan dalam Islam berfungsi membawa manusia kembali kepada Allah. Dan ia hanyalah bertindak sebagai “pengajak” atau “pengiklan” kepada hiburan asasi. Oleh sebab itu jangan kita terkeliru dengan hakikat hiburan yang sejati. Solusi

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran