SEJARAH AZAN

Azan adalah satu-satunya seruan shalat yang khusus bagi umat Islam pengikut Nabi Muhammad s.a.w. Lafaz seruan Azan tidak ada dalam agama-agama lain. Kalau agama-agama lain menggunakan berbagai alat bunyian seperti loceng, terumpet dan gong, Azan dalam Islam menggunakan kalimah-kalimah Tauhid dan kalimah-kalimah yang mengajak umat Islam kepada kejayaan di dunia dan di akhirat.

 

Walaupun kewajipan shalat fardhu yang lima waktu itu telah dimulakan oleh Rasulullah s.a.w. dan para pengikutnya sebaik-baik kaifiyatnya diajarkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w., tetapi Azan belum dilaungkan selama kaum muslimin masih berada di Makkah.

 

Menurut sejarahnya, Azan hanya mula disyari’atkan pada tahun pertama Hijrah, iaitu pada ketika kaum muslimin sudah berada di Madinah.

 

Hal ini tentulah difahami. Pertama, kerana selama di Makkah kaum muslimin belum begitu bebas beribadat. Mereka masih merasa bimbang terhadap tindak tanduk kaum musyrikin terhadap mereka. Kedua, hanya sesudah berada di Madinah barulah mereka merasa bebas beribadat beramai-ramai tanpa bimbang atau takut terhadap ancaman musuh.

 

Menurut keterangan beberapa hadith, pada suatu hari kaum muslimin sedang berkumpul seperti biasa menunggu waktu untuk mendirikan shalat fardhu. Sehingga ke saat itu tidak ada siapa pun yang ditugaskan untuk menyeru kaum muslimin datang ke masjid untuk mendirikan shalat.

 

Pada hari itu ada beberapa orang telah menyuarakan masalah itu. Pada masa itulah ada orang yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng seperti perbuatan orang Nasrani. Ada pula yang mencadangkan supaya ditiup sejenis bunyian dari tanduk seperti perbuatan orang Yahudi.

 

Rasulullah s.a.w. telah menolak semua cadangan itu.

 

Kemudian datanglah seorang sahabat (menurut satu riwayat sahabat itu bernama Abdullah bin Zaid) yang menyatakan bahawa dia telah bermimpi didatangi oleh seorang hamba Allah yang mengajarkan kepadanya lafaz Azan yang lengkap.

 

Sebaik-baik mendengar kenyataan itu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Insya-Allah, sesungguhnya itu adalah mimpi yang benar. Ajarkanlah lafaz Azan itu kepada Bilal supaya dia menyerukannya kerana suaranya lebih lantang daripada suaramu.”

 

Ketika Bilal melaugkan Azan, Umar Al-Khattab yang mendengarnya terus bergegas mendapatkan Rasulullah dan berkata: “Demi Allah yang telah mengutuskan tuan dengan membawa kebenaran, saya pun bermimpi seperti itu juga.”

 

Hadith-hadith mengenai permulaan Azan ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Bukhari, Abu Daud, Ibnu Majah, At-Tirmizi dan lain-lain.

 

Dalam riwayat lain disebut bahawa, sahabat yang mencadang supaya diserukan Azan ialah Umar Al Khattab supaya seruan shalat cara Islam itu berlainan dengan cara yang telah dilakukan oleh kaum Nasrani, Yahudi atau pengikut agama lain.

 

Oleh kerana suara Bilal bin Rabah dianggap paling nyaring daripada suara orang lain pada masa itu, maka Bilal pun dipilih oleh Rasulullah s.a.w. supaya menyerukan Azan untuk memanggil kaum muslimin datang mengerjakan shalat fardhu berjamaah di masjid.

 

Sejak itu Azan telah disyari’atkan oleh Rasulullah s.a.w. ke atas kaum muslimin yang hendak mendirikan shalat. Dituntut pula Azan atas sesiapa yang hendak mendirikan shalat berjamaah walaupun dengan dua orang sahaja.

 

Azan juga disunatkan bagi jamaah perempuan.

 

Siti Aisyah meriwayatkan bahawa beliau berazan dan beriqamat dan menjadi imam bagi jamaah para wanita (Al-Baihaqi).

 

Imam Asy-Syafi’i berkata: Dibolehkan para wanita berazan dan beriqamat dalam shalat jamaah diantara mereka.

 

Petikan: Shalat Rasulullah

Susunan: Mustafa Suhaimi

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran