AL KABAA’IR (DOSA-DOSA BESAR)

Meninggalkan Shalat Jum’at Tanpa Uzur


Shalat jum’at termasuk shalat yang wajib dikerjakan secara berjamaah di masjid. Setengah ulama mazhab mengatakan bahawa orang yang meninggalkan shalat jum’at secara berturut-turut sampai tiga kali, tanpa uzur atau sebab-sebab yang membolehkan meninggalkan jum’at, dihukumkan kafir atau munafik, atau dikunci hatinya oleh Allah s.w.t.


Allah telah berfirman: (yang bermaksud)

“Pada hari (kiamat) ketika betis disingkapkan dan mereka dipanggil untuk bersujud, tetapi mereka tiada berdaya, mata mereka tunduk ke bawah diliputi oleh kehinaan, kerana mereka dahulunya telah dipanggil untuk bersujud padahal mereka dalam keadaan sihat dan sejahtera.” (Al-Qalam: 42-43)


Berkata Ka’bul Ahbar: Bahawa ayat ini turun ke atas orang-orang yang suka meninggalkan shalat berjamaah, dan shalat jum’at adalah salah satu shalat disyaratkan mesti berjamaah.


Berkata Said bin Musaiyib, iaitu imam para tabi’in rahimahullahu-ta’ala: Meraka itu sentiasa mendengar Haiya ‘alash-Shalah Haiya ‘alal-Falah, tetapi mereka tidak mahu menyahut seruan itu untuk datang bershalat, padahal mereka itu sihat dan segar bugar.

Jelaslah seruan ini ditujukan kepada orang yang tidak mengerjakan shalat jum’at, sebab mengerjakan shalat jum’at itu wajib dibuat pada waktu yang tertentu dan tempat yang tertentu, bukan boleh ditangguh-tangguhkan dari waktunya. Jadi apabila dengar seruan azan Jum’at, hendaklah datang beramai-ramai ke masjid untuk menunaikan shalat itu. Tinggalkan segala pekerjaan dan perniagaan dan apa saja yang berkaitan dengan urusan, kecuali ada uzur saja.


Allah berfirman (yang bermaksud) :

“Hai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk shalat pada hari jum’at, maka segeralah kamu datang untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah jual-beli!” (Al-Jumu’ah : 9)


Nabi s.a.w. bersabda lagi:

“Hendaklah segera berhenti beberapa kaum dari meninggalkan shalat jamaah itu, ataupun Allah akan menutupi hati mereka, kemudian mereka dijadikanNya dari golongan orang-orang yang lalai.” (Riwayat Muslim)


Nabi s.a.w. bersabda lagi:

“Barangsiapa yang meninggalkan tiga shalat jum’at dengan cara meremehkannya, maka Allah akan mengunci pada hatinya.” (Riwayat Abu Daud dan Nasa’i)


Sabda Nabi s.a.w. lagi:

“Barangsiapa yang meninggalkan shalat jum’at tanpa ada halangan atau dharurat, maka dia akan dicatit sebagai orang munafik dalam catitan yang tidak boleh dihapus atau diubah.” (Riwayat Thabarani)

Daripada Siti Hafshah r.a. pula mengatakan, bahawa Rasululllah s.a.w. telah bersabda:

“Pergi menuju ke shalat jum’at itu adalah wajib atas setiap orang dewasa.” (Riwayat Nasa’i)

Yakni, bagi setiap orang yang sudah baligh, tegasnya sudah keluar air mani.


Tersebut di dalam Shahih Bukhari dan Sahih Muslim, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, sesungguhnya aku bermaksud hendak memerintahkan supaya dikumpulkan kayu-kayan, kemudian aku menyuruh untuk didirikan shalat, dikumandangkan suara azan, lalu aku menyuruh supaya seseorang supaya mengimami orang ramai, kemudian aku mendapatkan orang-orang yang tiada menyaksikanshalat berjamaah untuk aku membakar rumah-rumah mereka dengan api.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dan di dalam riwayat yang lain dari Muslim yang diberitakan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesungguhnya aku hampir-hampir akan menyuruh beberapa orang pemuda untuk mengumpulkan bagiku beberapa ikatan kayu bakar, kemudian akan mendatangi beberapa kaum yang bersembahyang di rumah-rumah mereka, yang mereka itu tidak sakit, lalu aku membakar rumah-rumah itu.” (Riwayat Muslim)


Semua ayat-ayat dan Hadis-hadis yang disebutkan di sini dan yang disebutkan sebelum ini, semuanya menyimpulkan ancaman-ancaman yang berat darihal meninggalkan shalat berjamaah tanpa uzur, sama ada pada shalat yang lima waktu, lebih-lebih lagi pada shalat jum’at yang memang didirikan dengan syarat berjamaah.


Imam Abu Daud di dalam Sunannya dengan sanadnya kepada Ibnu Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Barangsiapa yang mendengar seruan azan dan dia tiada berhalangan untuk mendatanginya... Lalu Nabi ditanya orang: Apakah halangannya hai Rasulullah! Nabi menjawab: Kerana ada halangan takut, atau sakit, maka tiada akan diterima shalat yang dikerjakannya itu.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Termidzi daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah ditanya tentang seseorang yang berpuasa pada siang hari dan mengerjakan shalat pada malamnya, namun begitu dia tiada melakukan shalat jamaah, dan tidak suka mengumpulkan untuk jamaah, maka beliau mengatakan: Kalau dia mati, dia akan masuk neraka.


Dan diriwayatkan pula oleh Hakim di dalam Mustadraknya ikut syarat Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahawa Nabi s.a.w. telah berkata: Sesiapa yang mendengar seruan azan, dan dia tiada berhalangan untuk mendatanginya oleh sesuatu uzur, maka tiada ada shalat baginya. Para sahabat bertanya: Apakah halangannya hai Rasulullah! Beliau menjawab: Rasa takut atau sakit.


Marilah kita memohon taufiq kepada Allah ta’ala supaya Dia memimpin kita ke jalan yang disukai dan diridhaiNya, sesungguhnya Dia Maha Pemurah lagi Mulia!

KESIMPULAN

Shalat jamaah dan jum’at, kedua-duanya amat penting untuk didatangi, kerana masing-masingnya mengajak kaum muslimin untuk berkumpul kerana menunaikan shalat kepada Allah ta’ala. Dan tiada suatu ibadat yang lebih utama dan sangat diingatkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya daripada shalat, kerana shalat itu adalah pertalian hamba dengan Penciptanya. Apatah lagi jika ditunaikan dengan beramai-ramai, lebih-lebih lagi digalakkan. Sebab selain dapat meninggikan syiar Islam, kita dapat mengumpulkan kaum Muslimin dalam suatu tempat, atau di rumah Allah, iaitu masjid untuk membuat amalan yang suci kepada Allah s.w.t.


Walaupun shalat berjamaah itu boleh dikerjakan di rumah atau di tempat kerja, tetapi menunaikannya di masjid adalah lebih utama. Kerana selain dapat dikerjakan berjamaah menurut sunnah Nabi s.a.w. dan mendapat pahalanya yang berganda-ganda, kita juga dapat membuat ibadat sampingan, seperti beri’tikaf di dalam masjid, berkumpul dan bersalam-salaman dengan sesama jamaah kaum Muslimin. Kemudian kita juga dapat melepaskan diri dari ancaman-ancaman berat yang dihadapkan kepada orang-orang yang mendengar suara azan yang berkumandang di angkasa, lalu tidak datang untuk menunaikan shalat.


Di samping itu kita mesti khususkan perhatian kita kepada shalat jum’at lebih-lebih lagi, kerana menunaikan jum’at itu adalah fardhu ain, wajib dikerjakan oleh sekalian lapisan umat Islam, sama ada dia mendengar azan mahupun tidak, kerana kita tertakluk kepada hari dan waktunya yang harus kita menjaganya dengan rapi dan teliti. Bererti apabila datang hari Jum’at, hendaklah kita menyediakan diri dari awal-awal lagi untuk menghadirkan diri dalam jamaah berjum’at itu. Jika kita cuaikan dan lalaikan hal itu, maka berdosalah kita, kecuali jika ada uzur.


Kemudian uzur itu jangan sampai berturut-turut sampai tiga kali, ya’ni tiga jum’at kita tinggalkan, itu tentulah bukan uzur lagi, jika kita berbadan sihat dan tidak sakit, lantaran itu jangan sampai kita memandang perkara ini ringan dan remeh saja.!

Dari naskah Arabnya: Al-Kabaa'ir

Karya:Al-Hafizh Muhammad Bin Ahmad Bin Usman Adz-Dzahabi



Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran