Hadis Qudsi-Tuhan malu terhadap orang yang sabar...

Berkata Anas r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman (yang bermaksud):
"Jika Aku menimpakan suatu musibah ke atas salah seorang hambaKu pada badannya, atau hartanya, atau anaknya, lalu ia menerima musibah itu dengan penuh kesabaran, niscaya di hari kiamat Aku malu akan menegakkan baginya neraca timbangan, atau mendedahkan buku catitan amalnya." (Riwayat Qudhai') 

Huraiannya:
Ini juga di antara Hadis-hadis Qudsi yang membicarakan tentang musibah, atau ujian yang ditimpakan oleh Allah Ta'ala ke atas hambaNya. Hanya di sini disebutkan dengan jelas lagi iaitu dinyatakan pada badan hamba itu, ataupun pada hartanya, ataupun pada anaknya.

Sebenarnya semua ini memanglah merupakan ujian-ujian dari Allah s.w.t. ke atas manusia Mu'min untuk dilihatNya, apakah ia bersabar atau bersyukur atas takdir Allah Ta'ala itu, ataupun ia akan mengeluh atau bersungut. Kalau mengeluh dan bersungut pun, apalah yang dapat ia lakukan untuk menolak musibah itu?

Cuma-cuma berdosa sahaja dan terhindarlah daripadanya peluang untuk mendapat balasan yang begitu besar sekali. Kalau pun balasannya hanya mendapat pengampunan dosa sahaja, itu pun sudah besar. Apatah lagi kalau dijanjikan tidak akan ditegakkan neraca timbangan bagi orang itu, bererti tidak ada perhisaban lagi dan buku catitan amalnya dicap 'beres' tanpa diperiksa-periksa sama sekali.

Demikianlah balasan Allah Ta'ala atas kesabaran si mu'min itu, sehinggakan Allah Ta'ala sendiri menyatakan, bahawa Dia malu untuk memeriksa buku catitan amalnya, lantaran si mu'min itu telah bersabar dahulu di dunia kerana menanggung musibah yang ditakdirkan oleh Allah Ta'ala.

Adapun musibah yang biasa ditanggung oleh manusia pada badannya, ialah seperti sakit yang dideritainya secara umum. Sebab tidak disebutkan di sini jenis dan berat atau ringannya penyakit yang ditanggungnya itu. Namun menanggung penyakit itu saja memang sudah berat. Makan tidak enak, minum tidak ada rasanya, tidur pun tidak karuan dan seterusnya.

Demikian pula manusia apabila ditimpa musibah padanya hartanya, seperti kecurian, kebakaran, kerugian di dalam perniagaan atau bengkerap, ataupun dikenakan kerugian secara sistem moden; iaitu wangnya dipotong 'devaluation' maka sedikit sebanyak perkara-perkara ini akan mengacau fikirannya dan jiwanya akan terganggu  manakala ketenteraman hidupnya akan hilang. Penawar yang paling baik sekali  ketika ditimpa musibah ini ialah bersabar atas takdir Allah s.w.t. ini, sebab tidak ada jalan untuk membantah atau memproses.

Musibah pada anak pula, ialah kehilangannya secara mengejut dari pandangan mata, seperti kematian. Kerapkali anak yang disayangi, apabila meninggal dunia akan menyebabkan ibu bapanya seperti orang gila, tidak dapat menahan kesabaran. Apatah lagi kalau si anak itu sudah tahu mengenang budi ayah bundanya, kini berusaha untuk membalas jasa mereka. Tiba-tiba ia diregut oleh maut, yang tiada lain, melainkan adalah takdir dan keputusan Allh Ta'ala. Mungkin musibah inilah yang kiranya berat sekali ditanggung oleh jiwa manusia, apatah lagi kalau jiwa orang yang lemah, seperti si ibu, kerap akan menarik kepada gejala-gejala yang tidak diingini.

Dan di sinilah kesabaran akan memainkan peranannya dengan cukup berkesan, apabila seseorang itu kukuh imannya kepada Tuhan dan kebal tawakkalnya kepada Rab yang memutuskan segala urusan.

Seperti itu pula, apabila ada seseorang yang paling dekat bersikap dengki kepadanya, khususnya orang itu dari kaum keluarganya sendiri, seperti saudaranya atau adik-beradiknya yang cuba memburukkan namanya, mengada-adakan  fitnah dan tuduhan tanpa ada sebab, selain dari terlalu mengikut-ikutkan kehendak hawa nafsu yang mencetuskan niat yang jahat. Orang yang semacam ini, syaitan telah membelit pemikirannya, sehingga akalnya tidak dapat berfungsi lagi untuk menampakkan kepadanya mana yang benar dan mana yang salah.

Bersabar atas bala yang semacam ini tentulah amat berat sekali, kerana hawanafsu manusia itu tidak mudah tunduk bila dia berada di atas kebenaran. Mahunya biarlah dapat membalas, namun dengan membalas itu tidak dapat mematikan permasalahannya. Di sinilah dituntut sangat-sangat, supaya dapat bersabar.

Itulah sebabnya, maka Allah Ta'ala telah menjanjikan balasanNya yang begitu besar dan bernilai sekali kepada orang-orang yang sanggup bersabar atas bala dan musibah itu.

Dan musibah yang ditimpa Tuhan itu tentulah ada sebab dan hikmahnya, yang sering kali manusia tiada terasakan kerana manusia itu biasanya hanya mengingati Tuhan di waktu susah sahaja, dan ketika lagi mengecap kesenangan, hanya mengingat dirinya semata, seolah-olah kesenangan dan kemewahan itu dihasilkan dengan usaha tangannya sendiri tanpa campur tangan dari Tuhan.

Dia terus melupakan, bahawa kurnia itu adalah diberikan oleh Tuhannya, yang patut disyukuri dan dikenanginya. Dan barangkali, jika tidak ada musibah yang mendatang, ia akan terus-menerus melupakan Tuhannya sama sekali sehingga tergolong orang yang mengkufuri nikmat Tuhan.

Jadi, hendaklah berhati-hati dalam permasalahan ini, kerana ia adalah tempat kegelinciran tapak kaki manusia!

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran