Hadis Qudsi-Lapangkan dirimu untuk beribadat...


Berkata Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. telah bersabda:
Allah telah berfirman (yang bermaksud):
"Lapangkanlah dirimu untuk beribadat kepadaKu, nescaya aku penuhi dadamu kekayaan, dan mengatasi segala kemiskinanmu. Jika engkau tidak berbuat, maka aku akan penuhi dadamu dengan urusan, dan tidaklah Aku tutupi kemiskinanmu." (Riwayat Termidzi dan Baihaqi)

Huraiannya:
Hadis Qudsi ini mengingatkan kita, bahawa yang menjadikan manusia kaya atau miskin itu ialah Allah s.w.t. Dialah yang mentakdirkan semua itu dengan kudrat dan iradatNya. Memanglah menjadi tabiat semulajadi manusia hendak melihat hidupnya dalam keadaan senang-lenang dan memiliki kekayaan yang banyak. Di samping itu ia sentiasa membenci kemiskinan, dan hidup dalam keadaan susah dan melarat. Akan tetapi kekayaan yang hakiki disisi Allah ialah dengan memperbanyakkan amalan yang soleh. Sebab rezeki manusia itu memang telah ditetapkan oleh Tuhan tentang sedikit banyaknya, tentang miskin-kayanya dan sebagainya.

Lantaran itu, jangan sampai kamu terus menerus bertungkus lumus dalam urusan dunia semata, sehingga tidak ada masa lagi untuk beribadat atau beramal soleh. Itu adalah satu kekhilafan yang besar! Tetapi hendaklah kamu melapangkan masa untuk beribadat menyembah Tuhan dan bersyukur kepadaNya, kelak kamu akan merasa kekayaan yang hakiki yang akan diisikan Tuhan ke dalam dadamu. Sementara keperluan hidup serta urusan dunia kamu pula akan diberiNya juga secukup-cukupnya, tidak perlu dibimbangkan.

Akan tetapi jika kamu mengejar terus urusan dunia sahaja, sedang peribadatan kepada Allah, kamu terus lalaikan dan membelakanginya, niscaya Allah akan menambah kamu dengan berbagai-bagai urusan dunia yang baru. Ada-ada saja yang muncul tanpa dijangka atau diduga. Namun hidup kamu terus menerus begitu juga, sama belaka tiada perubahannya, sentiasa susah, sentiasa sempit, sentiasa serba kekurangan. Manakala kekayaan yang kamu cita-citakan itu tidak datang-datang juga. Kalau demikianlah halnya, maka akan rugilah kamu di dunia dan di akhirat. Kerugian di dunia dapat ditanggung dan ada akhirnya, manakala kerugian di akhirat kekal abadi, tiada akhirnya.

Kesimpulannya: Betapa banyak sekalipun urusan kita dengan dunia, namun jangan sekali-kali urusan akhirat kita lalaikan atau membelakangkan. Sepatutnya kita haruslah melebihkan urusan akhirat daripada urusan dunia. Ataupun sekurang-kurangnya, hendaklah kita mencari keuntungan akhirat sekadar kita mencari keuntungan dunia.

Berpeganglah kepada sabda ini (kalau memang ianya adalah sabda), atau kata-kata hikmat ini yang bermaksud begini:
"Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan berusahalah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esoknya".

Bila seseorang dapat mengimbangi hidupnya dalam kedua cara ini dengan baik dan sempurna, nescaya dia dalam kebahagiaan, tidak menanggung kerugian, baik yang berkaitan dengan dunianya mahupun dengan akhiratnya.
Mudah-mudahan kita dapat mengatur hidup kita dalam cara yang ditunjuk oleh agama kita, supaya kita mendapat keridhaan Allah dan RasulNya, Amin.

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran