Takbur

Maka setengah yang terbit daripadanya jadi takbur, yakni membesarkan diri. Maka larilah olehmu daripada takbur itu, seperti lari daripada harimau, hendak makan akan dikau, kerana sangat besar bahaya takbur itu, seperti sabda Nabi s.a.w :

“Tiada masuk akan syurga sesiapa ada di dalam hatinya seberat zarah daripada takbur.”

Maka erti takbur itu pandang dirinya ada kelebihan daripada orang, seperti sebab memerintah, atau sebab jadi hakim, atau sebab banyak ilmu, atau sebab bangsa baik daripada orang lainnya, atau sebab dapat nama lebih.

Maka inilah yang sebesar-besar dosa yang membawa kepada kejahatan matinya.

Maka adalah kelakuan hendak melepaskan daripada bahaya takbur itu:

Maka jikalau kamu melihat akan orang jahil dan orang fasiq, maka hendaklah engkau kata pada dirimu bahawa orang itu berbuat dosa kerana jahilnya dan aku berbuat dosa dengan ilmuku. Maka terlebih sangat hajat Allah Ta’ala atasku, maka tiada syak bahawasanya ia terlebih baik daripadaku.

Dan jikalau engkau lihat kanak-kanak, maka hendaklah engkau kata dalam hatimu, bahawasanya kanak-kanak ini dia berbuat dosa, tiada disiksa Allah akan dia dan aku berbuat dosa disiksa Allah Ta’ala akan aku. Maka tiada syak, bahawasanya kanak-kanak ini terlebih mulia daripada aku.

 Dan jikalau engkau lihat orang alim, maka engkau kata dalam hatimu, orang ini dikurniakan Allah Ta’ala akan ilmu, aku tiada dikurnia Allah Ta’ala ilmu sepertinya. Maka tiada syak, orang alim ini terlebih mulia daripadaku. Sepatutnya berbuat adab dengan dia.

Dan jika engkau lihat orang tua, maka engkau kata dalam hatimu, orang ini tua daripada aku, mesti banyak ilmunya daripadaku, sebab banyak pelihatnya dan pendengarnya. Maka tiada syak bahawasanya orang tua ini terlebih mulia daripadaku.

Dan jikalau engkau lihat segala binatang, engkau kata dalam hatimu, ini binatang tiada dosa, tiada disiksa Allah Ta’ala, aku disiksa  Allah Ta’ala kerana berbuat dosa. Maka tiada syak sekali-kali, binatang ini terlebih mulia daripadaku.

(Maka) tatkala engkau telek akan dirimu, tiada mempunyai kemuliaan barang sezarah jua, ialah terlebih hina dan terlebih kurang bebal dan jahil daripada orang lainnya.

Dan jikalau engkau itu tinggi martabat dan bangsa dan terlebih alim dan bijak daripada lainnya sekalipun, seperti sabda Nabi s.a.w: “Aku penghulu bagi anak Adam, tiada bermegah-megah dan tiada aku membesarkan diriku.”

Maka fikir olehmu, hai orang yang berakal, bahawasanya penghulu kita kekasih Tuhan sekelian alam tiada membesarkan diri, maka betapa pula kita yang sangat hina ini, tiadalah patut sekali-kali, kerana membesarkan diri itu dosa besar, membawa kejahatan, mati pada akhir kalam, adanya.

Dan sesiapa berbuat takbur seolah-olah merampas akan pakaian Tuhannya.

Dari Kitab Kasyfu al-Asrar

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran