“Bermula fikir satu saat terlebih afdhal daripada ibadat 70 tahun”
Dan mengata setengah orang yang ‘arif: Bermula fikir itu atas dua bahagi:
Pertama: Fikir pada ma’bud pada sempurna sifat, tiada boleh fikir pada zatNya.
Kedua: Fikir yang ta’luq dengan segala hamba.
Maka, tak dapat tiada, fikir hamba itu tatkala mengerjakan amal ibadat, wajib atau sunat, adakah dicampur riya’, suma’ah. Dan jika dapat riya’ dalam hati engkau, maka engkau jauhi akan riya’ itu. Bermula amal riya’ itu syirik.
Kemudian hendaklah hamba itu fikir akan dirinya, dan jika tahu akan dirinya itu jahil ketiadaan ilmu, maka hendaklah berbimbing dengan menuntut ilmu supaya hilang jahil itu. Dan jika memperolehi pada hati engkau segan-segan atau sebab sudah tua, malu belajar atau sebab dapat nama lebih takut kurang darjat, maka fikir engkau ialah mengikut dari syaitan laknatullah, wajib lari daripadanya dan bersegera taubat dan wajib berperang dengan hawa nafsu. Dan jikalau tiada engkau lari daripada perdaya syaitan, jadilah engkau taulan baginya.
Dan kemudian, hendaklah fikir hamba itu pada umurnya tiap-tiap hari kurang dan kubur itu pada tiap-tiap hari hampir jua, janganlah lalai hambaku daripada fikir.
Dan kemudian, hendaklah fikir daripada dirinya yang batin, adakah i’tiqad yang dicela oleh syara’, seperti riya’, suma’ah, ujub, takbur, hasad dan sebagainya daripada sifat yang dicela oleh syara’, maka tinggallah olehmu dan lari engkau kepada sifat yang dipuji oleh syara’.
Dan kemudian, hendaklah hamba itu fikir pada dunia, lenyap tiada kekal dan negeri akhirat kekal dan hadirkan akhirat itu dalam hati kamu dan hadirkan pada hati kamu mauqif (tempat berhenti) dan ingatkan dalam hati kamu akan bertimbang dosa dengan pahala, jikalau berat dosa masuk neraka, jikalau berat kebaikan masuk syurga.
Dan fikir kamu hai insan, jangan lupa dan lalai, ingat akan kubur seorang dirinya, tiada sesiapa boleh menolong akan kita hanyalah amal ibadat serta iman yang menolong akan kita.
Kemudian hendaklah fikir hai insan, akan pekerjaan, adakah memberi faedah pada hari kemudian, jika tiada memberi faedah jalan akhirat, maka wajib engkau tinggalkan.
Kemudian engkau fikirkan pula berhias dengan memakai pakaian, jika kerana riya’, engkau tinggalkan dia supaya lepas daripada campur riya’, hanya engkau niatkan menutup aurat atau niat muliakan ibadat.
Dan hanya banyak kebinasaan manusia sebab meninggalkan fikir sekalian pekerjaan dunia dan akhirat.
Kasyfu Al-Asrar