Sidang qariah yang dikasihi Allah,
... sambung kisah Mashitah iaitu … berkata Firaun bahawasanya aku berkehendak bunuh akan kedua kamu jika tiada kedua kamu kembali kepada agama kamu.
Berkata Mashitah “ Kebajikan kamu bagi kamu, bagi kami jika engkau bunuh akan kami jadikan kami pada kubur yang satu dan engkau tanam akan kami sekelian padanya.
Maka menyuruh Firaun mendatangkan dengan satu kawah tembaga dan dipanaskan diatas api pada hal penuh air didalamnya kemudian menyuruh menjatuhkan Mashitah dan suaminya dan anaknya kedalam kawah itu.
Maka dijatuhkan mula mulanya akan suaminya dan anaknya yang besar .
Maka tatkala hendak dijatuhkan pula anaknya yang kecil yang masih menyusu maka mengambil Mashitah dengan kasih sayang akan anaknya itu dan kerana mencintainya lalu dinyatakan ingin kembali pada apa saja yang dituntut Firaun iaitu ibadat yang lain daripada Allah Ta’ala asal jangan ia jatuhkan anaknya yang kecil dalam kawah.
Maka menutur akan dia Allah Subhanahu wata’ala akan anak yang kecil itu dengan katanya
“Hai Ibu, jatuhkan dirimu kedalam kawah dan jangan bertangguh daripada menjatuh maka bahawasanya engkau atas agama yang sebenarnya ! “ Maka menjatuh ia akan dirinya kemudian daripada jatuhkan anaknya yang kecil itu.
Bermula segala anak kecil yang berkata-kata didalam buai itu sepuluh orang … ( insyaalah kita bincang dilain kali )
Sidang qariah yang dikasihi Allah, Kita masih dalam perjalanan Isra’ lagi …..
Maka sentiasa berjalan Nabi dan Jibril hingga datang atas beberapa kaum yang memecahkan kepala mereka itu. Tiap-tiap dipecahnya maka kembali pula seperti dahulu kalanya dan tiada lumpuh mereka itu daripadanya sekali-kali, maka sabdanya “ Siapa ini jibril ?”
Maka kata Jibril “Mereka itulah yang memberatkan kepala mereka itu daripada sembahyang “
Kemudian datang pula diatas beberapa kaum pada hadapan mereka itu satu perca (kain) dan pada belakang mereka itu perca menutup akan dua kemaluannya ….. Dan dihalaukan mereka itu seperti dihalaukan binatang ke padang. Makan mereka itu akan zaqqum iaitu bara api jahannam dan batunya, maka sabda Nabi s.a.w “Siapa ini Ya Jibril ?” Maka katanya “Itulah mereka yang tiada memberi zakat harta mereka itu seperti firman Allah Taala ( ….. ) dan tiada zalim kami akan mereka itu tetapi adalah mereka itu menzalimi akan dirinya.
Kemudian maka datang pula atas beberapa kaum yang ada pada hadapan mereka itu daging yang masak lagi baik didalam periuk dan lagi ada pula daging yang mentah lagi busuk maka memakan mereka itu akan daging yang mentah lagi busuk itu dan ditinggalkan daging yang masak yang baik.
Maka sabda Nabi s.a.w “Apa ini Ya Jibril ?” Maka katanya “Inilah laki-laki daripada umat tuan hamba ada perempuannya yang halal yang baik maka ditinggalkan bermalam padanya dan mendatangi ia akan perempuan yang zaniah maka bermalam padanya dan mendatang ia sertanya hingga subuh dan perempuan daripada umat tuan hamba keluar daripada suaminya maka datang pada laki-laki yang zani maka bermalam sertanya hingga subuh.
…. Bersambung lagi esok, insyaallah
Rujukan : KITAB Kafiat AlMuhtaaj yang diterjemahkan oleh Sheikh Daud ibnu Abdullah Al-Patani.
Pendaftaran ahli kariah surau SMM
Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.
Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.
Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)