Sidang qariah yang dikasihi Allah, ... Sambung lagi perjalanan Isra’ Nabi s.a.w
Kemudian maka datang pula atas laki-laki berenang didalam sungai daripada darah dilontarkan didalam mulutnya dengan beberapa batu,
maka sabda Baginda “Apa ini Ya Jibril ?” Maka katanya “Inilah laki-laki yang memakan riba”.
Kemudian maka datang pula atas laki-laki sungguhnya telah menghimpunkan bebearapa berkas kayu yang tiada kuasa membawa dia, tiap-tiap tiada kuasa ditambahi lagi ,
maka sabdanya “Apa ini Ya Jibril ?”.Maka katanya “Inilah laki-laki daripada umat tuan hamba ada padanya beberapa amanah manusia tiada kuasa ia menunaikan dia dan ditambahi lagi”.
Kemudian maka datang atas beberapa kaum yang menggunting akan lidahnya dan bibirnya dengan penggunting besi, tiap-tiap digunting kembali pula seperti dahulunya tiada lumpuh mereka itu sekali-sekali, maka sabdanya “Siapa ini Ya Jibril ?”. Maka kata Jibril “Inilah orang yang mengajarkan manusia dengan tiada sebenarnya daripada umat tuan hamba dan tiada ia kerjakan bagi dirinya “
Kemudian maka datang pula akan beberapa kaum adalah kuku mereka itu daripada tembaga menggaru-garu mereka itu akan mukanya dan dadanya hingga keluar daging dan darah, tiap kali digarunya kembali pula sepertinya, maka sabdanya “Siapa mereka itu Ya Jibril ?”. Maka katanya “Inilah mereka yang memakan akan daging manusia dengan mengumpat-ngumpat dan memalukan sesama manusia.
Kemudian datang pula atas satu lubang yang sempit mulutnya maka tiba-tiba keluar daripadanya lembu jantan yang besar maka jadilah ia berkehendak kembali masuk kepada lubang itu tiada dapat lagi maka sabdanya “Apa ini Ya Jibril ?” Maka jawa Jibril ”Inilah seumpama seorang laki-laki daripada umat tuan hamba berkata-kata dengan satu kalimat yang amat besar daripada yang dimurkai Allah Ta’ala kemudian maka menyesal ia maka tiada kuasa mengembalikan lagi.
Sidang qariah yang dikasihi Allah, Kita masih dalam perjalanan Isra’ lagi ( dialam roh ) …..
Maka antara adalah berjalan tiba-tiba diseru oleh yang menyeru pada pihak kanannya dengan katanya
“Hai Muhammad nanti akan daku, aku hendak bertanya akan dikau tiada menjawab Nabi s.a.w.
Kemudian maka sabdanya “Apa ini Ya Jibril ?”. Maka katanya “Inilah seru yahudi adapun jika tuan hamba jawab akan dia nescaya banyak umat tuan hamba jadi yahudi”.
Dan antara berjalan pula tiba-tiba diseru oleh yang menyeru daripada pihak kiri dengan katanya
“ Ya Muhammad, nanti akan daku aku berkehendak bertanya akan dikau maka tiada ia menjawab akan panggilan itu maka sabdanya ‘Apa ini jibril ?” Maka katanya “Inilah seru Nasrani adapun jikalau Tuan hamba jawab akan dia nescaya banyak umat Tuan hamba jadi nasrani.
Dan antara berjalan Nabi s.a.w tiba-tiba bertemu satu perempuan hal keadaannya membukakan dua lengannya dan adalah atasnya daripada tiap-tiap perhiasan yang dijadikan Allah Ta’ala maka menyeru ia dengan katanya
“Hai Muhammad, nanti akan daku, aku berkehendak bertanya akan dikau “,maka tiada paling Nabi s.a.w kepadanya, maka sabdanya “Siapa perempuan in Ya Jibril ?” Maka menjawab Jibril ”inilah dunia adapun jikalau Tuan hamba jawab akan dia nescaya memilh oleh umat Tuan akan dunia lebih dari akhirat”.
Dan antara berjalan Nabi s.a.w tiba-tiba berdapat akan satu orang tua duduk jauh daripada jalan menyeru dengan katanya “Hadir oleh mu Hai Muhammad !!”, maka berkata Jibril “Berjalan hai Muhammad !”. Maka sabdanya “Siapa orang tua ini ?”. Maka katanya “Inilah musuh Allah, Iblis berkehendak ia bahawa mencenderungkan kepadanya”.
Kemudian maka berjalan ia tiba-tiba berjumpa satu perempuan tua ditepi jalan maka berkata ia
“Hai Muhammad, nanti olehmu akan daku, aku hendak bertanya akan dikau”. Maka sabdanya “Siapa perempuan ini Jibril ? “. Maka jawab Jibril “Inilah umur dunia tiada tinggal lagi melainkan selama umur perempuan tua ini jua”
…. Bersambung lagi esok, insyaallah
Rujukan : KITAB Kafiat AlMuhtaaj yang diterjemahkan oleh Sheikh Daud ibnu Abdullah Al-Patani.
Pendaftaran ahli kariah surau SMM
Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.
Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.
Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)