Terdapat di dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan tentang para malaikat yang ditugaskan untuk mencari-cari majlis-majlis yang diadakan untuk mengingati Allah. Majlis tersebut samada berbentuk majlis zikir, pengajian agama atau sebagainya.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: ”Sesungguhnya Allah mempunyai para malaikat yang berkeliling di jalan untuk mencari-cari kumpulan orang yang berzikir. Jika mereka telah menemui kumpulan orang yang berzikir kepada Allah, mereka akan berseru: ”Mari, di sini ada yang kamu semua cari.” Majlis mereka ini akan dikerumuni dengan sayap para malaikat hingga ke langit dunia.”
Rasulullah s.a.w. seterusnya bersabda: ”Tuhan kemudian bertanya (sedang Dia lebih mengetahui tentang keadaan hamba-hambaNya): ”Apakah yang diucapkan oleh hamba-hambaKu?”
Malaikat menjawab: ”Mereka semua memahasucikan, membesarkan, memuji serta memaha-agungkan Engkau.”
Allah berfirman: ”Apakah mereka pernah melihat Aku?”
Malaikat menjawab: ”Tidak, demi Allah mereka belum pernah melihat Engkau.”
Allah berfirman: ”Bagaimanakah seandainya mereka dapat melihat Aku?”
Malaikat menjawab: ”Seandainya mereka dapat melihat Engkau, sudah tentu mereka akan lebih banyak beribadat, lebih banyak mengagungkan dan lebih banyak memahasucikan Engkau.”
Allah berfirman: ”Apakah yang mereka minta dariKu?”
Malaikat menjawab: ”Mereka meminta syurgaMu.”
Allah berfirman: ”Apakah mereka pernah melihat syurga?”
Malaikat menjawab: ”Tidak, demi Allah mereka belum pernah melihatnya.”
Allah berfirman: ”Bagaimana seandainya mereka telah melihat syurga.”
Malaikat menjawab: ”Seandainya mereka pernah melihat syurga, sudah tentu mereka akan lebih tertarik untuk memperolehinya da lebih bersungguh-sungguh mencarinya, juga lebih berkeinginan untuk mencapainya.”
Allah berfirman: ”Dari apakah mereka meminta perlindungan?”
Malaikat menjawab: ”Mereka memohon perlindungan dari neraka.”
Allah berfirman: ”Apakah mereka pernah melihatnya?”
Malaikat menjawab: ”Tidak, demi Allah mereka belum pernah melihatnya.”
Allah berfirman: ”Bagaimanakah seandainya mereka pernah melihatnya?”
Malaikat menjawab: ”Seandainya mereka pernah melihatnya, sudah tentu mereka akan lebih bersungguh-sungguh lari menjauhkan diri darinya dan lebih berperasaan takut terhadapnya.”
Allah berfirman: ”Aku persaksikan padamu semua bahawa Aku telah mengampuni hamba-hambaKu itu.”
Salah seorang dari para malaikat itu berkata: ”Di antara mereka ada seorang yang sebenarnya bukan termasuk golongan ahli zikir. Dia datang ke majlis itu hanya ada sesuatu keperluan sahaja.”
Allah berfirman: ”Mereka itu adalah satu kelompok kaum yang siapa sahaja berkawan dengannya sudah tentu tidak akan mendapat celaka.”
(Riwayat Bukhari)