Malaikat Izra’il A.S
Malaikat Izra’il dijadikan oleh Allah mempunyai rupa bentuk yang serupa dengan Malaikat Mika’il A.S, baik muka, lidah, sayap, besar dan kekuatannya. Dia hidup di suatu alam yang dibentangi dengan rahsia Allah. Benteng tersebut besarnya melebihi keluasan langit dan bumi. Selain daripada itu, Allah telah memberi kepadanya suatu kemampuan untuk menjangkau ke arah timur dan barat dengan kedua tangannya. Seolah-olah seseorang yang sedang menghadapi hidangan di atas sebuah meja yang dipenuhi dengan pelbagai makanan, dia boleh mencapai apa sahaja makanan di situ. Allah jua memberikan kemampuan yang boleh membolak-balikkan bumi ini.
Malaikat Izra’il selain dibentangi dengan beberapa lapis rahsia Tuhan, ia juga telah diikat dengan tujuh puluh rantai. Setiap satu dari rantai tersebut panjangnya kira-kira seribu tahun perjalanan.
Oleh kerana penempatan malaikat Izra’il itu terlalu rahsia, sehingga tiada satu malaikat pun yang mampu mendekatinya dan mengetahui tempat serta perbuatannya. Begitu juga dengan suaranya, tiada satu malaikat pun yang boleh mendengarnya.
Penciptaan Al-Maut
Ketika Allah Taala mencipta al-Maut dan diserahkannya kepada Izra’il, dia berkata: ”Wahai Tuhanku, apakah al-Maut itu?”
Maka Allah menyingkap rahsia al-Maut itu dan memerintahkan agar seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah menyaksikannya tersungkur para malaikat dalam keadaan pengsan selama seribu tahun lamanya. Apabila para malaikat sedar dari pengsannya, mereka bertanya kepada Allah Taala: ”Wahai Tuhan kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?”
Allah Taala berfirman: ”Akulah yang menciptakannya, dan Akulah yang lebih Agung daripadanya. Seluruh makhluk akan merasakan al-Maut itu.”
Kemudian al-Maut berkata: ”Wahai Tuhanku, izinkanlah aku untuk berseru di dalam langit sekali.”
Setelah diizinkan, al-Maut pun berseru dengan jeritan yang amat kuat:
“Aku adalah al-Maut, tugasku sebagai pemisah orang yang saling menyintai. Aku adalah al-Maut, tugasku memisahkan antara ank dan ibunya. Aku adalah al-Maut, tugasku memisahkan saudara laki-laki dan perempuan. Aku adalah al-Maut, tugasku menghancurkan bangunan dan gedung-gedung. Aku adalah al-Maut, tugasku meramaikan kubur. Aku adalah al-Maut, tugasku mencari dan mendatangi kamu semua, walaupun kamu berada dalam lapisan benteng yang amat kuat. Dan tiada suatupun makhluk yang tidak merasakan kepedihanku.”
Malaikat Mikail A.S.
Malaikat Mikail adalah salah satu di antara empat malaikat yang menjadi pembesar seluruh malaikat. Dia diciptakan oleh Allah selepas malaikat Israfil kira-kira 500 tahun. Dia dijadikan daripada cahaya.
Rupa bentuknya:
Dari kepala hingga kepada kedua telapak kakinya dipenuhi dengan bulu-bulu za’faron. Di atas bulu-bulu tersebut terdapat sejuta muka. Dan setiap muka mempunyai sejuta mata. Mata-mata ini dalam keadaan yang sentiasa menangis memohon rahmat bagi orang-orang mukmin yang berdosa. Setiap mata-mata ini akan menitiskan airmata sebanyak 70 ribu titisan. Lalu setiap titis darinya Allah menciptakan malaikat yang serupa dengan malaikat Mikail. Mereka ini bernama Karabiyun, yang diberi tugas untuk membaca tasbih hingga ke hari kiamat dan membantu tugas-tugas malaikat Mikail menurunkan hujan dan memberi rezeki.
Setiap mulut dari muka-muka ini mempunyai sejuta lidah. Setiap satu darinya boleh bercakap dalam sejuta bahasa. Lidah-lidah ini sentiasa mengucapkan istighfar untuk orang-orang mukmin yang berdosa.
Mengenal Malaikat