Zakat Emas

Soalan: Adakah perhiasan emas dan perak dikenakan zakat?

Emas dan perak wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Bagi perak ia termasuk perhiasan atau barangan yang disimpan. Ia dikira mengikut harga 1 gram perak semasa. Ini adalah berdasarkan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“…dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya (zakat) pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Taubah: ayat 34-35)

Begitu juga dengan Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada Muslim yang bermaksud:

"Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya.”

(Riwayat Muslim)

Soalan: Adakah emas yang disimpan dan dipakai, diwajibkan zakat?

Emas yang disimpan dan dipakai wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Emas yang disimpan bermaksud emas yang tidak digunakan atau tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram. Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada nilai emas semasa sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya.

Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun jika ia melebihi 'uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas nilai emas yang dipakai. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.

Soalan: Adakah emas perhiasan yang dipakai tidak dikenakan zakat?

Ya, barang kemas yang dipakai tidak dikenakan zakat selagi ianya tidak melebihi had pemakaian yang dibenarkan. Di Selangor, zakat akan dikenakan sekiranya barang kemas yang dipakai itu melebihi 800 gram.

Soalan: Berapakah nisab zakat emas dan berapakah kadar yang dikenakan zakat?

Nisab zakat emas ialah 85 gram. Ulama' sepakat mengatakan bahawa emas apabila cukup 20 misqal, wajib dikenakan zakat. Kadar zakat emas ialah rubu' al-'usyur iaitu satu perempat puluh atau dua setengah peratus (1/40 atau 2.5%)

Soalan: Bagaimanakah untuk mengira zakat, jika emas bertatah batu-batu permata atau berlian?

Sekiranya batu kecil, ia akan ditolak dengan anggaran sebanyak 0.02 gram per batu manakala bagi batu besar akan ditolak 0.5 gram per batu. Setelah ditolak jumlah berat batu, maka barulah dikira berat emas tersebut.

Soalan: Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan dan diwarisi daripada nenek?

Ya, emas perhiasan yang disimpan dan diwarisi wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup syarat.

Soalan: Saya memiliki beberapa utas rantai emas tetapi saya gadaikan untuk membuat modal perniagaan. Adakah wajib membayar zakat bagi rantai emas yang digadaikan itu?

Tidak wajib dizakatkan kecuali setelah ditebus semula. Kiraan haul bermula pada hari ditebus.

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran