Buat sahabat yang tinggi nafsu makannya

Maka seringlah kita berjumpa dengan sahabat-sahabat yang yang mempunyai nafsu makan yang teramat tinggi… maka teringat ana pada kitab Hidayatul Salikin karangan Syeikh Abdul Samad al-Palibani dalam membicarakan bab Menjauhi Maksiat Batin, katanya:

Allah benci orang berlebihan makan dan minum.

Adapun sangat gemarkan kepada makanan dan melebihi kenyang daripada kebiasaannya dan membanyakkan makanan, dicela oleh syarak seperti firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Wahai anak Adam ambillah perhiasan kamu pada setiap kali dimasjid. Dan makan dan minumlah serta janganlah kamu berlebihan pada makan dan minum itu kerana sesungguhnya Allah Ta’ala tiada kasih orang yang berlebihan dalam makan dan minum”.

Allah suka orang yang lapar dan dahaga.

Sewajarnya engkau mengurangi makan dan minum sehingga jangan sangat kenyang kerana yang demikian itu dituntut dan dipuji oleh syarak kerana: Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tiada amalan yang terlebih kasih pada Allah Ta’ala daripada lapar dan dahaga”.

Dan Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud: “Yang terlabih utama di kalangan kamu pada Allah ialah orang yang banyak lapar dan banyak tafakur. Dan yang teramat benci orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum”.

Soalan: Apakah kadar makan yang dipuji dan yang dicela?

Jika ada orang bertanya kamu kadar makan yang dipuji oleh syarak dan apa kadar makan yang dicela oleh syarak? Maka jawabnya:

Kadar makan yang dipuji oleh syarak itu ada tiga darjat:

  1. Darjat “Siddikin” iaitu yang terlebih tinggi, bahawa mereka makan sekadar menguatkan beribadat kepada Allah Ta’ala sahaja.
  2. Bahawa mereka makan pada sehari semalam setengah cupak, yakni setengah daripada seperempat gantang fitrah ( gantang Baghdad). Demikian yang diadatkan oleh Sayidina Umar bin al-Khattab yang diredhai Allah dan beberapa jemaah sahabat yang diredhai Allah semuanya kerana makanan mereka pada setiap tujuh hari adalah satu gantang fitrah gandum.
  3. Bahawa ia makan pada sehari semalam satu cupak yakni satu perempat gantang fitrah.

Dan memakan lebih daripada itu adalah terkeluar daripada orang yang menjalani jalan kepada Allah Ta’ala dan dicela oleh syarak.

Wallahu ’alam

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran