Membuka Tabir Yang Membatasi Diri Dengan Tuhan

  1. PERBAIKI AKHLAK

Dalam usaha menyingkap tabir/hijab yang membatasi diri dengan Tuhan, kaum Sufi/Tasawwuf telah membuat satu sistem yang dinamakan Takhalli, Tahalli dan Tajalli dimana ia dipakai dalam Riadah/latihan-latihan dan mujahadah (berjuang) untuk mensuci-bersihkan diri dari segala sifat-sifat yang tercela dan menghiasi dan membina diri dengan sifat-sifat yang terpuji dalam rangka mencapai “maqam” yang lebih tinggi, dengan kata lain memperbaiki akhlak.

Dalam kitab Kimyaus-Saadah Al-Ghazali berkata, “Bahawa tujuan perbaikan akhlak itu ialah untuk membersihkan qalbu dari kotoran-kotoran hawa nafsu dan amarah sehingga hati menjadi suci bersih, bagaikan cermin yang dapat menerima Nur cahaya Tuhan”.

Dinding/hijab yang membatasi diri dengan Tuhan ialah hawa nafsu kita sendiri. Dalam usaha menghilangkan hijab/dinding itu. Kaum sufi mengadakan latihan-latihan dari satu tingkat ke tingkat yang lebih tinggiyang pada akhirnya dapat mempersatukan dirinya dengan Tuhan.

Firman Allah dalam A-Quran (S. Kahfi 110) yang bermaksud : “Maka barang siapa yang mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh (memperbaiki akhlak) dan janganlah mempersekutukan apapun dalam beribadat kepada Tuhan (bersih dari segala kotoran hawa nafsu)”.

Maka untuk mencapai tujuan “Liqa” itu memerlukan latihan-latihan dan perjuangan, perjuangan untuk mensuci-bersihkan diri. Perjuangan memperbaiki akhlak secara terus menerus dan dalam menyembah Tuhan terus menerus sampai ke akhir hayat.

Maka yang dapat menghayati kita dalam pekerjaan-pekerjaan itu, adalah “sabar”.

SABAR

Menurut Al-Ghazali, yang dinamakan “sabar” ialah meninggalkan segala macam pekerjaan yang digerakkan oleh hawa nafsu, tetap pada pendirian agama yang mungkin bertentangan dengan kehendak hawa nafsu, semata-mata kerana menghendaki kebahagian dunia dan akhirat.

Bahawa sabar itu merupakan jihad/perjuangan untuk menghadapi hawa nafsu untuk kembali pulang kepada Tuhan.

Dalam menghadapi keadaan seperti itu, maka sifat sabar menjadi berat. Firman Allah dalam Al-Quran (surah al-Baqarah ayat 45 & 46 yang bermaksud : “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu dan sesungguhnya yang demikian itu adalah tugas yang berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. Orang-orang yang khusyuk itu ialah orang yang menyukai bahawa mereka itu akan bertemu dengan Allah dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya”.

Maka demikian beratnya sifat sabar itu, sehingga merupakan suatu sifat yang istimewa yang hanya dapat dikerjakan bagi orang-orang yang khusyuk. Dan orang yang khusyuk itulah yng benar-benar mempunyai keyakinan yang kuat, niat yang ikhlas, i’tikad baik tujuan yang benar dan dengan penuh kesabaran mereka mentaati peraturan agama berupa perintah dan larangan, dengan rasa berkewajipan dalam melaksanakannya dan menyelesaikannya.

Ahli Filsafat mengatakan : Bahawa dengan Ilmu saja, tidak cukup untuk meletakkan dasar yang utama bagi sesuatu kelebihan. Tanpa kesabaran tidak akan dapat mentaati suatu peraturan berupa perintah atau laranan agama. Namun sudah tahu/mengerti betul-betul bahawa maksiat itu larangan, kebajikan itu suruhan, jika tidak dengan kesabaran, tidak mungkin dapat dikerjakan. Oleh itu kaum sufi memberi perincian tentang sabar sebagai berikut :

a. Sabar taat – Manusia yang tersendiri menghadapi banyak pengawasan atas dirinya dalam suatu tugas kewajipan, oleh kerana itu maka taat dalam sesuatu tugas kewajipan sifat sabar menjadi penolong dan pengawas utama.

Pertama : Sabar sebelum taat. Ialah niat yang ikhlas, tujuan yang benar, merasa berkewajipan atas keyakinan agama dalam menerima peraturan berupa perintah atau larangan.

Kedua : Sabar melaksanakan taat. Ialah melaksanakan kewajipan sampai selesai, berkala atau terus menerus dengan penuh tanggung jawab dan kesungguhan.

Ketiga : Sabar setelah taat. Ia tidak merasa bangga dengan selesainya pekerjaannya, tidak iri hati atas kekurangan atau kelebihan orang lain dan tidak riak untuk dikagumi hasil usahanya.

b. Sabar berkewajipan – Mengetahui sesuatu kewajipan sahaja tidak cukup untuk dapat dikerjakan tanpa adanya kesabaran dan sebaliknya mengetahui sesuatu larangan belum tentu dapat meninggalkannya tanpa adanya kesabaran. Misalnya dalam melaksanakan ibadat seperti solat , puasa, zakat dan haji sangat memerlukan kesabaran. Mengerjakan solat lima kali sehari adalah mendidik diri peribadi membiasakan ”sabar” menjadi kebiasaan sehari-hari menjalankan kewajipan agama menuntut keredhaan Allah. Sabar dan solat banyak mengandung hikmah antara lain taat, patuh, setia, bertanggung jawab, menepati janji, menghargai waktu, jujur dan bertakwa kepada Allah. Sifat-sifat seperti itu adalah sifat-sifat yang terpuji dan apabila sifat-sifat itu menjadi kebiasaan dalam melakukan tugas kewajipan dalam melakukan tugas-tugas kewajipan dalam pembangunan duniawi, maka akan sangat berguna dipakai dalam membina manusia.

c. Sabar dalam beberapa bahagia – Menurut ajaran sufi, maka sabar itu terbahagi menurut hukum iaitu :

1. Sabar yang dilakukan untuk menjauhkan diri daripada segala yang haram, hukumnya “wajib:.

2. Sabar yang dilakukan untuk menjauhkan diri daripada segala pekerjaan makruh. Hukumnya “sunat”.

3. Sabar dalam menjalankan hukuman kerana pelanggaran maka itu harus hukumnya.

4. Sabar membela kehormatan atau hak milik, maka hukumnya itu ”haram”. Jika sifat sabar dalam keadaan seperti ini dinamakan ”sabar saajah” sabar berani.

Itulah namanya ”sabar” menjalankan dan mentaati Hukum Tuhan, seperti berjuang atas jalan Allah.

Mati dalam perjuangan ini adalah mati syahid. Berjuang untuk mempertahankan kesucian agama Allah, kemerdekaan tanah air, keselamatan diri dan keluarga, keamanan harta milik, melawan musuh, membenteras kezaliman dan lain-lain yang bersifat amar ma’ruf dan nahi mungkar. Melakikan sabar pada ketika itu dinamakan sabar berani. Sifat sabar dalam keadaan seperti semakin bertambah berat dan sulit, tetapi mulia.

Khalid bin Walid (panglima perang Muslim) di zaman Nabi berkata : Hai keluarga Islam, sabar itu kemuliaan. Kalah itu kehinaan. Kemenangan adalah kesabaran”. Maka itulah sebabnya Allah menganjurkan kesabaran kepada orang-orang Islam dimana firman Allah dalam Al-Quran (surah Al0Anfal ayat 46) bermaksud : ”Bersabarlah kamu sekelian, sesungguhnya Allah beserta mereka yang sabar”.

Maka di dalam menghadapi kesulitan apapun jua, maka satu-satunya kekuatan yang dapat bertahan ialah ”sabar”. Demikian Allah telah memberikan jaminan untuk bersama-sama orang yang sabar, baik di dunia terlebih-lebih di akhirat nanti, Allah menjanjikan kepada orang-orang sabar akan kemuliaan.

Firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 75 bermaksud : ”Mereka itu orang yang dikurniai Allah dengan martabat yang mulia dalam syurga kerana kesabarannya dan mereka diberikan sambutan penghormatan dan ucapan selamat (memasuki syurga)”.

Bersambung kepada sifat SYUKUR... insya-Allah

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran