Ibadah Korban

Pengertian Korban
Korban dalam bahasa Arab disebut al-udhhiyyah, iaitu binatang yang disembelih pada waktu Dhuha.
Manakala pengertiannya dari segi hukum syara’ ialah binatang ternakan (na’am) seperti kambing, lembu atau kerbau yang disembelih pada Hari Raya Adha atau pada hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zuhijjah) dengan niat untuk menghampirkan diri kepada Allah.
Hukum Berkorban
Hukum asal berkorban ialah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Jumhur ulama mengatakan adalah sunat melakukan korban bagi orang yang mampu dan makruh jika tidak melakukannya. Walaubagaimanapun jika ditinggalkannya, dia tidak berdosa dan tidak wajib mengqadhanya sekalipun tanpa sebarang keuzuran.
Syarat Sah Berkorban
Ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi menjadikan korban itu sah mengikut hukum syara’. Syarat-syarat tersebut berhubungkait dengan tiga perkara berikut:
1. Waktu Berkorban
Waktu menyembelih korban itu ialah selepas naik matahari pada Hari Raya Adha sekadar berlalu sembahyang dua rakaat dan dua khutbah yang ringkas dan berkekalan masa berkorban itu sehingga terbenam matahari pada akhir hari Tasyrik iaitu hari ke 13 Zulhijjah.

2. Orang Yang Berkorban
Melakukan korban adalah sunat ke atas orang yang memenuhi syarat-syarat berikut:
a. Islam
b. Merdeka
c. Baligh
d. Berakal
e. Berupaya (mampu)

Walaubagaimanapun, wali (bapa dan datuk sahaja) boleh melakukan korban daripada hartanya untuk orang yang dibawah tanggungannya seperti anak dan isterinya. (I’anah ath-Thalibin:2/376)

Adapun yang dimaksudkan berkuasa itu ialah orang yang mempunyai lebihan harta sebanyak nilaian harga binatang korban daripada keperluannya dan keperluan orang yang dibawah tanggungannya pada Hari Raya dan hari-hari Tasyrik. (Mughni al-Muhtaj:4/356)

Disyaratkan orang yang berkorban itu berniat korban ketika menyembelih, kerana ia adalah ibadat dan ibadat tidak sah melainkan dengan niat. Namun begitu, harus juga mendahulukan niat itu sebelum menyembelih dengan syarat:
a. Hendaklah ia berniat sesudah ditetapkan atau ditentukan binatang korbannya.
b. Hendaklah ia berniat setelah masuk waktu penyembelihan binatang korban, iaitu bermula selepas naik matahari pada Hari Raya Adha (10 Zulhijjah) sekadar berlalu sembahyang dua rakaat dan dua khutbah yang ringkas dan berlanjutan sehingga terbenam matahari pada akhir hari Tasyrik iaitu hari ke 13 Zulhijjah.
Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korbannya dan dia hadir ketika itu. Dalam hal ini, niat orang yang berwakil itu adalah memadai dan wakil tidak perlu lagi berniat. Walaubagaimanapun, adalah orang yang berwakil itu, ketika menyerah binatang korbannya, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.
Sebaiknya niat berkorban itu ditentukan bagi mengelakkan korban sunat menjadi korban wajib. Menurut hukum syara’, haram bagi orang yang berkorban dan orang-orang yang wajib dibawah tanggungannya memakan daging korban wajib tersebut. Bahkan wajib disedekahkan semuanya kepada fakir miskin.
Niat itu tempatnya di hati dan sunat melafazkannya dengan lidah. Niat bagi korban sunat itu adalah seperti berikut:
“Sahaja aku melakukan korban yang sunat”.
Apabila masuk 10 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang hendak membuat korban untuk dirinya supaya tidak memotong sesuatu daripada anggotanya yang zahir seperti rambut, kuku atau lain-lain sehinggalah ia selesai menjalankan upacara korban itu. Hikmahnya supaya keampunan Allah Subhanahu wa Ta’ala atu akan diperolehi secara menyeluruh termasuk keseluruhan anggota-anggota dirinya ketika menyembelih korban.
3. Binatang Korban
Syarat-syarat binatang yang sah untuk dijadikan korban itu ialah:
a. Binatang korban itu mestilah binatang ternakan (na’am) seperti unta atau yang sejenisnya, lembu atau yang sejenisnya seperti kerbau, kambing atau yang sejenisnya seperti biri-biri dan kibasy.
Seekor unta, lembu atau kerbau itu boleh dikongsi oleh tujuh orang, samada daripada keluarga yang sama atau orang lain walaupun tidak semuanya bermaksud ibadat korban, misalnya ada diantaranya bermaksud untuk aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja.
Seekor kambing pula hanya boleh dikorbankan untuk seorang sahaja, tetapi harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor binatang korban itu.
Berkorban dengan seekor unta adalah lebih afdhal kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir miskin, kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri, kemudian kambing biasa. Berkorban dengan tujuh ekor kambing itu lebih afdhal daripada seekor unta atau lembu, kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tertumpah ketika disembelih. Berkorban dengan seekor kambing itu pula lebih afdhal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang.
Afdhalnya binatang korban itu ialah yang berwarna putih, kemudian yang berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi yang tidak bersih putihnya, kemudian yang berwarna merah, kemudian yang sebahagian badannya berwarna putih dan sebahagiannya berwarna hitam, kemudian berwarna hitam semuanya.
b. Binatang korban itu mestilah cukup umur. Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Jangan kamu menyembelih binatang melainkan musinnah kecuali jika kamu sukar mendapatkannya, maka sembelihlah jadza’ah daripada biri-biri.”
Adapun musinnah itu ialah ats-tsaniyyah (yang gugur gigi hadapannya) daripada binatang ternakan daripada unta, lembu dan kambing. Manakala jadza’ah pula ialah anak kambing biri-biri yang berumur enam bulan sehingga satu tahun. Maka ukuran umur bagi binatang korban itu ialah:
• Unta yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya lima tahun dan masuk tahun keenam.
• Lembu dan kambing yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya dua tahun dan masuk tahun ke tiga.
• Manakala kambing biri-biri (kibasy) memadai yang berumur cukup satu tahun atau yang gugur gigi hadapannya walaupun belum cukup umurnya satu tahun dengan syarat telah melebihi umurnya enam bulan. (Al-Majmu’:8/364-365 dan I’anah ath-Thalibin:2/376)

c. Binatang korban itu mestilah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan daging, lemak atau anggotanya yang lain yang boleh dimakan.
Sabda Rasulullah s.a.w : Empat perkara yang tidak boleh terdapat pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: “Buta sebelah mata yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang sangat kurus.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Isu-isu Korban Sunat
 Cara Pembahagian (Menyedekahkannya)
Harus bagi orang yang berkorban itu (korban sunat) membahagikan dagingnya kepada tiga bahagian; iaitu satu pertiga untuk dimakan, satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin dan satu pertiga lagi untuk dihadiahkan kepada orang kaya.
Namun yang afdhalnya adalah disedekahkan kesemuanya, melainkan dimakannya sedikit sahaja iaitu kadar beberapa suap untuk mengambil berkat daripadanya, kerana yang demikian itu lebih mendekatkan diri kepada taqwa dan menjauhkan diri daripada sifat mementingkan diri sendiri.

 Memakan kesemua dagingnya
Sekalipun sah korban sunat seseorang yang memakan kesemua daging korbannya dan tidak sedikitpun disedekahkan kepada orang fakir atau miskin, tetapi wajib didapatkan atau dibeli daging-daging yang lain mengikut kadar yang wajib disedekahkan sebagai ganti.

 Menghadiahkan daging korban kepada orang kafir
Adalah haram hukumnya memberI atau menghadiahkan daging korban (mentah atau telah dimasak) kepada orang kafir sekalipun dia kaum kerabat, samada ia korban wajib atau sunat walaupun sedikit, kerana korban adalah perkara yang berhubung dengan ibadat. (Ia’nah ath-Thalibin:2/522)

 Daging korban dijadikan upah
Kulit atau daging binatang korban itu haram dijadikan upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya sebagai sedekah jika penyembelih itu orang miskin atau sebagai hadiah jika dia bukan orang miskin.

 Berkorban bagi pihak orang lain
Tidak sah melakukan ibadat korban bagi orang yang masih hidup melainkan dengan ada izinnya, dan tidak sah juga melakukan ibadat korban bagi orang yang telah meninggal dunia melainkan dengan ada wasiatnya.

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran