Amalam di Bulan Muharram

Puasa Sunat, Sembahyang Sunat, Dibulan Yang Dimuliakan
Hadith Riwayat: (Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Puasa yang lebih utama selepas Ramadhan ialah puasa di dalam bulan Allah yang dimuliakan iaitu bulan Muharram. Manakala sembahyang sunat yang afdhal selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang sunat di waktu malam (terutama di malam bulan Ramadhan).

Huraian Hadith:
1. Puasa sunat yang sangat dituntut kepada umat Islam mengerjakannya selepas daripada puasa fardhu (Ramadhan) ialah puasa pada bulan Muharram, sama ada di awal, di tengah atau di akhir bulan.
2. Islam menganjurkan kepada semua umatnya agar memperbanyakkan ibadat sunat termasuk solat sunat di mana sembahyang sunat yang paling mulia dan banyak kelebihannya di sisi Allah ialah sembahyang sunat di waktu malam.


Fadhilat Puasa Assyura
Hadith Riwayat: (Muslim)
Dari Abu Qatadah al-Anshari r.a. katanya:Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu".

Huraian Hadith:
Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya. Hal ini termasuklah peluang-peluang melakukan amal ibadat yang diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda berbanding dengan amalan-amalan yang dilakukan pada waktu-waktu biasa. Contohnya Allah memuliakan bulan Muharram dan menggalakkan kita berpuasa sunat. Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui akan kelebihan yang ada padanya tetapi hakikatnya itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim itu dalam mencari keredhaan Allah SWT dengan cara yang terbaik iaitu ia tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu yang dikurniakan padanya kerana apabila seseorang itu sudah ditimpa sakit ataupun sibuk barulah mereka terasa akan kekurangan diri dalam mempersiapkan bekalan di hari akhirat kelak. Oleh itu marilah kita bersama-sama menyahut seruan Rasulullah ini mudah-mudahan ketaqwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.

Jangan Meniru Seperti Yahudi
Hadith Riwayat: (Ahmad)
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:Rasulullah saw. bersabda, maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari `Asyura' dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya."

Huraian Hadith:
Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a' (sembilan Muharram) itu adalah untuk :
i. Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura' (sepuluh Muharram) sahaja.
ii. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.
iii. Bagi maksud menyambung puasa hari `Asyura' dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari `Asyura'. (lihat I`anah Ath-Thalibin 2/301) Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari `Asyura' tanpa berpuasa pada hari Tasu`a', supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram. Bahkan Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram.

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran