Salam Maal Hijrah 1433H
Assalamu’alaikum
Sebagai pembukaan kata, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memanjangkan usia dan memberi kesempatan untuk meneruskan hidup yang masih berbaki, di alam yang fana ini.
1 Muharram 1433H (27 November 2011) ini, bukan hanya sekadar menjadi hari cuti biasa bagi kita. Tetapi, ia menjadi permulaan hari dalam setahun ini, untuk menuju jalan-jalan kebaikan dan meninggalkan segala kemungkaran yang dilaknat. Hayati dan jadikanlah hijrah kali ini menjadi yang sebenar seperti hijrah Nabi Muhammad SAW. Semoga iman diperkuat, amalan dipertingkat, perjuangan menegakkan syiar Islam diperhebat. Semoga tahun baru Hijrah (1433) ini menjadi lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini.
Kebiasaannya apabila tiba sahaja tahun baru masihi, kita sering memperbaharui azam masing-masing. Apa kata kali ini azam yang sama kita tekadkan lagi semasa ketibaan tahun baru hijrah ini. Malah jika kita tidak pernah langsung berazam selama ini pada tahun baru hijrah, maka bolehlah kita memulakannya sekarang. Azam ini bolehlah lebih ke arah pengisian rohani dan keagamaan. Yang terbaik adalah melihat semula salah satu Rukun Islam kita iaitu Solat. Mungkin kepada mereka yang tidak pernah solat berazam untuk mula bersolat, mereka yang bersolat tetapi tidak cukup lima waktu berazam untuk melengkapkan solat lima waktu dan mereka yang bersolat lima waktu berazam untuk meningkat kualiti solat tersebut. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam, hari esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari seterusnya lebih baik dari hari-hari sebelumnya … inilah yang dituntut oleh Islam.
Di samping itu perkuatkan juga fahaman aqidah, syariat dan akhlak kita. Apabila fahaman kita jelas maka iman dan takwa kita juga akan kukuh. Percayalah lebih rapat kita dengan Allah s.w.t. akan lebih tenang jiwa kita menghadapi kehidupan yang penuh cabaran dan dugaan ini. Waallahua’lam
Pendaftaran ahli kariah surau SMM
Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.
Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.
Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)