
Sesungguhnya bekerja amat dituntut oleh Islam bagi membolehkan umat manusia mendapat rezeki kurniaan Allah dan secara tidak langsung menjadi mekanisme memakmurkan muka bumi ini. Ini menepati penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.
Tidak kira di posisi manapun kedudukan kita dalam sesebuah organisasi, segala tindakan dan kerja hendaklah berorientasikan kepada ciri-ciri serta nilai-nilai kerja sebagai amal soleh dan bersifat sepadu antara duniawi dan ukhrawi, rohani dan jasmani.
Allah Taala berfirman dalam surah Al Jumaah ayat 10 yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai solat,maka bertebaranlah kamu di mukabumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurniaan Allah, serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya (dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).
Sesuatu kerja itu dikategorikan sebagai ibadah apabila ia bekerja untuk:
1. Bekerja untuk keperluan diri.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika pergi seseorang di antara kamu pada tengahari untuk mengambil kayu bakar dibelakangnya, sehingga dia dapat bersedekah darinya dan mencegah daripada meminta-minta maka yang demikian adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada orang lain sama ada diberi atau tidak kerana tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang dibawah, mulailah daripada yang terdekat.”
2. Bekerja untuk keperluan keluarga.
Rasulullad S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Allah sangat cintakan kepada orang mu’min yang bekerja (Hadith)”.
3. Bekerja untuk keperluan masyarakat.
Umum mengetahui tidak semua manusia mempunyai kepakaran dalam semua bidang. Untuk itu kemahiran individu dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat yang diklasifikasikan sebagai tuntutan fardhu kifayah.
4. Bekerja untuk memakmurkan bumi Allah.
Pekerjaan yang kita lakukan mempunyai hubungan kait yang rapat dengan unsur kehidupan manusia didunia selain memelihara segala nikmat Allah yang dikurniakan dimuka bumi ini.
Dan sifat pekerjaan itu sendiri mestilah :-
• Pekerjaan itu mestilah perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syara’.
• Pekerjaan yang disertakan dengan niat dan diredhai Allah.
• Pekerjaan yang dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh.
• Pekerjaan berasaskan prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab.
• Menghasilkan kerja yang berkualiti.
Oleh itu, marilah kita bermuhasabah diri dengan sentiasa membetulkan niat apabila melangkah keluar rumah untuk bekerja bahawa semua kerja yang dilaksanakan kerana Allah Taala semata-mata. Mudah-mudahan setiap pergerakan kita dari mula berdoa keluar rumah hingga kita pulang dikira sebagai ibadah dan amal soleh, rezeki yang diterima penuh keberkatan. Bersyukurlah dengan nikmat pekerjaan yang dikurniakan kepada kita.