Tegur Menegur Yang Membina


Insan yang lemah seperti kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Kesilapan ini akan berlarutan sekiranya tidak disedarkan ataupun tiada sesiapa yang menegur kita. Tetapi, tidak semua manusia boleh menerima teguran dengan hati terbuka. Kita sering menilai siapa yang menegur, bukan apa yang ditegur.
Suatu hari, seorang peminum arak menegur sesuatu kepada Sayyidina Umar r.a. Beliau dengan berlapang dada menerima teguran tersebut. Orang yang melihat keadaan tersebut berasa agak pelik. Lalu mereka bertanya: “wahai Amirul Mukminin, kenapa kamu menerima teguran dia, sedangkan dia seorang peminum arak?” Sayyidina Umar menjawab: “Ya, dia berdosa kerana meminum arak, tetapi tegurannya kepadaku adalah benar.”

Biasanya, manusia tidak suka pada teguran kerana dalam diri manusia itu ada sifat ego. Sedikit atau banyak ego itu bergantung kepada bagaimana kita mengawalnya. Namun, walau setinggi manapun ego kita, kita perlu menerima teguran yang membawa kebaikan kepada kita.

Diriwayatkan daripada Tamim al-Dari r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Agama adalah nasihat.” Kami pun bertanya: “Untuk siapakah wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemerintah-pemerintah umat Islam dan orang Islam.” (Riwayat Muslim)

Orang yang memberi teguran juga memainkan peranan yang sangat penting terhadap apa yang ditegurnya, jangan sampai dilabel sebagai “cakap tidak serupa bikin”. Biasanya, orang akan menilai keperibadian orang yang memberi teguran, takut dikecam bak kata pepatah, “bagai ketam mengajar anak berjalan lurus”. Jadi, orang yang menegur perlu berwaspada terhadap kata-katanya.

Sesuai Tempat Dan Masanya

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan walaupun pahit. Islam telah menyediakan garis panduan dalam membuat teguran.

Niat kita menegur seseorang itu mestilah betul, demi kebaikan orang itu dan bukannya menjatuhkannya, menghina, menunjukkan keaiban atau apa-apa jua niat buruk. Elakkan “memilih bulu” apabila ingin menegur; jika orang itu kita tidak suka, jangan pula kita biarkan sahaja walaupun dia patut ditegur.
Sebelum kita membuat teguran atas apa jua alasan, tiga faktor berikut harus diambil kira:
1. Tidak merendah-rendahkan orang yang ditegur.
2. Pilih waktu yang sesuai untuk menegur.
3. Memahami kedudukan orang yang ditegur.

Cara kita menegur juga perlu berhikmah. Kita bukan sengaja mencari-cari kelemahan dan menegur seseorang. Teguran mestilah kena pada tempat dan masanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl 16:125)
Marilah kita tegur-menegur sesama kita supaya kita menjadi umat Islam yang hebat. Terimalah teguran dengan perasaan bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturahim antara Mukmin. Berilah teguran dengan niat ikhlas dan cara yang penuh hikmah agar teguran dapat diterima dengan hati terbuka.

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran