Kemusykilan Agama - Siri 1

Koleksi Kemusykilan Agama Surau SMM – Siri 1

1.Soalan : Bagaimana menentukan arah kiblat diwaktu malam. Contoh tersesat di dalam hutan. Tiada kompas dan sebagainya.

Jawapan : Jika kita tersesat di dalam hutan di waktu malam sedangkan kita tidak dapat mengesan arah kiblat ketika itu, maka kita boleh berpandukan bintang-bintang yang ada di langit. Namun jika bintang-bintang pun tidak kelihatan kerana cuaca mendung ataupun berjerebu, ketika dalam keadaan darurat itu maka kita bolehlah menghadap ke arah manapun yang kita anggap betul ketika itu, kerana yang paling penting saat itu adalah kiblat hati iaitu kepada Allah.                                                                                                                                                         Dari Amir bin Rabi'ah, ia berkata: Kami pernah bersama Nabi SAW. pada suatu malam gelap, lalu bingung menentukan arah kiblat, lalu kami solat. Maka tatkala terbit matahari, ternyata kami solat tidak menghadap kiblat. Lalu turun ayat "Maka kemanapun kamu menghadap, disitu ada keredhaan Allah." (Riwayat Tirmizi)

DN

 

2.Soalan : Bagaimana cara untuk membayar hutang kepada si mati. Bagaimana cara untuk membuat pembayaran?

 Jawapan : Jika kita berhutang terhadap seseorang, namun sebelum sempat kita membayarnya ia telah meninggal dunia, maka kita wajib membayar kepada ahli warisnya yang terdekat.

  

3.Soalan : Adakah batal solat kita jika ketika membaca surah Al-Fatihah, salah satu dari ayatnya diulang 2, 3 kali kerana was-was.

 Jawapan : Was-was itu adalah bisikan syaitan. Namun barangsiapa yang was-was dalam sembahyangnya, misalnya berkata-kata hatinya apakah sembahyang aku ini sah atau tidakkah, betulkah atau salahkah, maka apabila berlaku perkara demikian, hendaklah dipastikan dengan yakin. Kalau telah yakin sah dan betul, pedulikan bisikan-bisikan syaitan itu. Tetapi kalau yakin tidak sah, maka hendaklah diulangi semula.

KA/ms121

 

 

4.Soalan : Apabila sujud rambut menutupi dahi. Sah atau tidak solat seseorang itu (tak pakai kopiah / songkok)?

  Jawapan : Sah solat asalkan ada mana-mana bahagian dahi mencecah lantai.

    Kalau rambut yang dimaksudkan itu seorang perempuan, maka sembahyang itu terbatal. Ini adalah kerana rambut perempuan adalah aurat yang mesti disembunyikan samada ada didalam sembahyang mahupun diluar sembahyang.

KA/ms138

 

 5.Soalan : Apakah hukumnya jika orang Islam yang berkahwin dengan mualaf lelaki/perempuan yang tidak bersunat?

 Jawapan : Hukum bersunat (berkhatan) bagi lelaki dan wanita Islam adalah wajib bagi pendapat Imam As-Shafie. Sementara bagi Mazhab Hambali adalah seperti pendapat Imam Ahmad Ibnu Hambal iaitu khatan wajib bagi lelaki dan sunat bagi perempuan. Sementara Mazhab Hanafi dan Maliki pula sunat bagi lelaki dan perempuan dan khatan termasuk syiar Islam. Tujuan asal berkhatan bagi lelaki adalah membuang kulit kemaluan supaya ia tidak menutup kepala zakar yang selalunya mengandungi najis. Berkhatan pada perempuan adalah satu penghormatan atau kemuliaan serta dapat mengawal nafsu seksnya yang terlalu tinggi.

KA/ms148

 

6.Soalan : Apakah hukumnya mewarnakan rambut (ada warna hijau, biru dan kuning)?

 Jawapan :

Haram- bagi seorang Muslim mewarnakan rambutnya dengan pewarna rambut walaupun diperbuat daripada benda yang halal kerana perbuatan ini termasuk dalam perkara merubah ciptaan Allah. Apatah lagi bagi seorang perempuan muslimah dimana rambut adalah sebahaian dari auratnya seperti gadis-gadis Islam yg tidak bertudung, memperagakan rambut mereka yg berwarna-warni, sesungguhnya ia suatu perbuatan yang tercela. Tersebut dalam sebuah hadis daripada Ibnu Mas'ud yang bermaksud:  (Allah Ta'ala mengutuk sekalian wanita yang mengukir badan, dan yang minta diukir, wanita yang mencukur alis , mengikir gigi dengan sengaja untuk kecantikan dan sekelian yang merobah apa yang telah dijadikan oleh Allah) (H.R. Bukhari/Muslim).


Harus- bagi seorang Muslim mewarnakan rambut/janggut yang putih (beruban) dengan pewarna yang suci/halal (contohnya inai) selain daripada warna hitamsebagai MUJAHID FI SABILILLAH atas sebab muslihat ketenteraan. Dan harus-bagi isteri mewarnakan rambutnya untuk menyukakan suaminya. Namun perlulah mendapat keredhaan suami dan memastikan pewarna itu halal dan tidak menghalang air.
Makruh- mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh dan memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.

 

7.Soalan : Saya selalu mengaji Al-Quran tetapi saya tidak tahu maknanya. Adakah saya dapat pahala?

    Jawapan : Seseorang yang membaca Al-Quran tetapi tidak tahu maknanya tetap mendapat pahala. Membaca al-Quran ada bermacam-macam tingkat pahala. Orang yang membaca Al-Quran tanpa memahami maksudnya, dia diberi 10 pahala. Kalau difahami maksudnya ditambah 10 pahala lagi. Kalau mengamalkannya ditambah lagi 10 pahala. Kalau menyampaikan ilmu Al-Quran itu setelah dia mengamalkannya ditambah lagi pahala dan seterusnya. 

KA/ms270

 

 

8.Soalan : Apakah hukum seorang Islam yang beronani?

 Jawapan : Onani yang dilakukan seorang lelaki dengan memainkan alat kelaminnya dengan tangannya sendiri termasuk suatu perkara yang merosak unsur etika dan adab.Para ulama sendiri berbeza pendapat dalam menetapkan hukumnya. Sebahagian ulama mengatakan bahawa onani tersebut hukumnya haram secara mutlak. Sedangkan sebahagian lain mengatakan haram dalam suatu keadaan dan wajib dalam keadaan lain dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya makruh.

    Menurut mazhab Syafie dan mazhab Maliki melakukan onani itu hukumnya haram. Alasan mereka adalah bahawa Allah SWT telah menyuruh manusia untuk menjaga faraj atau kemaluan dalam segala keadaan kecuali untuk menjimak isteri. Dalam ayat Al Quran dijelaskan: "Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang tiada tercela. Barangsiapa yang mencari selain daripada itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas".(Al Mukminun ayat 5 - 7)
      Adapun di antara ulama yang mengatakan bahawa onani dengan tangan sendiri itu haram dalam suatu keadaan dan wajib dalam keadaan lain adalah ikut pengikut Imam Hanafi. Pendapat ini mengatakan bahawa andaikata seseorang dikhuatirkan akan berbuat zina maka wajiblah ia menyalurkan nafsu seksualnya dengan onani. Pendapat ini mengikuti kaedah "Jika berkumpul dua bahaya, maka wajiblah kalian mengambil bahaya yang paling ringan".

    Diantara yang berpendapat makruh ialah Ibnu Umar dan Atha' .Dan diantara yang berpendapat mubah ialah Ibnu Abbas, Hasan dan sebahagian pembesar tabi'in.

    Cara yang paling baik untuk mengelakan "melampaui batas" ini dengan banyak berpuasa, berzikir dan jangan tinggalkan perkara wajib seperti solat dan sebagainya. Sebab dalam hadis juga ada menjelaskan jika tidak mampu untuk berkahwin maka berpuasalah agar syahwat kita terpelihara.

DN/s58

9.Soalan : Hukum memakai inai kuku dan rambut.

Jawapan : Memakai inai dijari bagi lelaki sekiranya atas tujuan perubatan tidaklah salah tetapi jika berniat menyerupai perempuan maka hukumnya berdosa. Namun dalam hal menginaikan rambut, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim menyebut bahawa mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah dilarang. Tetapi dalam hadis tersebut Nabi s.a.w ada menyuruh mewarnakan rambut yang putih dengan inai. Ini adalah kerana inai boleh meresapi air. Pewarna selain inai boleh menghalang air dari sampai ke anggota wuduk. Kalau tiada kepentingan Islam apa perlunya menghitamkan rambut yang beruban? Sila rujuk kepada soalan 6 diatas.

 

10.Soalan : Apakah hukumnya lelaki berjabat tangan dengan perempuan yang bukan mahram?

Jawapan : Bersalaman dengan orang yang bukan mahram hukumnya haram. 

 

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran