Berkata Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. telah bersabda: Allah telah berfirman yang bermaksud :
“Allah telah mewahyukan kepada saudaraku Uzair: Wahai Uzair! Jika engkau ditimpa musibah, maka janganlah engkau mengadukan Aku kepada makhlukKu, sebab Aku juga telah ditimpa musibah-musibah yang banyak daripadamu, dan aku tidak pernah mengadukan engkau kepada para MalaikatKu.
“Wahai Uzair! Lakukanlah maksiat sekadar kemampuanmu menganggung siksanya daripadaKu. Dan mintalah hajat-hajatmu sekadar amalan yang engkau sembahkan untukKu. Dan janganlah engkau merasa aman dari tipudayaKu, sehingga engkau memasuki syurgaKu.
“Maka menggigillah Uzair menangis dan Allah pun mewahyukan lagi kepadanya: Wahai Uzair! Janganlah engkau menangis. Jika engkau menderhakaiKu kerana jahil nescaya Ku ampuni engkau dengan belas-kasihanKu, kerana Aku Maha Pembelas, tiadalah Aku menyegerakan seksaan ke atas hamba-hambaKu, padahal Akulah sebaik-baik Pembelas dari sekalian pembelas.”
Huraiannya:
Apabila kita membaca Hadis-hadis Qudsi seumpama ini kita harus ingat 2 perkara:
Pertama: Apabila kita ditimpa ujian dari Allah s.w.t. seperti dikenakan penyakit, ditemukan kita dengan musibah, atau bencana, atau sebagainya, hendaklah kita menginsafi diri kita sendiri. Jangan segera merungut dan mengeluh, diadukannya penyakit atau musibah itu ke sana-sini seolah-olah Allah telah menzalimi kita dengan penyakit dan musibah itu, kendalipun lisan kita tiada menyebutnya, namun kelakuan dan gerak-geri kita menunjukkan yang demikian.
Apa yang harus kita lakukan ialah bersabar dan menerima ujian itu dengan penuh insaf dan istighfar. Kita harus mohon Allah agar diringankanNya kita dari ujian itu, dilepaskanNya kita darinya serta diampunkanNya kita dari dosa dan kesalahan yang kita lakukan terhadap Allah s.w.t. dengan ujian yang ditimpakan atas kita itu, tentulah bagaimana beratnya penanggungan kita terhadap ujian itu, tetap masih kecil dan sedikit, apabila dipadankan dengan dosa dan kesalahan yang kita lakukan terhadap Allah s.w.t.
Kemudian ujian Allah Taala itu tentu ada hikmah dan faedahnya bagi kita. Mungkin lantaran ujian itulah menyebabkan kita insaf dan sedar akan kesalahan kita, lalu kita mengubah sikap dari yang buruk kepada yang baik. Itulah tanda kesayangan Tuhan kepada kita. Jika tidak disayangiNya kita, nescaya Dia akan lebih melalaikan kita, membiarkan kita tenggelam terus menerus di dalam tuntutan hawanafsu, sehingga kita akan terlupakan Dia sebagai Tuhan, malah kita lupa pula diri kita sendiri sebagai hambaNya, yang lemah dan tidak berdaya. Itulah celaka yang tergambar di dalam rupa bahagia.
Kedua: Memanglah Allah Ta’ala tidak pernah menyuruh kita melakukan dosa dan maksiat. Dikirimkannya kita para Nabi dan Rasul, kemudian diwariskanNya mereka itu para salihin, guru-guru agama, didorongkanNya orang yang suka membina masjid, membuka sekolah dan sebagainya, ialah untuk menarik kita kepada jalan kebaikanNya, dan menjauhkan kita daripada jalan keburukanNya. Semua yang mengenai ini diterangkan, sehingga akhirnya diberitahu kita tentang balasan-balasan yang akan diberiNya kepada kita, balasan Syurga untuk siapa yang menuju kepada kebaikan, dan balasan Neraka untuk siapa yang menuju kepada kejahatan, dan seterusnya dari hal-hal yang sepatutnya kita mengetahui, supaya nanti apabila kita kembali kepadaNya, tidak ada alasan lagi bagi kita untuk memprotes kepadaNya dan kepada Kemaha-adilanNya.
Akan tetapi sifat dan tabiat manusia itu memang cenderung kepada yang buruk, meskipun sudah diberitahu yang buruk itu akan membahayakan dan mencelakakan dirinya. Di sinilah Allah Ta’ala ingin menduga akal kita. Baiklah, duhai manusia! Buatlah salah ikut suka hatimu, tetapi jangan sampai melampaui batas. Ini nasihatKu! Sebab tiap-tiap kesalahan yang kau tempuh itu akan ada siksanya. Yang kecil, kecillah siksanya. Dan yang berat, tentu berat siksanya. Pilihlah mana satu yang kau suka. Jangan sampai kau buat pilihan tanpa fikir terlebih dahulu, nanti berat padahnya, akan kesal pula akhirnya. Demikianlah misalnya.
Cubalah kita kembali kepada fikiran kita yang waras kini! Adakah kita sanggup menerima balasan siksa yang disediakan Allah itu? Biar kecil, apatah lagi, jika yang besar-besar dan yang berat-barat. Ambillah sebatang lilin dan bakarlah sumbunya, kemudian cubalah cucurkan sebatang jari saja, sekejap saja, sanggupkah kita menahannya? Tentu tidak! Ini baru saja satu jari. Baru saja kecil apinya. Baru saja api dunia. Baru saja dari atas api. Bagaimana pula jika api itu sekuat tujuh puluh kali panas api dunia, sedang kita bukan di atasnya, malah ditengah-tengah lautan apinya. Nasalullahas-Salamah.
Apabila kita fikirkan semua itu, tentulah kita menjadi takut untuk melanggar perintah Allah s.w.t. Bukan saja kita mahu melakukan dosa dan kesalahan lagi, mendengarnya pun tidak suka.
Kita akan kembali semula ke jalan petunjuk Allah Ta’ala yang asal. Kita akan menurut perintahNya dan perintah Nabi dan RasulNya. Kita akan menurut apa yang ditunjuk oleh para salihinNya dan guru-guru yang mewarisi para utusanNya. Jadilah kita seorang yang baik dan yang sangat dikasihiNya, maka berhasillah kita apa yang dijanjikan Allah kelak. Itulah maksudnya yang sebenar, moga-moga kita faham benar-benar.
Kemudian bagi orang yang terus memberanikan dirinya untuk berbuat dosa dan kesalahan itu, lalu meletakkan harapan penuhnya kepada Allah Ta’ala untuk mengampuni dan memaafkan kesalahannya. Dia akan berkata: Bukankah Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya? Bukankah Tuhan telah mengatakan: Kalau kamu sekalian sebagai hamba-hamba yang tidak pernah menempuh dosa, tidak pernah membuat salah, nescaya Aku akan menghapuskan kamu sekalian, lalu Aku akan mencipta lagi hamba-hamba lain yang berdosa dan membuat salah, lalu mereka memohon ampun kepadaKu, maka Aku pun mengampuni mereka? Dan ada banyak lagi alasan-alasan serupa itu yang boleh dikemukakan oleh orang ini. Allah Ta’ala juga telah menjawabnya, sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas, dan juga di dalam firman-firmanNya yang lain: Janganlah kamu merasa aman dari tipu dayaKu, sehingga engkau memasuki syurga!
Yakni: Kita tidak dapat mempastikan apa yang telah ditakdirkan Tuhan di dalam kitab AzalNya. Dia telah mengurniakan kita pilihan, dan kita salah membuat pilihan. Kemudian kita gantungkan harapan kita kepadaNya untuk dia mengampuni kita dan membersihkan diri kita daripada daki dosa dan kesalahan yang telah kita pilih sendiri bila kita melakukannya itu. Sudah pastikah kita, bahawa Dia akan mengampuni kita? Kalau tidak!? Barangkali dosa yang kita lakukan lantaran sesuatu sebab atau yang lain, itu tidak akan diampuniNya, celakalah kita ketika itu. Sebab Allah Ta’ala tidak wajib mengampuni kita. Jika Dia mengampuni kita pun, adalah dengan rahmatNya. Hanya Dia berjanji akan mengampunkan siapa yang memohon pengampunan dengan hati yang benar dan ikhlas, dan Allah Ta’ala tidak akan memungkiri janjiNya. Tetapi, jika kita tidak menyempurnakan syarat-syaratnya, atau taraf taubat kita tidak sampai ke taubat nasuha, atau ada sesuatu yang tidak kena pada niat kita, mungkin kita tiada diampunkan juga.
Ini adalah sebagai ancaman Tuhan kepada kita, supaya kita jangan sekali-kali memberanikan diri untuk menempuh sesuatu yang dilarangNya, kemudian kita gantungkan harapan kita terhadapNya untuk diampuniNya kita. Soal pengampunan ini mungkin berlaku dan mungkin tidak. Oleh itu jangan sekali-kali perjudikan nasib kita kepada pengampunan Tuhan itu semata-mata, yang mana keberhasilannya masih belum tentu. Pilihlah jalan yang sudah tentu, iaitu menjauhkan diri dari dosa dan larangan Allah Ta’ala. Kalau sudah terlanjur, barulah digantungkan harapan pengampunan itu kepada Allah, dan jangan sekali-kali putus asa untuk memperolehinya. Sebab Allah Ta’ala juga telah mengatakan: Jika engkau telah melakukan maksiat tanpa ilmu dan dalam keadaan jahil, niscaya Aku akan mengampuniMu dengan Rahmat dan belas kasihanKu, kerana Allah itu Maha Pengasih, dan dia tidak menyiksa hamba-hambaNya tanpa sebab, dan Dia adalah Maha Pengasih dari sekalian pengasih.
Kemudian pakaian yang selalu sangat dikotorkan, lalu setiap kali kotor dibersihkan, tidak serupa dengan pakaian yang dijaga dengan baik supaya tidak kotor, lalu dibersihkan, meskipun tidak kotor. Tentu beza keduanya ketara sekali. Yang pertama tentu tidak lama akan menjadi hodoh rupanya, tidak cerah warnanya. Manakala pakaian yang sentiasa dijaga dari terkena kotor itu akan kelihatan sentiasa baru saja, menarik warnanya. Demikian pulalah dengan manusia yang selalu membuat dosa, lalu bertaubat dengan manusia yang tidak suka membuat dosa, namun begitu sentiasa bertaubat, cahayanya ketara sekali pada orang yang melihatnya. Itu baru di dunia, apatah lagi di akhirat. Apakah anda tidak suka kelihatan bercahaya di dunia dan di akhirat?! Tentu jawabnya ’Suka’!. Orang bodohlah yang jawabnya ’Tidak suka!’ Jadi mengapa suka berbuat dosa?! Pakaian yang bersih, lalu dijaganya dari terkena kotoran lebih bagus, atau pakaian yang bersih yang dibiarkan terkena kotoran, lalu dibersihkan?! Tanyalah akalmu!
Sekian, wallahu-a’lam