Bidayatul Hidayah - Menjaga Perut

Maka hendaklah engkau memelihara perutmu daripada memakan makanan yang haram atau yang syubhat dan berusaha untuk mencari makanan yang halal. Dan apabila engkau telah mendapat makanan yang halal maka hendaklah engkau merasa cukup dengan memakannya dan hendaklah engkau berhenti sebelum kenyang kerana perut yang kenyang itu mengeraskan hati dan menumpulkan akal dan memberatkan anggota daripada berbuat ibadat dan mencari ilmu bahkan perut yang kenyang itu akan menguatkan syahwat dan membantu tentera syaitan. Kenyang dengan halal adalah punca segala kejahatan maka betapa pula kenyang dengan makanan yang haram. Oleh itu mencari makanan yang halal adalah wajib atas setiap orang Islam dan berbuat ibadat atau mencari ilmu dengan memakan makanan yang haram adalah seperti membuat sesuatu binaan di atas longgokan sampah.

Apabila engkau merasa cukup dalam setahun dengan hanya memakai sehelai baju yang kasar dan merasa cukup dalam sehari semalam dengan dua potong roti daripada tepong yang kasar dan engkau mampu meninggalkan kelazatan gulai maka pasti makanan yang halal itu cukup bagimu. Harta yang halal itu sebenarnya banyak. Dan engkau tidak dituntut memeriksa sampai kepada perkara-perkara yang kecil bahkan memadailah bagimu bahawa engkau menghindari apa-apa yang telah engkau kenal pasti bahawa harta itu adalah haram atau engkau sangka bahawa ia adalah haram dengan bukti-bukti yang nyata yang telah tsabit pada harta tersebut.

Adapun harta yang sudah nyata haram maka hal ini sudah tidak perlu diterangkan lagi. Dan harta yang disangkakan haramnya dengan beberapa tanda ialah seumpama harta raja-raja (yang zalim) dan pegawai-pegawainya dan harta orang yang tidak ada pekerjaan kecuali hanya meratap orang mati atau menjual arak atau bermuamalah dengan cara riba atau berjual beli seruling dan alat-alat muzik dan seumpamanya. Maka sesiapa yang telah engkau ketahui secara pasti bahawa kebanyakan hartanya adalah daripada sumber yang haram maka apa yang engkau ambil daripada tangannya – walaupun boleh jadi ia halal – adalah haram kerana itulah yang ghaib pada sangkaan.

Diantara harta yang jelas haram ialah harta wakaf yang dimakan tidak mengikut syaratnya, seperti orang yang tidak bersungguh-sungguh mengaji maka haram ia mengambil harta (atau makanan) yang diwakafkan khusus kepada penuntut yang ada di dalam sebuah madrasah. Dan siapa yang mengerjakan maksiat maka akan ditolak segala persaksiannya (syahadatnya). Dan begitulah pula haram mengambil harta atas nama Tasauf (bagi orang yang bukan ahli Tasauf) daripada harta wakaf yang dikhususkan untuk mereka.

Dan telah kami sebutkan keterangan yang luas tentang harta syubhat, halal dan haram di dalam kitab Ihya Ulumiddin, maka hendaklah engkau merujuk kesana kerana mengetahui cara mencari harta yang halal ini ialah wajib dan mencari harta yang halal itu adalah wajib seperti wajibnya engkau sembahyang lima waktu.

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran