Engkau Ujub, Engkau Takabbur

Ujub, takbur dan merasa bangga dengan diri sendiri adalah satu penyakit hati yang sangat susah diubati. Dan ujub itu ialah memandang kepada diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran dan memandang terhadap orang lain dengan pandangan penghinaan.

Alamat yang nampak bagi seseorang yang ujub itu di dalam majlis orang yang ramai ialah ia selalu suka mengangkat dirinya dan menganggapnya lebih berkebolehan daripada orang lain dan ia suka menonjolkan diri di dalam perbincangan dan tidak senang kalau ada orang lain menolak pandangannya. Dan orang yang takbur tidak senang apabila ia diberi nasihat dan mengkasarkan bahasa kalau ia memberi nasihat kepada orang lain. Maka siapa yang menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain maka orang itu brsifat takbur. Dan sebaiknya hendaklah ia mengetahui bahawa orang yang sebenarnya jahat itu adalah orang yang baik di sisi Allah dan masalah ini tidak ada siapa yang mengetahuinya kerana ia tertakluk kepada “Khatimah” (akhir umur seseorang) maka I’tiqadmu di dalam dirimu bahawa engkau lebih baik daripada orang lain adalah berpunca daripada kejahilan semata-mata.

Sepatutnya janganlah engkau melihat kepada seseorang kecuali engkau melihat bahawa ia adalah lebih baik di sisi Allah daripada engkau dan ia mempunyai beberapa kelebihan atas dirimu.

Maka jikalau engkau melihat orang yang lebih muda daripadamu maka hendaklah engkau berkata (di dalam hati), “Budak ini belum pernah lagi berbuat maksiat kepada Allah sedangkan aku sudah banyak berbuat maksiat maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripadaku”.

Dan apabila engkau melihat orang yang lebih tua daripadamu maka hendaklah engkau berkata. “Orang ini menyembah Allah lebih dahulu daripadaku maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripadaku”.

Dan apabila engkau melihat orang yang alim maka hendaklah engkau berkata, “Orang alim ini telah dikurniakan kepadanya bermacam-macam pemberian yang tidak dikurniakan kepadaku dan ia telah sampai ke martabat yang aku tidak sampai kepadanya dan ia mengetahui perkara yang aku tidak ketahui maka betapa aku sama dengannya”.

Dan apabila engkau melihat orang yang jahil maka hendaklah engkau berkata, “Orang yang jahil ini berbuat maksiat kepada Allah dengan kejahilannya tetapi aku mengerjakan maksiat berserta dengan ilmuku maka Allah SWT akan berhujah ke atas diriku dan aku belum tahu lagi bagaimana aku akan mengakhiri kehidupanku ini”.

Dan apabila engkau melihat orang kafir maka hendaklah engkau berkata, “Aku belum tahu lagi boleh jadi nanti ia masuk Islam lalu ia mengakhiri hidupnya dengan “Husnul Khatimah” (mati dalam keadaan yang baik atau beriman) dan dengan sebab ia masuk Islam ia telah keluar daripada dosa-dosanya seperti keluarnya rambut daripada adunan roti sedangkan aku (wal iya zubillah – mudah-mudahan Allah memelihara kita) boleh jadi berubah menjadi sesat setelah mendapat petunjuk maka aku menjadi kafir dan kehidupanku adan diakhiri dengan “Suul Khatimah” (mati dalam keadaan kafir) maka orang kafir ini pada hari kiamat nanti akan dikumpulkan bersama dengan orang-orang yang muqarrabin sedangkan aku akan diseksa di dalam api neraka”. Nauzubillahi min zalik…

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran