Minyatul Musolli-Perkara-perkara Yang Menyempurnakan Solat

Pertama : Ilmu. Ilmu itu atas tiga wajah. Pertama hendaklah engkau ketahui fardhu daripada sunatnya kerana bahawasanya sembahyang itu tiada sah melainkan diketahui akan kaifiatnya. Kedua barang yang ada pada wuduknya daripada fardhu dan sunat kerana yang demikian adalah syarat sah wuduk. Ketiga mengetahui akan tipu daya syaitan supaya dapat engkau menjauhi akan dia.

Kedua : Wuduk. Pertama engkau sucikan hati daripada khianat, hasad dengki dan marah. Kedua engkau sucikan badan engkau daripada dosa dan ketiga sempurnakan basuh pada anggota wuduk dengan tiada berlebih-lebihan.

Ketiga : Pakaian. Pertama ada ia pakaian yang halal. Kedua suci daripada najis yang tiada dimaafkan dan ketiga pakaian itu bersesuaian dengan sunnah. Jangan ada pakaian itu atas jalan takabur dan ujub dan megah.

Keempat : Memelihara waktu. Pertama mata engkau melihat akan matahari dan bulan dan bintang dan engkau amat-amati akan dia bagi hadir waktu. Kedua telingamu itu mendengar kepada bang (azan). Ketiga hatimu memikirkan janjiNya bagi waktu.

Kelima : Menghadap Kiblat. Pertama engkau hadap kiblat dengan dadamu. Kedua engkau hadap kepada Allah Ta’ala dengan hatimu. Ketiga engkau khusyuk dan tawadhuk dan merendah diri dengan anggotamu.

Keenam : Niat. Pertama hendaklah engkau ketahui apa sembahyang yang engkau dirikan. Kedua hendaklah engkau ketahui engkau bahawa engkau berdiri antara hadapan Tuhanmu dan Dia melihat akan dikau. Oleh itu hendaklah engkau berdiri dengan haibah yakni penuh semangat dan tenang. Ketiga bahawa engkau ketahui bahawasanya Ia mengetahui barang yang ada di dalam hatimu maka selesaikan olehmu daripada membimbangkan pekerjaan dunia.

Ketujuh : Takbir. Pertama hendaklah engkau takbirkan sebagai takbir yang sohih lagi jazam. Kedua engkau angkatkan kedua tangan berbetulan dua telingamu. Ketiga bahawa hati engkau hadir maka engka takbir dengan takzim.

Kelapan : Qiam. Pertama hendaklah engkau jadikan matamu itu pada tempat sujudmu. Kedua bahawa engkau jadikan hatimu itu kepada Allah Ta’ala. Ketiga jangan berpaling kekanan dan kekiri.

Kesembilan : Qiraat/bacaan. Pertama hendaklah engkau baca yang sahih dengan tartil dan ketiadaan berlagu-lagu. Kedua engkau baca dengan tafakkur dan tadabbur akan maknanya. Ketiga bahawa engkau amalkan dengan barang yang engkau baca itu.

Kesepuluh : Rukuk. Pertama hendaklah engkau ratakan belakang serta lehermu dan jangan engkau merendahkan dan meninggikan kepalamu. Kedua bahawa engkau hantarkan kedua tapak tangamu diatas dua lututmu dan engkau jarangkan antara anak jarimu. Ketiga hendaklah engkau toma’ninahkan rukuk dan dibaca tasbih serta ta’zim dan tetapkan.

Kesebelas : Sujud. Pertama hendaklah engkau hantar dua tanganmu berbetulan dengan bahumu. Kedua hendaklah engkau renggangkan kedua lenganmu daripada dua lambungmu dan jangan kamu hamparkan keduanya kepada bumi. Ketiga hendaklah engkau toma’ninahkan pada sujudmu dan mengucap tasbih kamu serta ta’zim.

Keduabelas : Duduk. Pertama hendaklah engkau duduk atas tapak kakimu yang kiri dan engkau dirikan kakimu yang kanan jika tahiyat awal dan engkau keluarkan yang kiri di bawah betis kakimu yang kanan pada tahiyat akhir. Kedua hendaklah engkau tasyahud dengan ta’zim dan engkau selawat akan nabi dengan sempurna dan akan keluarganya dan sahabatnya. Ketiga engkau doakan dirimu dan bagi segala mukminin.

Ketigabelas : Salam. Hendaklah engkau salamkan dengan sempurna bahawa ada ia serta niat yang sebenarnya dan salam engkau itu akan orang yang ada pada kanan engkau daripada malaikat dan orang-orang mukmin dari kalangan jin dan manusia demikian juga pada pihak kiri.

Keempatbelas : Ikhlas. Pertama hendaklah engkau menuntut keredhaan Allah dan jangan engkau tuntut akan redha manusia. Kedua hendaklah engkau fikirkan akan taufiq (petunjuk) itu datang daripada Allah. Ketiga engkau pelihara akan ikhlas itu hingga lenyap hilang diri bersamanya...

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran