Meninggalkan Maksiat
Ketahuilah wahai thalib (penuntut) bahawa agama itu terdiri dari dua bahagian:
Pertama : Meninggalkan maksiat
Kedua : Mengerjakan taat
Meninggalkan maksiat adalah lebih berat daripada mengerjakan taat kerana mengerjakan taat senang dibuat oleh setiap orang tetapi meninggalkan syahwat (maksiat) hanya dapat dilaksanakan oleh para siddiqin (orang-orang yang benar). Oleh itu Rasulullah SAW bersabda: Ertinya ”Orang yang berhijrah dengan sebenarnya ialah oran gyang berhijrah daripada kejahatan (meninggalkan kejahatan). Dan mujahid yang sebenarnya ialah yang memerangi hawa nafsunya.”
Meninggalkan maksiat zahir (maksiat anggota)
Ketahuilah bahawasanya apabila engkau melakukan sesuatu maksiat maka sebenarnya engkau melakukan maksiat itu dengan menggunakan anggota badanmu yang merupakan nikmat Allah yang dianugerahkannya kepadamu. Jadi engkau menggunakan anggotamu untuk melakukan maksiat bermakna engkau menyalahgunakan nikmat yang dianugerahkan dan mengkhianati terhadap amanah yang diberikan. Dan anggotamu adalah rakyatmu maka hendaklah engkau berfikir baik-baik bagaimana sepatutnya engkau menjaganya.
Sabda Rasulullah SAW : Ertinya ”Maka kamu semua adalah pengembala (pemimpin) dan kamu semua akan ditanyai tentang pengembalanya (kepimpinannya). Hadith riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar R.A
Dan ketahuilah olehmu bahawasanya semua anggotamu akan bersaksi diatas segala perbuatanmu di Padang Mahsyar kela dengan menuturkan perkataan yang lancar dan terang. Anggotamu akan mendedahkan segala rahsiamu di hadapan perhimpunan agung di Padang Mahsyar. Dalam hal ini Allah Ta’ala telah berfirman : Maksudnya ” Dihari itu (hari Qiamat) akan bersaksilah ke atas kamu oleh segala lidahmu, tangamu dan kakimu dengan segala sesuatu yang telah kamu perbuat (di dalam dunia dahulu).” Surah An Nur ayat 24.
Allah berfirman lagi : Maksudnya ” Pada hari ini (hari Qiamat) Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan akan bercakap kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa-apa yang mereka telah perbuat ( di dunia dahulu).” Surah Yasin, ayat 65.
Maka jagalah bik-baik seluruh anggotamu. Khususnya anggotamu yang tujuh kerana pintu neraka itu tujuh pula dan telah ditentukan setiap pintu itu untuk dimasuki oleh kumpulan yang telah melakukan perbuatan maksiat dengan salah satu diantara tujuh anggota badan iaitu mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki.
Bidayatul Hidayah