Hidayah Salikin : Membesarkan Diri


Takabur Sebesar Penyakit Dan maksiat Di dalam Hati
Adapun membesarkan diri adalah sebesar-besar penyakit dan maksiat di dalam hati yang dicela oleh syarak, seperti :
1. Firman Allah Taala yang bermaksud : “Dikatakan kepada mereka: “Hai orang-orang kafir masuklah kamu sekalian pada pintu-pintu Neraka Jahannam dengan keadaan kekal di dalamnya. Maka Neraka itu adalah sejahat-jahat tempat bagi orang-orang yang membesarkan dirinya”.
2. Dan sabda nabi s.a.w. : Ertinya, “Tidak masuk ke syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat zarah daripada takabur”.
3. Dan sabda Nabi s.a.w. : Ertinya, “Dihimpunkan segala orang yang gagah dan yang membesarkan diri pada hari kiamat seperti rupa hama, mereka dipijak oleh segala manusia kerana mereka sangat hina pada pandangan Allah Azza wa Jalla”.

Hakikat Takabur
Dan hakikat takabur itu bahawa seseorang itu melihat dirinya terlebih tinggi, terlebih besar dan terlebih mulia daripada orang lain dan melihat orang lain hina berbanding denganya.

Tanda Takabur
1. Dan melihat takabur itu adakalanya nyata pada lidah seperti katanya: “Aku lebih baik daripada si Polan, seperti kata Iblis yang dilaknati Allah yang dihikayatkan di dalam al-Quran, ertinya: “Aku terlebih baik daripadanya, yakni daripada Nabi Adam. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikannya daripada tanah”.
2. Dan adakalanya nyata daripada kedudukan seperti ia meninggikan kedudukannya dan tempat duduknya terdahulu daripada orang ramai.
3. Dan adakalanya nyata ketika berbicara dengan orang seperti ia tiada mahu kalah daripada perkataan orang dan tiada mahu ikut perkataan orang walaupun ia salah.
4. Dan kata Imam al-Ghazali yang dirahmati Allah Taala di dalam kitab Bidayatul Hidayah, ertinya: “Orang yang takabur itu ialah orang yang jika ditegur oleh orang lain maka ia marah dan benci. Jika ia menegur orang maka dengan perkataan yang keras dan ia suka menegur orang tetapi tiada mahu ditegur oleh orang lain”.
5. Sesiapa yang melihat dirinya lebih mulia daripada sesuatu yang dijadikan oleh Allah Taala walaupun daripada binatang, maka ia adalah orang takabur. Sepatutnya engkau mengetahui bahawa kemuliaan itu adalah orang yang dimuliakan Allah Taala di negeri Akhirat iaitu orang yang takutkan Allah Taala seperti firman Allah Taala, ertinya: “Bahawa semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang terlebih takut kepada Allah Taala dari kalangan kamu”.

Hendaklah Menganggap Diri Sendiri Lebih Hina
Dan sewajarnya bagi kamu menyakini diri sendiri lebih hina daripada segala makhluk Allah Taala. Dan hendaklah engkau melihat orang lain adalah lebih mulia daripada dirimu:
1. Maka jika engkau melihat kanak-kanak kecil, maka katakanlah di dalam hatimu bahawa kanak-kanak itu tiada berbuat maksiat terhadap Allah Taala dan engkau berbuat maksiat terhadap Allah Taala. Maka tiada syak lagi bahawa kanak-kanak itu lebih mulia daripada aku.
2. Dan jika melihat orang yang lebih tua daripadamu, maka katakanlah di dalam hatimu, bahawa orang ini telah berbuat ibadat kepada Allah Taala lebih dahulu daripada aku. Maka tiada syak ia lebih mulia daripadaku.
3. Jika engkau melihat orang yang alim, maka engkau katakan di dalam hatimu bahawa orang ini diberi oleh Allah Taala ilmu yang tiada diberikan kepadaku dan ia sampai kepada ilmu yang tiada aku mengetahuinya. Maka tiada syak lagi ia lebih mulia daripada aku, betapa aku dapat menyamainya.
4. Jika engkau melihat orang yang jahil, maka engkau katakan di dalam hatimu bahawa orang ini berbuat maksiat terhadap Allah ‘Azza wa Jalla’ dengan kejahilannya dan aku berbuat maksiat terhadap Allah Taala dengan ilmuku, maka tiada syak lagi bahawa aku terlebih salah kepada Allah Taala dan terlebih jahat. Dan tiada diketahui dengan apa dimatikannya, barangkali ia bertaubat maka diampunkan Allah Taala dosanya, iaitu mati ia mati dalam kebajikan. Dan barangkali aku berbuat maksiat, maka aku mati di dalam kejahatan.
5. Dan jika engkau melihat orang kafir maka engkau katakan di dalam hatimu bahawa orang ini aku tiada mengetahuinya, berkemungkinan ia masuk Islam, maka ia mendapat kebahagian dan diampunkan Allah Taala segala dosanya.

Pendaftaran ahli kariah surau SMM

Pendaftaran ahli kariah surau SMM telah bermula pada tarikh 24.4.2009.

Tujuan pendaftaran ini bagi membuat bancian secara terperinci mengenai jumlah sebenar ahli kariah dan sebagai salam perkenalan bagi usaha untuk mengeratkan silaturahim seterusnya untuk menunaikan hak persaudaraan sesama Islam seperti mana yang dituntut oleh syarak.

Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah). (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Click Borang Pendaftaran